Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Dahsyatnya Doa Ibu

semanggol.com

Setiap kali Ayahanda terlihat kulit buku "Dahsyatnya Doa Ibu," Ayahanda merasa gerun.

Apabila anakanda berjaya dalam peperiksaan, apabila anakanda mencapai kejayaan, apabila anakanda merasa bahagia dalam kehidupan; setiap satunya adalah diiringi dengan doa daripada ibumu. Mungkin anakanda tidak pernah mendengar doa ibumu bersimpuh selepas solat dan berdoa, atau menadah tangan ke hadrat Ilahi pada hening malam, namun tidaklah pernah ada ibu yang tidak mengingini kejayaan dan kebahagiaan untuk anak-anaknya.

Sekiranya benar tidak pernah Anakanda dengar, ingatlah pula: setiap pagi ibumu bergegas menyediakan sarapanmu, pakaian sekolahmu, dan memandu kereta supaya anakanda sampai di sekolah tepat pada waktunya. Dan mengambil anakanda di pintu pagar sekolah pada waktu tengah hari, dan bergegas membawa Anakanda pulang untuk makan tengah hari, dan kemudian menghantar Anakanda semula untuk aktiviti sekolah, untuk tuisyen, untuk mengaji, untuk itu dan ini dan seterusnya.

Semuanya diiringi dengan doa semoga Anakanda, apabila besar akan menjadi "orang."

Apabila anakanda dewasa dan sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, Anakanda akan sentiasa ingat pada beliau. Menjaga beliau. Membayar kembali tenaga, budi dan doa beliau.

Dan bayarlah kembali doa ibumu itu dengan menjadi anak yang baik, anak yang membalas jasa ibunya. Ibumu tidak pernah putus-putus mendoakan yang terbaik untuk Anakanda semua.

Oleh sebab itu, "Anakanda jangan pernah derhaka pada ibu!"