Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Prakata Kesantunan Bahasa Lisan

Prakata

Yang kurik itu kundi,
yang merah itu saga. 
Yang baik itu budi,
yang indah itu bahasa.

Kita dapat mengatakan bahawa, secara umumnya, perkara mengenai kesantunan berbahasa ini melibatkan peri laku kita bertutur atau berkomunikasi secara lisan. Dalam berkomunikasi secara tulisan, peraturannya tidak sama dengan peraturan budi bahasa lisan. Perilaku dalam berkomunikasi secara lisan dengan mudah dapat dilihat dan didengar serta-merta. Ini bermakna ia dinilai dengan serta merta, dan dapat menimbulkan kesan yang serta-merta juga. Baik budi bahasa kita, baik pula budi bahasa orang yang dilawan bercakap. Buruk budi bahasa kita, buruk pulalah kemungkinannya tindak balas yang kita terima.

Apakah pula yang kita maksudkan dengan budi bahasa? Agak sukar kita mendefinisikan istilah budi bahasa ini dalam satu atau dua buah ayat. Oleh sebab itu, ada baiknya kita melihat tanda-tanda dalam pertuturan orang yang dikatakan berbudi bahasa. Ini bermaksud, apakah ciri-ciri budi bahasa yang dapat dilihat dalam pertuturan seseorang. Dengan perkataan-perkataan lain, apabila kita mendengar seseorang bertutur, berucap, berceramah dan bersyarah, ada ciri-ciri yang dapat kita lihat sebagai tanda-tanda budi bahasa tersebut. 

Bahasa menunjukkan bangsa. Perkataan bangsa di sini tidak bermakna kelompok etnik, tetapi adalah suatu unsur daripada perkataan kebangsawanan seseorang. Maksud ungkapan ini adalah bahawa bahasa seseorang itu dapat menunjukkan dua tanda yang paling ketara. Pertama bahasa seseorang itu dapat menunjukkan sama ada dia itu adalah orang berpendidikan atau tidak, atau orang persuratan atau tidak. Kedua, budi seseorang itu menunjukkan bahawa dia mempunyai budi pekerti yang baik atau tidak, iaitu dia berkebangsawanan atau tidak. 

Ini dengan mudah dapat kita lihat dan pastikan apabila kita mendengar seseorang bertutur. Kita dapat menentukan bahawa dia bertutur seperti orang mempunyai pendidikan atau tidak. Kita juga dengan mudah dapat mempastikan sama ada seseorang itu mempunyai budaya halus atau tidak. 

Itulah yang ditunjukkan oleh bahasa yang kita gunakan, sama ada orang yang bertutur itu adalah seorang yang bangsawan, yakni orang yang berilmu dan berbudi, atau tidak. Orang demikian akan bertutur dengan bersopan santun, yakni berbudi bahasa. 

Bahasa itu menunjukkan kebangsawanannya, iaitu: taraf sosialnya, taraf pendidikannya, dan taraf kehalusan budinya. 

Buku ini memberi panduan yang dapat digunakan dalam berkomunikasi secara lisan dengan orang lain. Kaedah yang digunakan dalam buku ini adalah seperti berikut: 

1. Mengenal pasti peristiwa yang kerap menimbulkan kesalahan budi bahasa atau tidak santun.

2. Menyenaraikan dialog yang berlaku.

3. Menganalisis kesalahan tata bahasa

4. Menganalisis kesalahan dan budi bahasa yang dilakukan.

5. Ini diikuti dengan dengan memberi pembetulan bahasa yang mematuhi peraturan kesantunan berbahasa.

Adalah menjadi harapan kita, kita dapat menguasai dan menggunakan bahasa yang berbudi bahasa. Kita sering tidak memberi perhatian kepada budi bahasa apabila mengajarkan bahasa Melayu di sekolah. Pada hal, kesempurnaan budi bahasa itu adalah sangat penting. Malah tahap menggunakan bahasa yang berbdui bahasa itu adalah yang menjadi matalamat kita menggunakan bahasa.

Kita ingin mencapai tahap menggunakan bahasa yang canggih, iaitu tahap kesempurnaan menggunakan bahasa yang berbudi. Ini berlaku apabila kita dapat menggunakan bahasa pada tahap neka tinggi, iaitu tahap yang menunjukkan kebangsawanan kita, tahap yang menunjukkan kebudayaan kita, dan tahap yang menunjukkan kecendekiawanan kita.

Agak sukar kita mendefinisikan budi bahasa ini dalam satu atau dua buah ayat. Oleh sebab itu, ada baiknya kita lihat tanda-tanda dalam pertuturan orang yang dikatakan berbudi bahasa. Ini bermaksud, apakah ciri-ciri budi bahasa yang dapat dilihat dalam pertuturan seseorang. Dengan perkataan lain, apabila kita mendengar seseorang bertutur, berucap, berceramah dan bersyarah, apakah ciri-ciri yang dapat kita lihat yang dapat dikatakan tanda-tanda budi bahasa tersebut.

Maksud ungkapan ini adalah bahawa bahasa seseorang itu dapat menunjukkan tanda yang paling ketara sama ada seseorang berbudi bahasa atau tidak. Ini dengan mudah dapat kita pastikan apabila kita mendengar seseorang bertutur. Kita dapat menentukan bahawa dia berbudi bahasa atau tidak. Kita dengan mudah dapat melihat sama ada seseorang itu berpendidikan tinggi atau tidak. Kita dapat menentukan sama ada seseorang itu mempunyai budaya halus atau tidak. Kita dapat menentukan sama ada seseorang itu adalah seorang persuratan atau tidak.

Buku ini khusus memberi panduan mengenai budi bahasa dalam berkomunikasi secara lisan.

1. Ciri-ciri sebutan yang sempurna menunjukkan sikap yang sopan atau pun yang tudak kisah.

2. Ciri-ciri tatabahasa yang lengkap dan rapi.

3. Suara dan intonasi sopan atau kasar.

4. Gerak-geri yang halus dan sopan atau kasar dan tidak sopan dan cara perbincangan.

5. Cara keseluruhan penggunaan bahasa tinggi yang canggih atau bahasa rendah yang kasar, dan

6. Isi perbincangan: iaitu kosong dan hanya untuk basa basi, bergosip, mengumpat.

Semua ciri ini dapat kita dengar dan pastikan pada saat itu juga.

Apabila kita bertutur, kita sering tidak menyedari perkara yang kita ucapkan. Tabiat ini adalah laksana kita memandu motokar, kita jarang sekali menyedari peraturan dan undang-undang yang kita gunakan, atau yang kita langgar. Walau bagaimanapun, sekiranya kita berhati-hati dan mengawal cara kita memandu, maka kita akan sedar sama ada kita mematuhi atau melanggar sesuatu peraturan dan undang-undang jalan raya. Begitu jugalah dengan bertutur. Kita perlu mengawal pertuturan kita supa kita tidak melanggar peraturan budi bahasa dalam menggunakan bahasa.

Peraturan tatabahasa dan budi bahasa memerlukan perhatian yang rapi, adalah:

1.     Ayat lengkap.

2.     Imbuhan lengkap.

3.     Sebutan setiap huruf.

4.     Kosa kata bahasa tinggi (dia cakap = dia berkata)

5.     Perkataan lengkap (bu(kan)

6.     Elakkan sendi kata bahasa basahan (kat hospital = di hospital, kat dia = pada dia, kat situ = di situ).

Ciri-ciri iklim komunikasi:

1.     Bentuk panggilan yang betul.

2.     Bentuk sapaan.

3.     Gaya bahasa yang sesuai.

4.     Kosa kata laras tinggi (jadi = oleh sebab itu)

5.     Bahasa tinggi (dialek daerah tidak sesuai)

6.     Ganti nama (merendahkan)

7.     Sebutan batang tubung (merendahkan, down levelling).

Adalah menjadi harapan kita, penutur bahasa Melayu akan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi pada tempat dan konteksnya.

 

Profesor Emeritus Abdullah Hassan