Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Kini Batuk Uwo Tidak Kedengaran Lagi!

Daripada semanggol.com

Setiap kali saya pulang ke Kampung Ehya, Bukit Semanggol, saya akan membawa keluarga bermalam di rumah bonda, kebetulan terletak di belakang asrama pelajar perempuan Ehya Ashariff. Suasana lazimnya agak bising pada waktu siang. Ramai suara anak-anak perempuan bersiap pergi dan pulang dari sekolah. Pada awal malam mereka juga agak riuh dengan persiapan kerja sekolah.

Namun pada waktu malam, ternyata berbeza sekali. Suasana akan sepi dan hanya penuh bunyi serangga malam yang datang dari gunung, Gunung Semanggol, dan dari bendang (sawah), di seberang tali air. Lazimnya sepi dan dingin. Pada waktu jauh malam, saya akan terdengar Uwo (nenek dalam bahasa Melyu Kampar) batuk-batuk, dan sesekali membuang kahaknya ke dalam labu yang diletakkan di tepi katilnya. Kami memanggil nenek kami "Uwo."

Uwo ini adalah istimewa pada saya dan adik-adik. Semasa beliau masih muda, saya sering pergi ke rumahnya di Balun, Slim River pada masa cuti sekolah. Dan cuti sekolah pada masa itu lazimnya bertepatan dengan musim buah. Ada durian, pelbagai jenis, tembaga, suasa, tapak gajah, ... dan pulasan, cempedak bergugusan di keliling batang, sesekali ada berangan. Dan ada buah terap, tetapi tidak dimakan seperti kemudian saya ketahui, dimakan oleh orang di Brunei. Malah adinda Hasanah dan Kartini pernah tinggal dengan nenek.

Apabila Uwo pindah ke Penderas di Slim Village, mereka juga ikut. Di tapak rumah inilah, kini, atas permintaan adik-adik, saya dirikan sebuah rumah kampung kecil dan murah bagi memperingati Uwo. Semua ahli keluarga dibekalkan seorang satu kunci rumah ini. Sesiapa saja boleh berihat di rumah ini.

Sepanjang tahun 1979, saya menjadi sarjana tamu, mulanya di Ohio University, Athens, dan kemudian di University of California, Berkeley. Semasa di Berkeley, saya menerima sepucuk surat mengatakan Uwo sudah berpulang ke Rahmatullah. Ada rasa sedih yang tidak terhingga! Tetapi kami sangat jauh. Dan pada masa itu belum ada handphone, oleh sebab itu berita lambat benar sampai.

Selepas itu, kami berangkat ke Edinburgh, dan menjelang musim haji, saya dan isteri berangkat menunaikan fardhu haji di Mekkah. Ada banyak kenangan, dan kami pulang awal, sebelum Ka'bah diserang pada tahun itu, Hijrah 1400.

Pulang ke tanah air selepas itu, saya menziarahi pusara Uwo. Seperti biasa, kami bermalam di rumah Tuk Semanggol. Cuma pada malam itu batuk Uwo tidak kedengaran lagi. Subuh itu saya bacakan Yaasin dan tahlil untu ruh Uwo. Semoga ruh Uwo disayangi oleh Allah. Hidup Uwo tidaklah pernah mewah, hanya sangat asas. Berilah Uwo ganjaran yang terbaik di akhirat nanti.