Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Jikalau dalam Bahasa Inggeris, "Seeing another man itu" Biasa Sahaja!

Universiti Pendidikan Sultan Idris ini banyak menerima pelajar yang sudah matang, khususnya guru sekolah rendah yang dikehendaki mengambil kursus ijazah dan pascasiswazah. Kadang-kadang, apabila ada siswa yang berkeluarga ini menghadapi masalah, apa sahaja masalahnya; belajar, buku bacaan, persahabatan, kurang wang perbelanjaan mahupun masalah sangat peribadi, maka lazimnya mereka datang menemui Ayahanda bagi mendapatkan pandangan (pada mereka), tetapi nasihat pada Ayahda.

Seorang siswa wanita yang sudah berkeluarga menemui Ayahand minggu lalu. Dia sudah bersuami dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Wajahnya sedih dan muram akibat menanggung beban emosi maha berat. Ayahanda mempelawakan dia duduk dan bertenang.

Lalu dia berkata, "Professor, I have a big problem!! I look up to you like a father, and I need your opinion. Can you help me?"

Jawapan Ayahanda, "Insya Allah! Ceritakanlah. Sekiranya dapat, saya akan cuba membantu Cikpuan."

Siswa wanita terus sahaja berkata, "I am seeing another man. Now my husband just found out. He is mad!! He is very angry! Maybe he will divorce me!"

Ayahanda diam memberi waktu siswa ini bercakap lagi.

Siswa wanita, "But I love my husband. I love my children!!"

Dan panjang lagi ceritanya. Hampir setengah jam dia bercakap. Akhirnya dia diam dan menangis sahaja. Ayahda cuma memberikan kertas tisu mengelap air mata.

Ini siswa yang bijak berbahasa Inggeris, sepatah pun belum ada perkataan Melayunya. Tetapi Ayahanda terus sahaja berbahasa Melayu.

Dipendekkan cerita akhirnya Ayahanda berkata, "Cikpuan! Cikpuan berlaku curang pada suami! Apa yang Cikpuan lakukan ini adalah satu dosa."

Siswa itu tersentak besar mendengar perkataan "curang" dan memprotes, "But!! Can't be that serious! I am only seeing the man! I didn't do anything else!"

Ayahanda, "Seeing another man itu, bunyinya biasa sahaja. Tidak serius. Tetapi apabila kita menggunakan kata 'curang' dalam bahasa Melayu, itu serius. Implikasinya dosa, suami puan menaggung maruah, malu, dan dalam agama kita, itu serius. Sangat serius."

"Perbuatan Cikpuan itulah yang dikatakan curang! Dan berada berdua-duaan bersama lelaki lain bukan muhrim itu tidak dibenarkan oleh agama dan bangsa kita. Bukan muhrim itu maksudnya yang batal air sembahyang dengan kita."

"Orang lelaki yang mengetahui isterinya berbuat begitu dan tidak melakukan apa-apa adalah dayus, dan lelaki dayus tidak akan masuk syurga."

"Maka itu sebabnya suami Cikpuan bertindak begitu. Pada beliau, beban menanggung seorang isteri begini adalah lebih besar."

Lama siswa itu diam. Tetapi akhirnya dia bertanya, "What should I do now?"

Ayahanda, "Pulanglah kepada suami dan anak Cikpuan! Minta ampunkan dosa Cikpuan. Sekiranya mahu bercerai pun, minta ampun dahulu! Dan minta ampun juga daripada Allah."

Siswa, "No! I don't want a divorce. I dont think this man I see wants to marry me!"

Ayahanda, "Tahu pun Cikpuan. Itulah suatu kesilapan bodoh kita! Ramai orang pernah buat kesilapan! Fahami dan akuilah kesilapan dan kebodohan kita itu! Baahrulah dapat kita membetulkannya."

Minggu lalu Ayahanda makan di restoran Cina halal kegemaran Ayahanda. Ada meja yang diduduki oleh sepasang suami isteri dan dua orang anak.

Wanitanya cepat-cepat bangun dan memandang Ayahada, lalu berkata "Prof. This is my husband! And my children!"

Ayahanda menunjukkan kegembiraan sambil bersalam dengan suaminya, dan suaminya mengarahkan anak-anaknya, "Salam Prof! Ini guru emak! Salam! Amin! Amin! dengan Prof." Anak-anak itu mengikut sahaja sambil senyum-senyum.

Sambil berkata "Amin!" dalam hati Ayahanda sebenarnya mendoakan semoga mereka bahagia. Waktu bergerak pergi Ayahanda meninggalkan pesan "Ajar anak-anak ini berbahasa Melayu dulu, Cikpuan. Bahasa Inggerisnya kemudian!"

Siswa, "Terima kasih Tuan Profesor. Terima kasih. Sekarang saya faham! Betul-betul faham. What is okay in English may not be okay in Malay."

Ayahanda cuma membalas senyum siswa yang cepat belajar ini.