Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Melayu Muslim Kemboja

Dalam sejarah empayar Melayu, kita mendengar ada negara orang Melayu dan raja Melayu di Cham, iaitu di Kemboja, tetapi kita tidak mengetahui siapa dan di mana mereka sebenarnya. Ayahanda pernah menghantar wang sumbangan ramai orang melalui pemindahan elektronik melalui Maybank kepada orang-orang Melayu Kemboja ini. Itu sahaja. Siapa orang itu dan di mana mereka hidup, tidak terbayangkan dalam minda Ayahanda.

Pada hari ini Ayahanda melihat wajahnya, orang yang rupa parasnya memanglah Melayu. Bahasanya memanglah Melayu, cuma ada pelatnya, seperti pelat orang Thai. Ustaz Hasan Husin datang ke PTS bagi menerima cek, bagi membeli telekung yang akan digunakan oleh kaum ibu pergi bertarawikh pada bulan puasa kelak.

Yang menyentap jantung adalah cerita beliau tentang kemeskinan saudara Melayu Islam ini di Kemboja. Tidak terbayangkan pada kita yang tidak pernah kekurangan makanan.

Dalam percubaan Bonda Ainon bagi mengetahui apa yang dapat disumbangkan kepada mereka, Bonda bertanya, "Adakah lembu hidup itu dapat dimanfaatkan, atau apa? Apa yang dimakan oleh saudara Melayu Islam di Kemboja pada bulan puasa ini?"

Jelas Ustaz Hasan Husin, "Oh! tidak ada daging, tidak ada nasi. Lepas tarawikh kami cuma makan biskut kering dengan teh kosong. Itu pun, ada yang mengisi biskut tersebut ke dalam poket dan dibawa pulang untuk anak-anak pula!"

Dengan roman mukanya yang menyatakan sesuatu dengan penuh kebenaran, air mata Ayahanda jatuh ke dalam!

Oleh itu Anakanda, panjangkanlah tangan Anakanda bagi menghulurkan sumbangan kepada manusia yang tidak sebaik hidupnya berbanding dengan kehidupan anakanda. Dan Allah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin kerana bersedekah!

Dalam ungkapan Almarhum Ayahanda Prof. Yunus Maris, "Be thankful to Allah! For the grace of Allah, you could have been born as them."