Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Merdeka 2009

Ini adalah nota yang saya tulis pada 31 Ogos 2008. saya timbulkan kembali supaya dimenungkan.

Perkataan MERDEKA itu berasal daripada bahasa Sanskrit. Umumnya kita mentakan merdeka itu adalah kebebasan. Pada awal-awal kita mencapai kemerdekaan, kita sering menyamakannya dengan berkerajaan sendiri. Ini juga bermaksud kita akan menentukan sendiri nasib diri kita.

Namun adakah kita sudah betul-betul merdeka.

Ada perkembangan baik juga. Tidak banyak kereta yang mengibar-ngibarkan bendera. Tidak juga banyak orang berbaris-baris di padang. Tidak banyak orang berforum-forum. Tidak banyak orang berceramah-ceramah. Malah itu semua bukan makna merdeka.

Makna merdeka itu adalah lebih dalam. Ia mempunyai ciri-ciri berikut: kemerdekaan MINDA, kemerdekaan BUDAYA, kemerdekaan BELAJAR, kemerdekaan BERFIKIR, kemerdekaan MEMBUAT KEPUTUSAN, kemerdekaan daripada KEMISKINAN, kemerdekaan daripada KEJAHILAN, kemerdekaan daripada RASUAH, kemerdekaan menikmati HAK-HAK ASASI, dan banyak lagi.

Contoh-Contoh Teromba

Teromba yang diungkapkan adalah seperti berikut:

Merisik dalam adat istiadat perkahwinan

Adalah saya bak kata orang,
Kok ibarat umur baru bertukar muda,
Pendapatan pun belum ada,
Pandangan pun belum banyak,
Pengalaman pun belum jauh,
Kok darah belum setampuk pinang,
Kok jalan kurang pasa,
Kalau begitu kedatangan saya ini,
Ibarat pergi ke huma,
Singkap daun ambil buah,

Adapun kedatangan saya ini sama-sam faham,
Orang ke awak, awak ke orang,
Semenda bersemenda 
Kok ibarat dasar pusaka,
Kok segar disiram,
Kok putus kata di pangkal,
putus dengan dibagi,
Duduk berperuntungan,
Mati hukum Allah.

Duduklah pula sepelarasan,
Pandangan memandang satu nan lain,
Iaitu bersuku-suku,
Berapalah sukunya dua belas,
Dua belas Muar dua belas Jempol,
Enam Teraci Enam gunung Pasir,

Kok selaman sepermainan,
Kok sejamban seperulangan,
Tapi dek hokum tak mengambil,
Diharuskan pula semenda-menyenda.

(Mohd. Yusof Md. Noor & Abd. Rahman Kaeh, 1996: 196)

 

Persefahaman dan tolong-menolong

Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat
Faham sesuai, benar seukur
Bulat segolek, pipih selayang
Rundingan jangan selisih
Muafakat jangan bercanggah

Tuah pada sekata
Berani pada seia
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tidak ada sama dicari
Sama sakit sama senang
Ke bukit sama mendaki
Ke lurah sama menuruni sama mengayun sama melangkah

Jika khabar baik diberitahu
Jika khabar buruk serentak didatangi
Jika jauh ingat-mengingat
Jika dekat temu-menemui

Dapat sama laba
Hilang sama rugi.

(Warna Sari Sastera Melayu Tradisonal, 1996:342)

Adat sebenar adat

Adat tak lekang oleh panas
Adat tak lapuk oleh hujan
Adat berwaris pada nabi
Adat berkhalifah kepada adam
Adat berinduk keulamak.
Adat dianjak layu umbat mati
Adat ditanam tumuh di kubur hidup
Adat terconteng di lawang
Adat tersurat di kertas
Adat tersirat dalam sunnah.

Kalau tinggi dipanjatnya
Bila rendah dijalarnya.
Riaknya samapi ketebing
Unutnya sampai kebakal
Resamnya sampai kelaut luas
Sampai ke pulau karam-karaman.
 
Sampai ke tebing lembak-lembakan,
Sampai ke arus yang berdengung,
Kalau tali boleh diseret,
kalau rupa boleh dilihat,
kalau rasa boleh dimakan.
 
Itulah adat yang tahan banting
Itulah pusaka yang tahan asak
Adat yang turun dan berkembang
Adat turun dari Datuk Temenggung
Adat turun dari Tuk Perpatih Pinang Sebatang.
Adat yang diikat dengan syarak
Adat yang bertalikan kiatabullah
Adat yang menjadi galang lembaga.
Adat yang menjadi ico dan pakaian
Adat yang digenggap diperselimut
Adat yang dipakai orang Melayu
Yang keras tak tertakik
Yang lunak tak tersudu

Dibunal ia singkat
Direntang ia panjang
Kalau kendurnya berdenting-denting
Bila tegang berjela-jela
Itulah adat sebenar adat.

Adat yang diadatkan
Adat yang diadatkan
Adat yang turun dari raja
Adat yang tumbuh dari datuk
Adat yang cucur dari penghulu
Adat yang dibuat kemudian
 
Putus muafakat ia berubah
Bulat kata ia berganti
Beralih musim ia layu
Bertukar angin ia melayang
Bersalin baju ia tercampak
Berkisar duduk ia beralih
Berpaling tegak ia lepas
Adat yang dapat dibuat-buat
Adat yang dapat ditukar salin.

Adat yang teradat
Adat yang teradat
Datangnya tidak berberita
Perginya tidak berkhabar
Kecilnya teranja-anja
Besarnya terbawa-bawa
 
Adat yang bersarung tidak berjahit
Adat yang berkelindan tidak bersimpul
Yang dibawa burung lalu
Yang tumbuh tidak tertanam
Yang kembang tidak berkuntum
Yang bertunas tidak beranting
 
Adat yang datang kemudian
Yang diseret jalan panjang
Yang bertenggek disampan lalu
Yang belabuh di atas tangan
Yang tidak berurat tunggang
Datang angin ia terbuang
Datang panas ia lekang
Datang hujan ia retak.

Adat Tonggak Nilai

Tatkala
Kampung sudah bersudut,
sawah sudah berjenjang,
Pucuk sudah meliuk,
Pinang sudah berjejer,
Adat dengan pusaka diadakan, iaitu:
Alam beraja,
Luak berpenghulu,
Suku bertua,
Anak buah beribu buapak,
Orang semenda bertempat bersemenda,
Kunci anak buah ibu buapak,
Kunci luak penghulu,
Kunci alam raja.

Adat nang berjenjang naik,
Bertangga turun:
Berlukis, berlembaga,
Berturas, bertauladan.
Pulai nang berpangkat naik,
Manusia berpangkat turun.
Kambing biasa membebek,
Kerbau biasa menguak,
Ayam biasa berkokok,
Murai biasa berkicau,
Penghulu biasa menghukum adat,
Alim biasa menghukum syarak,
Hulubalang biasa menjarah,
Juara biasa melepas,
Saudagar biasa bermai bungkal teraju,
Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas.

Raja sekeadilan,
Penghulu seundang,
Tua selembaga,
waris sepusaka,
Ibu buapak seadat,
Tempat semenda seresam,
Raja berdaulat,
Penghulu berandeka,
Raja bertitah,
Penghulu bersabda,
Raja berkhalifah,
Penghulu bersuku,
Undang Berkelantasan,
Lembaga bersekat,
Raja Bersejarah,
Penghulu bersalasilah,
Lembaga berteromba,
Raja berdaulat dalam alamnya,
Penghulu bernobat dalam sukunya,
Buapak bernobat dalam anak buahnya,
Orang banyak bernobat dalam terataknya.

Salah hamba kepada tuan,
Salah murid kepada guru,
Salah anak kepada bapa,
Salah bini kepada laki,
Titah dijunjung sepenuh-penuh kepala,
sabda dipikul seuntuk-untuk bahu.
 
Kelebihan umat dengan muafakat,
Klebihan nabi dengan mukjizat,
Bualat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Air melurut dengan bundarnya,
Benar melurut dengan pakatnya,
Negeri tumbuh dengan adatnya,
Muafakat lalu di dalam gelap,
Dapat lalu di tengah terang,
Hilang adat kerana muafakat,
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung bumi,
Bujur lalu melintang patah,
Makanan adat dengan pusaka.

Kata orang kata bercalun, (kata berbalok),
Kata pegawai kata berhubung,
Kata hulubalang kata tunggal,
Kata undang kata perhiasan,
Kata raja kata berliput,
Kata mualim kata hakikat,
Kata adat kata nan benar.
 
Berdiri meninjau jarah,
Duduk meraut ranjau,
Menyerudup galas lalu,
Menyelam minum air,
Lain biduk lain galang,
Kaki terdorong, badan binasa,
Cepat tangan, dapat hutang,
Mulut berkata-kata, emas akan padahnya,
Terpijak benang arang, hitam tapak kaki.
 
Sumber: Mohamad bin Mohd Ali, 1957. Sandaran Cakap dan Pepatah Adat Melayu.
Kuala Lumpur: (Tanpa Penerbit)

Bahasa Melayu dan Perpaduan

Oleh Abdullah Hassan

PENGENALAN

Menurut Buku Maklumat Perangkaan (1987) penduduk Malaysia (dahulu Malaya) berjumlah 16.8 juta. Penduduk Malaya betul-betul menjadi multietnik sejak seratus lima puluh tahun yang lalu. Di bawah pentadbiran Inggeris, ketiga-tiga kaum etnik ini tinggal terpisah dari segi geografi, ekonomi dan sosialnya. Oleh  yang demikian, tugas utama kerajaan semasa mencapai kemerdekaan adalah menyatukan penduduk daripada berlainan kaum etnik ini dalam membina negara baru. Bahasa merupakan isu utama dalam pembinaan negara ini.

Read more: Bahasa Melayu dan Perpaduan

Bahasa Melayu Sebagai Wahana Jati Diri Bangsa?

Oleh Abdullah Hassan

Pengenalan

Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri.

Dalam sejarah pembinaan tamadun manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina tamadunnya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Oleh itu marilah kita memandang ke Eropah dan melihat bagaimana negara-negara Eropah membangun. Kita jadikan Eropah itu model. Pertama, kita akan melihat bagaimana seorang ahli matematik dan falsafah Jerman membangunkan bahasa Jerman demi membina tamadun bangsanya. Kedua, kita akan belajar daripada pemimpin dan sarjana Islam bagaimana mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab untuk membangunakan tamadun Islam. Daripada peristiwa-peristiwa ini kita melihat apakah kaedah yang dapat kita contohi; iaitu menyampaikan ilmu dan membina kepustakaan ilmu daaalam bahasa sendiri hendaklah dilakukan serentak.

Read more: Bahasa Melayu Sebagai Wahana Jati Diri Bangsa?

Bahasa Melayu Sebagai Teras Maruah Bangsa

Oleh Abdullah Hassan

Pidato Munshi Abdullah, Anjuran Lembaga Bahasa Melayu, Rumah Adat, Muara Sungai Duyung, Melaka, 8 Disember 1995.


PENGENALAN

Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum.  Mereka berbeza dari segi etnik, budaya, agama dan bahasa.  Oleh sebab itu, pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita telah membuat perancangan sosial untuk menyatukan mereka.  Dalam perancangan ini, pendidikan dimanipulasi untuk melahirkan bangsa Malaysia.  Pendidikan ini pula disampaikan melalui Bahasa Kebangsaan.  Hasrat ini termaktub dalam Penyata Razak (1956), yang mahu "budak-budak ini hendaklah belajar perkara yang sama melalui Bahasa Kebangsaan yang sama" untuk melahirkan bangsa yang bersatu dan "menganggap Persekutuan Tanah Melayu ini sebagai negara mereka".

Bahasa Kebangsaan adalah bahasa rasmi yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbirkan negara. Oleh sebab Bahasa Kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu, maka pada bahasa Melayu itulah terletaknya teras maruah bangsa Malaysia.

Read more: Bahasa Melayu Sebagai Teras Maruah Bangsa