Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Ayahda dianugerahi Gelaran Profesor Emeritus

Dr. Abdullah Hassan menerima anugerah gelaran Profesor Emeritus daripada Tuanku Fauziah, Canselor Universiti Sains Malaysia.

canselor

 

 

Pada 16 Ogos 2006, Universiti Sains Malaysia menganugerahi Dr. Abdullah Hassan, Profesor Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, gelaran Profesor Emeritus sebagai mengenang jasa beliau kepada Universiti Sains Malaysia, dan kepada bidang ilmu bahasa di tanah air. Gelaran itu disampaikan oleh Canselornya, Tuanku Fauziah.

Beliau dilahirkan pada 20 Mac 1942 di Teluk Anson (Intan), Perak. Pendidikan beliau bermula di Sekolah Melayu Semanggol dan Teluk Anson (1948-1955), dan pendidikan menengah beliau adalah di STAR Ipoh 1956-1963. Beliau menyambung pengajiannya di Universiti Malaya dan lulus ijazah  B.A. pada tahun 1967 dan M.A. pada 1969. Kemudian beliau melanjutkan lagi pengajiannya ke Universiti Ediburgh dan lulus ijazah Ph.D. pada tahun 1972.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan memulakan kerjaya akademiknya sebagai tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1967-1969). Selepas menerima ijazah Ph. D. pada tahun 1972, beliau menjadi pensyarah di Unit Pengajian Bahasa, Universiti Sains Malaysia. Beliau dinaikkan pangkat menjadi profesor madya pada tahun 1976, dan profesor pada tahun 1980. Pada tahun 1982 beliau dilantik menjadi Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah pada tahun 1989.

Beliau berkhidmat di USM selama 25 tahun hingga bulan Mac 1997. Setelah meninggalkan USM, beliau dilantik menjadi Profesor Komunikasi dan Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, dan seterusnya Pengarah Pusat Penyelidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hingga Jun 2001.Sejak Julai 2001, beliau dilantik menjadi Profesor Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak.

Di pentas antarabangsa, beliau pernah dianugerahi Fellowship Fullbright-Hays dan sekali gus dilantik menjadi profesor kunjungan di Ohio University Ohio dan University of California, Berkeley pada tahun 1979. Seterusnya beliau menjadi profesor perunding untuk kursus terjemahan di Regional Language Centre, Singapura (1980).

Selain sebagai pemegang keempat Kerusi Tun Abdul Razak, di Center for International Studies, Ohio University, Athens, Ohio, Amerika Syarikat, (19879-1989), beliau pernah menjadi profesor kunjungan di East Asia Department, Universiti Frankfurt, Jerman (2004) bagi mengajarkan bahasa Melayu kepada pelajar dan pensyarah dari Eropah dan Rusia.

Bidang pengajaran dan penyelidikan beliau adalah: Linguistik, Tatabahasa Bahasa Melayu, Perancangan Bahasa, Perkamusan, Teknik Berfikir, Terjemahan, dan Komunikasi Interpersonal. Beliau telah menulis 27 buah buku mengenai bahasa, tatabahasa dan linguistik, dan menterjemah 11 buah buku. Bersama isteri beliau, Ainon Mohd., mereka menghasilkan buku-buku mengenai berfikir dan komunikasi serta empat buah kamus terkini mengenai peribahasa dan sebuah kamus penting untuk penterjemah Inggeris-Melayu.

Beliau adalah antara sarjana Melayu yang lantang memperjuangkan bahasa Melayu, iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran. Pada beliau hanya bahasa peribumi dapat membina dan menyampaikan pendidikan untuk semua rakyat. Lantaran itu, beliau dan isteri menubuhkan PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd., sebuah syarikat penerbitan yang kini sangat aktif menghasilkan buku ilmu yang berkualiti dalam bahasa Melayu. Ini adalah perjuangan mereka mendaulatkan bahasa Melayu, demi memandaikan anak bangsa dalam bahasa peribumi.

Sehubungan dengan itu beliau juga gigih memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu Tinggi.

Prof. Abdullah adalah ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia, dan Sahabat Alam Malaysia. Beliau adalah presiden Persatuan Penterjemah Malaysia sejak 1997 hingga sekarang.

Beliau dan isterinya kini menetap di Janda Baik, sebuah kampung peranginan Melayu yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa. Di samping masing-masing berkarya, mereka memberi tumpuan kepada tiga projek amal di kampung tempat mereka tinggal, iaitu: membangunkan masyarakat (Temuan) orang asli, melatih sukarelawan muda untuk kerja sosial dan membantu pentadbiran Pondok Tahfiz Janda Baik.

children

Profesor Emeritus digandingi oleh anakda Aini, Ayu dan Anom.

emeritus

Anugerah Profesor Emeritus.