Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Orang Asli Sungai Cemperuh

Daripada Blog Pesan Ayah entri 16 September 2008

Selepas mengimamkan tarawikh malam tadi, sebagaimana biasa ayahanda dan rakan-rakan duduk-duduk minum dan makan lebihan berbuka sebagai more.

Masih banyak makanan brlebih. Encik Dol dan isteri mencadangan makanan itu mereka bawa dan mereka akan menghantar ke rumah Mak Cik Wan Cara, orang Asli di Cemperuh, tidak jauh dari rumah ayahda dan bonda.

Yang menyayat adalah apabia Kamsiati isteri Encik Dol memberi tahu setiap kali mereka membawa makanan begitu, seluruh keluarganya bangun semula dan menikmati semua makanan yang dibawa. Mereka masih lapar.

Lima puluh satu tahun selepas merdeka, masih ada kalangan ahli masyarakat kita yang belum cukup makan.

Berita Sedih Perginya Seorang Rakan 31 Julai 2008

Daripada blog Pesan Ayah, entri 31 Julai 2008

S. Othman Kelantan meninggal pada hari ini 31 Julai 2008. Ayahanda kesedihan. Apabila tiba masanya ayahanda pergi, apakah anakanda semua akan sempat menatap wajah ayahanda?

Sedih hati bukan kepalang mendengar rakan begini pergi. Beliau pernah menjadi mahasiswa ayahanda di USM Pulau Pinang.

Beliau baru sahaja mula bertugas di Fakulti ayahanda bulan ini, Julai 2008. Ini bermaksud beliau belum pun sempat menikmati gaji bulan pertama beliau bertugas.

Semoga Allah mengasihani rohnya dan ditepatkan bersama orang-orang solih. Allah yang maha mengetahui.

Ailin di hospital

ailin
Ayahda berdoa semoga anakda Ailin di Stockholm cepat sembuh dan keluar dari hospital. Semoga anakda Imad dan Cucunda Akif dan seluruh keluarga baik-baik belaka.

Pada anakda Ayu dan Kyle di Hergesia, ayahda berdoa semoga anakda berua berada dalam keadaan sihat sejahtera, dan ayahda sentiasa berdoa semoga keadaan di Somaliland tidak bertambah buruk. Semoga anakda berdua dapat menyambung belajar semula.

Bertongkat bergalah, kudaki juga!

Sewaktu di Athens (1979), pada hujung minggu apabila cuaca mengizinkan, kita akan bersiar-siar di sekeliling Athens. Antaranya, kita mendaki Bukit Empangan Air di Athens. Anakda Ailin yang terkecil, punya langkah kecil juga. Tetapi, selalu mengikuti apa saja yang dilakukan oleh orang dewasa. Anakda Ailin selalu di belakang, tetapi dengan dorongan ayahda, dan hati yang tabah, Ailin akan melakukan apa saja. Satu langkah demi satu langkah.

mendaki

Bertongkat bergalah akan kudaki juga Bukit Empangan Air ini!

payah

Anakda Aini mendaki terus, tetapi sangat payah! Angin kencang sangat. Hati-hati! Dan Auntie Rahimah sentiasa di belakang, sekiranya 'Einstein' ini tergolek ke bawah. Auntie Rahimah memberi anakda gelaran 'Einstein.'

puncak

Ya! Akhirnya sampai juga Ailin di puncak Bukit Empangan ini. Bonda, Cor dan Nyah sudah menunggu! Cor dan Nyah sedikit lesu, tetapi semua sampai dengan selamat. Dan anakda Ailin masih berpegang pada tongkat, diperlukan untuk turun nanti.

Athens, Ohio, circa 1979.

Apa maksud syurga di bawah tapak kaki ibu?

Entri asal 11 April 2008

senja

Tatkala senja melabuhkan tirai di Janda Baik.

Betapa pentingnya ibu kepada kita. Pesan nabi Luqman a.s. kepada anakanya, "Hormatilah ibumu. Beliau mengandung kamu selama sembilan bulan, semakin hari semakin sarat kandungannya. Selepas kamu lahir, beliau menyusui kamu selama dua tahun. Maksudnya, tanpa ibu kamu tidak akan pernah dilahirkan.

Maka apalah peliknya, kita tidak boleh menyakiti hatinya, tidakpun dengan bunyi merungut. Maka hukum pada orang yang menyakiti hati ibu itu amat berat Apabila kita menyakiti hati ibu, kita tidak akan masuk ke syurga.

Pagi tadi rakan ayahanda Puan Saodah diminta mengadakan sebuah mesyuarat bagi mengadakan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Kesebelas pada hari Khamis. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir. Beliau terpaksa membantu anak angkat lelakinya membuat persediaan berkahwin. Katanya, ibu anak angkatnya itu tidak bersetuju dengan pilihan isteri anak angkat tadi. Oleh sebab itu sebagai ibu angkat, beliau mestilah membantu anak angkat yang akan berkahwin membuat persediaan.

Hati ayahanda cukup tidak senang mendengarnya, lalu ayahanda berkata, "Ya, Puan, memang baik betul sekiranya ibu si teruna itu bersetuju. Sekiranya tidak, alangkah buruknya, si teruna itu akan menjadi anak derhaka sekiranya dia meneruskan juga hasratnya itu. Yang Puan bantu itu anak yang membantah kata-kata ibunya, anak derhaka."

Dari laman rumah ayahanda di Janda Baik, pemandangan selalu indah. Tidak pernah tidak indah. Pada waktu hujan lebat pun sangat indah. Betapa ayahanda mengharapkan anakanda semua dapat bermalam juga sekali-sekala di rumah ayahanda. Dan anakanda merasakan apa yang ayahnda rasakan. Lama benar berlalu waktu semasa anakanda sentiasa ada di samping ayahanda.

Matahari turun di sebelah barat Banjaran Titiwangsa. Matahari terbenam pada setiap hujung hari adalah saat-saat indah yang paling menakutkan. Indah dan ta'jub pada kebesaran Allah. Takut kerana hidup ayahanda juga sudah sampai pada hujungnya. Satu hari nanti keindahan ini akan ayahanda tinggalkan juga. Apakah ayahanda akan dapat menatap wajah-wajah anakanda pada saat-saat terakhir, ataukah kali terakhir itu sudah lama berlalu.