Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Setelah 55 tahun berlalu!

Pagi tadi (10 Ogos 2011) ayahanda mengunjungi Bonda Cik Hajah Hasanah di Kampung Pasir Bayam, Dong. Bonda Cik adalah adinda yang selepas ayahanda, dan kami agak sebaya. Beginilah wajah kami sekitar 55 tahun dahulu, sewaktu ayahanda berusia 15 tahun dan bonda sekitar 13 tahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sudah banyak waktu dan usia berlalu. Bonda Cik tinggal berseorangan tetapi anakanda Adzmin tinggal berdekatan. beliau tidaklah keseorangan. Ayahanda mengunjungi beliau pagi tadi. Beliau sihat dan ceria.

Betapa ayahanda memikirkan masa yang sudah berlalu, dan lebih penting lagi, masa yang masih ada.

Anakanda Adzamin memotret gambar kami.

Bonda Cik di Dong

Selamat Hari Lahir Anakanda Ayu

daripada semanggol.com

Anakanda muncul ke muka bumi Allah ini tiga puluh tahun lalu. Kami sambut dengan segala kegembiraan. Dan Anakanda sentiasa membawa kegembiraan kepada Ayahanda dan Bonda.

Ayahanda berdoa agar Anakanda dan Kyle, dan bayi yang akan tiba, akan sentiasa bahagia.

Semoga Anakanda akan sentiasa dipelihara Allah.

Anakanda yang selalu ada kelainannya!

Memori Anakanda Juhaida mengenai Tok Nek

Daripada semanggol.com

Antara anakanda saudara saya yang mempunyai banyak memori mengenai "Pak Ajang" adalah Juhaida. Juhaida pernah tinggal bersama kami di Melawati sebelum berumah tangga.

Antara memori anakanda Juhaida adalah percutiannya di rumah Tok Nek di Semanggol. "Anakanda masih ingat, pada masa Anakanda berumur 11 tahun. Semasa cuti penggal sekolah selama dua minggu, anaknda bercuti di rumah Tok Nek di Semanggol. Anakanda selalu memancing di tali air di hadapan rumah Tok Nek. Ikan sangat banyak di tali air itu.

Pada satu hari, joran yang anakanda gunakan terjatuh ke dalam tali air. Tok Nek takut joran itu hanyut, sebab joran yang anakanda gunakan itu adalah joran pancing Ayahanda. Tok Nek takut ayahanda marah, dan oleh sebab itu Tok Nek turun ke dalam tali air sambil menjala joran tersebut. Air hampir separas dengan leher Tok Nek. Alhamdulillah, joran itu dapat dijala. Keesokannya Tok Nek demam, mungkin sebab airnya sejuk. Beria-ialah anakanda dimarahi kerana menjatuhkan joran itu ke dalam tali air.

Jikalau pergi ke mana-mana Tok Nek selalu membawa anaknda. Walaupun Tok Nek garang, tetapi beliau sangat menyayangi cucu-cucunya. Peti aisnya sentiasa penuh dengan ais krim Malaysia.

Al-Fatihah untuk roh Tok Nek dan Tok Ki

Dahsyatnya Doa Ibu

semanggol.com

Setiap kali Ayahanda terlihat kulit buku "Dahsyatnya Doa Ibu," Ayahanda merasa gerun.

Apabila anakanda berjaya dalam peperiksaan, apabila anakanda mencapai kejayaan, apabila anakanda merasa bahagia dalam kehidupan; setiap satunya adalah diiringi dengan doa daripada ibumu. Mungkin anakanda tidak pernah mendengar doa ibumu bersimpuh selepas solat dan berdoa, atau menadah tangan ke hadrat Ilahi pada hening malam, namun tidaklah pernah ada ibu yang tidak mengingini kejayaan dan kebahagiaan untuk anak-anaknya.

Sekiranya benar tidak pernah Anakanda dengar, ingatlah pula: setiap pagi ibumu bergegas menyediakan sarapanmu, pakaian sekolahmu, dan memandu kereta supaya anakanda sampai di sekolah tepat pada waktunya. Dan mengambil anakanda di pintu pagar sekolah pada waktu tengah hari, dan bergegas membawa Anakanda pulang untuk makan tengah hari, dan kemudian menghantar Anakanda semula untuk aktiviti sekolah, untuk tuisyen, untuk mengaji, untuk itu dan ini dan seterusnya.

Semuanya diiringi dengan doa semoga Anakanda, apabila besar akan menjadi "orang."

Apabila anakanda dewasa dan sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, Anakanda akan sentiasa ingat pada beliau. Menjaga beliau. Membayar kembali tenaga, budi dan doa beliau.

Dan bayarlah kembali doa ibumu itu dengan menjadi anak yang baik, anak yang membalas jasa ibunya. Ibumu tidak pernah putus-putus mendoakan yang terbaik untuk Anakanda semua.

Oleh sebab itu, "Anakanda jangan pernah derhaka pada ibu!"

 

Melayu Muslim Kemboja

Dalam sejarah empayar Melayu, kita mendengar ada negara orang Melayu dan raja Melayu di Cham, iaitu di Kemboja, tetapi kita tidak mengetahui siapa dan di mana mereka sebenarnya. Ayahanda pernah menghantar wang sumbangan ramai orang melalui pemindahan elektronik melalui Maybank kepada orang-orang Melayu Kemboja ini. Itu sahaja. Siapa orang itu dan di mana mereka hidup, tidak terbayangkan dalam minda Ayahanda.

Pada hari ini Ayahanda melihat wajahnya, orang yang rupa parasnya memanglah Melayu. Bahasanya memanglah Melayu, cuma ada pelatnya, seperti pelat orang Thai. Ustaz Hasan Husin datang ke PTS bagi menerima cek, bagi membeli telekung yang akan digunakan oleh kaum ibu pergi bertarawikh pada bulan puasa kelak.

Yang menyentap jantung adalah cerita beliau tentang kemeskinan saudara Melayu Islam ini di Kemboja. Tidak terbayangkan pada kita yang tidak pernah kekurangan makanan.

Dalam percubaan Bonda Ainon bagi mengetahui apa yang dapat disumbangkan kepada mereka, Bonda bertanya, "Adakah lembu hidup itu dapat dimanfaatkan, atau apa? Apa yang dimakan oleh saudara Melayu Islam di Kemboja pada bulan puasa ini?"

Jelas Ustaz Hasan Husin, "Oh! tidak ada daging, tidak ada nasi. Lepas tarawikh kami cuma makan biskut kering dengan teh kosong. Itu pun, ada yang mengisi biskut tersebut ke dalam poket dan dibawa pulang untuk anak-anak pula!"

Dengan roman mukanya yang menyatakan sesuatu dengan penuh kebenaran, air mata Ayahanda jatuh ke dalam!

Oleh itu Anakanda, panjangkanlah tangan Anakanda bagi menghulurkan sumbangan kepada manusia yang tidak sebaik hidupnya berbanding dengan kehidupan anakanda. Dan Allah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin kerana bersedekah!

Dalam ungkapan Almarhum Ayahanda Prof. Yunus Maris, "Be thankful to Allah! For the grace of Allah, you could have been born as them."