Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Selamat Hari Lahir Anakanda Aini

Pada hari lahirmu ini, 27 Ogos, Ayahanda teringat pada peristiwa-peristiwa sekitar kelahiranmu di Hospital Pulau Pinang. Anakanda dilahirkan di Wad Bersalin berhampiran sekolah Residensi tempat anakanda bersekolah.

Hidup kita tidaklah semewah yang kita fikirkan. Gaji asas seorang pensyarah berkelulusan Ph.D. pada masa itu adalah RM940 sebulan, disertai dengan tambahan sedikit elaun. Jauh lebih kecil daripada pencen Ayahanda sekarang.

Semasa kecilmu, peristiwa yang sangat menyedarkan Ayahanda pada kesulitan hidup adalah, harga susu meningkat hampir setiap bulan. Tin besar yang berharga RM7.00 meningkat menjadi RM9.00 dan RM14.00 dalam masa yang sangat singkat. Hidup tidaklah susah, tetapi tidaklah mewah.

Apabila Ayahanada menyatakan kesulitan ini kepada Almarhum Tan Sri Hamzah Sendut, Naib Canselor USM pada masa itu, beliau tidak menjanjikan apa-apa. Tetapi pada bulan berikutnya, gaji ayahanda dinaikkan sepuluh tingkat. Cukup untuk memberi bantuan kepada Datuk, Opah, Tok Wan dan Tok Semanggol. Semenjak itu Ayahanda memberi tumpuan kepada profesion akademik. Hingga sekarang, apabila Ayahanda mengadakan doa tahlil, Ayahanda akan dengan diam-diam menujukan doa itu untuk seorang pemimpin yang pada Ayahanda sangat prehatin pada masalah anak buahnya. Bukan pada Ayahanda sahaja, tetapi kepada ramai staf di bawah pentadbirannya.

Pada hari lahirmu ini Ayahanda berdoa agar Anakanda akan terus menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak-anak. Didikan mereka perlu lengkap. Pada masa manusia melihat pendidikan sekular sebagai sesuatu yang sangat diperlukan bagi "mencari kerja," aspek spiritual perlu diberi perhatian juga. Agama.

Ya Allah, berkatilah dan bahagiakanlah kehidupan Anakanda. Sesungguhnya kami mendidik mereka semampunya, dan kami mendoakan yang terbaik daripada-Mu.

Lima tahun lalu, Aini, Azman, Amirah dan Rizal di Janda Baik, sebelum tiba Aiman.