Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Dengan Penuh Syukur dan Genangan Air Mata, Kami Terima Suratan Ilahi

Ayahanda berada di KLIA, pada 27 Mei 2011 menghantar Bonda Cik Hasanah, Bonda Acu Kartini, dan Anakanda Nurulhuda serta Anakanda Ilham menunaikan Umrah. Ayahanda sempat makan bersama Bonda Cik Hasanah.

Kami lama juga tidak bersua. Beliau ada datang ke Janda Baik Sabtu lalu, tetapi Ayahanda berada di Riau. Oleh sebab ada ramai pelajar berkhemah di pekarangan rumah, beliau dan sepupu ayahanda Haji Malik, cuma lalu saja di depan rumah.

Pada kesempatan ini, kami bercerita fasal keluarga. Bonda Cik bercerita pula mengenai pergolakan dalam keluarga salah seorang anakanda. Dan akhirnya terpaksa juga berpisah. Dengan kepala yang menunduk dan bahu yang jatuh, memang kelihatan berat amat beliau menanggung, dan berat juga Ayahanda rasakan.

Ayahanda cuma dapat berkata, "Kanda memahami segala proses ini. Apabila sudah tidak dapat dielakkan lagi, demikian adalah penyelesaian yang lebih baik. Tidak ada ertinya menyambung hubungan keluarga yang sudah tidak lagi berfungsi. Namun anak-anak jangan sekali-kali diracuni. Biarlah anak-anak bebas menemui ayahandanya. Janganlah diperbalahakan harta dunia yang sementara. Ikut sahaja hukum Allah, supaya kita tidak dihisab lagi di hadapan Allah Azzawajalla."

Ini bukan fasal siapa perlu hormat pada siapa! Ini bukan fasal siapa tidak tahu tanggungjawab! Ini bukan fasal sebab musabbab! Ini adalah fasal meneruskan kehidupan dalam keadaan yang bermaruah. Akibatnya, kita mungkin tidak gembira, tetapi lebih penting lagi, kita tidak terus murung dan bersedih. Semoga Allah meredhai tindakan hambanya ini.

Namun dalam fikiran kami ada beban yang sangat berat, dalam hati ada perasaan yang sangat hiba, dan dalam mata ada genangan air mata.