Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Ayahda Wa Othman berpulang ke Rahmatullah

Entri asal 6 Disember 2008

Pada pagi Selasa 11 November 2008, ayahanda menerima berita sedih dari Acu (Bonda Bongsu) Kartini bahawa kekanda Othman sudah pulang ke rahmatullah pagi itu.

Sebagai mana biasa ayahanda sentiasa sibuk dengan urusan dunia, khususnya seminar. Ayahanda sedang menuju UPM sejak pagi. Waktu Pak Cik (Ayahda Kecil Hussin) meninggal juga ayahanda berseminar di Langkawi. Rasa kesal di hati memang tidak dapat ayahanda ungkapkan. Kesal kerana sibuk dengan urusan dunia.

Perasaan ini terhibur sedikit mengenangkan ayahnda pergi ke Sungai Kepar menemui beliau pada hari raya Aidil Fitri lalu. Beliau uzur dimakan usia, tetapi masih bermegah masih dapat melakukan solah tarawih sepenuhnya. Kelihatan beliau semakin lemah dan uzur.

wa1

Pada waktu ayahda tiba, inilah saja yang sempat ayahda lihat. Jenazah beliau sudahpun dikafankan. Ingin benar ayahanda supaya anakanda merasakan, bahawa kematian itu pasti tiba. Tidak kita ketahui bila. Apabila sampai ketikanya nanti, inilah sahaja yang tinggal. Tinggallah keluarga, tinggal rakan, tinggallah dunia. Kita ini kecil sahaja. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Pada anakda semua, kita perlu mengambil berat tentang sakit mati saudara mara begini; bukan saja kenduri kendara untuk upacara perkahwinan.

wa2

Ayahda merasakan saat ini semakin hampir untuk ayahda juga. Terasa benar ada kekurangan pada diri. Sudahkan kita bersedia bagi mengadap ilahi pada suatu ketika nanti. Ayahda tetap akan ditanya sama ada anakda semua mendapat pendidikan Islam yang secukupnya daripada ayahda. Tentu tidak. Berharap benar ayahda supaya anakda memperlengkap diri anakda apabila dewasa. Itulah saja pesanan ayahda pada anakda pada saat ini.

wa3

Kita semua akan melalui saat-saat ini. Akhirnya kita akan kembali juga kepada Allah. Dan, perjalanan terakhir itu, kita akan lalui berseorangan, tiada siapa yang akan menemani kita. Yang akan dapat membantu kita hanyalah doa daripada anak-anak soleh yang kita tinggalkan. Kini anakda semuanya sudah berkeluarga, anakda akan dapat memahami ini. Begitu pentingnya akada semua tidak pernah tidak takut pada Allah.wa4

Doa ayahda untuk Abang Ipar yang sudah pergi. Semoga Allah mengampuni dosanya dan menerima dan menempatkan rohnya bersama-sama roh orang soleh yang lain.

Pak Wa sangat wara', bahkan pada hari Jumaat sebelum beliau meninggal, beliau masih dapat menunaikan solat Jumaat dengan ditemani seorang cucu lelakinya.wa4a

Talqin ayahda untuk Pak Wa. Pada saat ini, semua yang lain di dunia ini tidak ada ertinya lagi.

wa5

Kiranya anakda lupa wajah mereka, inilah Pak Wa dan Mak Wa selepas berkahwin. Mak Wa adalah saudara perempuan ayahda yang tertua.

wa6

Gambar di bawah, Pak Wa dengan Mak Wa bersama kanda Rosda dan Kanda Rosdi. Kanda Rosda pernah tinggal dengan kita di Jalan Pemancar, Pulau Pinang, dahulu.

wa7

Mungkin inilah foto terakhir yang merakamkan wajah Pak Wa.

wa8

Pak Wa dan Mak Wa, semasa ayahda mengunjungi mereka pada hari raya. Mak Wa menceritakan Pak Wa masih dapat menunaikan sembahyang terawih sepenuhnya, dan pada Jumaat lalu beliau masih solah Jumaat dengan dipapah oleh cucunya.

wa9

Pak Wa dengan ayahda. Betapa pada hari itu Pak Wa berkata pada Mak Wa, beliau akan 'pergi tidak lama lagi. Oleh sebab itu beliau tidak akan ikut sama pada hari keluarga pada 10 Disember kelak. Oleh sebab itu, beliau menasihatkan Mak Wa supaya meneruskan rancangan menyambut Hari Keluarga itu di rumah mereka tanpa beliau.

Antara aktiviti yang apling anakda suka lakukan apabila anakda dibawa menziarahi mereka semasa anakda kecil daulu adalah, pergi ke belakang rumah mereka. Letaknya di Sungai Kepar. Ada sawah yang luasterbentang. Gunung Semanggul berdiri megah di belakangnya. Titik-titik putih dalam sawah itu adalah burung bangau yang mencari anak-anak ikan pada awal musim padi ditanam, iaitu semasa sawah masih berair.

wa10

Gunung semanggul. Gunung ini bukan sekadar nostalgi pada ayahda. Ayahda selalu ingat, terpahat dalam ingatan, bahawa inilah salah satu gunung yang gagah. Di kaki gunung ini terletak sebuah institusi pendidikan agama yang sangat terkenal dalam negara kita. Di sinilah terletaknya Maahadul Ehya Asshariff, sekolah agama yang diasaskan oleh seorang tokoh ulama tempatan, UstazAbu Bakar al-Baqir. namun sekarang, nama semakin pudar dan tenggelam oleh dasar pendidikan sekular dalam negara kita sekarang.

Ada dua peristiwa penting yang disaksikan oleh gunung ini dalam sejarah negara kita. Pertama, di sinilah tertutbuhnya parti Hisbul Muslimin. Kedua, gunung inilah yang dimaksudkan oleh almarhum datuk Onn Jaafar dengan kata-katanya yang terkenal, "Hubaya-hubaya bahaya dari gunung ...

Beliau menasihati polis cawanga khas dalam pemerintahan Inggeris mengenai bahaya parti Hisbul Muslimin yang ditubukan di Gunung Semanggul ini. Akibatnya penaja parti Hisbul Muslimin, UstazAbu Bakar al-Baqir dan Dr. Burhanuddin Helmi ditangkap dan ditahan.

 

anom abdullah ...

Salam ayahanda. Anakanda mungkin tidak akan berjumpa Pak Wa tapi berkesempatan berjumpa Mak Wa pada minggu lalu semasa pulang bercuti ke Pulau Pinang. Mak Wa masih sama rupanya, Rasanya tidak dijamah usia.
Sebuah petua yang terdengar daripada Mak Wa berkata pada bonda Maimunah, "Apabila kita mengaji, insyallah itulah petua supaya panjang umur dan tidak nyanyuk"
Akan anakanda ingat pesan Mak Wa hingga anakanda tertanam di liang lahad. Sejak kebelakangan ini anakanda merasakan yang beberapa kejadian pada diri anakanda mendekatkan lagi anakanda pada Allah, pengajaran yang anakanda dapat itu paling besar ertinya.
"Not everything goes our way, you do not always get what ever you want.  And I learnt it the hard way."  Dalam usia hampir 40 tahun dan 2 orang anak anakanda yang sudah menghampiri alam remaja, anakanda merasakan yang hidup ini terlalu singkat, belum cukup rasanya menghambakan diri pada Allah. Disember 6, 2008: 4.46 pm.
Alaikumus salam,

Semoga anakanda terus menjadi anak yang solih. Hanya inilah yang dapat menghiburkan ayahanda.

Ayahanda baru bertemu anakanda Ayu. Rasanya hati sangat duka dan berat. Cukuplah ayahanda berkata begitu.

Salam ayahanda pada anakanda dan semua keluarga.

December 6, 2008 5:04 PM

Akal Budi Melayu

Kapal layar dibawa arus.

Terus belayar ikut pedoman.

Pantun Melayu hidup terus.

Tidak kalah dilambung zaman.

 

Rumput tinggi di tepi hutan.

Bintang timur tinggi melambung.

Minta rezeki sebesar lautan.

Minta umur setinggi gunung.

 

Perahu payang layarnya merah.

Belayar menuju arah utara.

Keris dipegang bersintukkan darah.

Adat pahlawan membela negara.  

 

Orang Aceh pulang ke kubu.

Loceng berbunyi pukul lapan.

Samalah kasih sama setuju.

Bagailah paku lekat di papan.  

 

Pukul tujuh pukul lapan.

Pukul tabuh keliling kota.

Apabila bertiup angin selatan.

Angkat sauh belayarlah kita. 

 

Kalau berperahu ke Kuala Dipang.

Singgah di Jambi membeli bunga.

Kalau sudah tahu dagang menumpang.

Ikutlah rasmi ayam betina.

 

Ikan kedera dimasak pindang.

Tidak buang sisik cabut insang.

Susah dagang bukan sebarang.

Letih lesu menghempaskan tulang. 

 

Wangkang berlabuh di Tanjung Batu.

Pecah karang terlanggar batu.

Dagang sana sini tidak tentu.

Macam barang jual tidak laku. 

 

Subur padi di sawah seberang.

Padi bukit sambang selalu.

Kalau budi dikenang orang.

Mengapa dagang terbuang lalu.

 

Anak enggang terbang berlima.

Ingat-ingatlah tanda merah.

Anak dagang saya terima.

Ini pula sedaging sedarah 

 

Alangkah sedapnya ikan panggang.

Berulam pauh sambal cuka.

Beginilah hidup si anak dagang.

Orang jauh jadi saudara. 

 

Kajang tuan kajang berlipat.

Kajang saya mengkuang layu.

Dagang tuan dagang bertempat.

Dagang saya terbuang lalu.

 

Pergi ke pulau memetik mengkudu.

Hendak dikirim ke Surabaya.

Adat perantau memang begitu.

Sampai musim pulanglah dia. 

 

Jangan ditimba biduk Padang.

Makin ditimba penuh jua.

Jangan dicinta anak dagang.

Jika dicinta jauh jua. 

 

Kapal dagang kapal Bugis.

Kapal hendak ke negeri Cina.

Dulu tidak cukup sekarang tidak habis.

Adik ini hendak dibuang ke mana. 

 

Kalau pulang puyuh di ladang.

Bersahut-sahut sambil berbunyi.

Kalau pulang orang dagang.

Jangan lupa saya di sini. 

 

Encik Kadir anak Melayu.

Pandai memikat balam tembaga.

Syahbandar hendak memutuskan payu.

Kapal hendak masuk berniaga. 

 

Seri Mersing lagu Melayu.

Dikarang oleh biduan dahulu.

Hatiku runsing bertambah pilu.

Mengenang nasib dagang piatu. 

 

Dua belas gunung bertani.

Tanam nanas di dalam kebun.

Tuan tidak belaskah dagang kami

Siang berpanas malam berembun. 

 

Akar medang kusangka sanggang.

Susun daun si mali-mali.

Sudah nasib badanmu dagang.

Dunia tidak boleh pulang dua kali. 

 

Bercerita dalam bahasa Melayu Tinggi

Contoh bahasa Melayu Tinggi yang diucapkan oleh anak-anak sekolah. bahasa ini didasarkan kepada bahasa tulisan, iaitu bahasa sekolah.

Ali Setan

Ali Setan

Apa itu simbol??

porsheTahukah anakda apa itu simbol?

Simbol itu bukan benda sembenar. Ia cuma lambang kepada sesuatu yang kita maksudkan.

Umpamanya, katakanlah ada orang Melayu yang baru saja memulakan perniagaan. Oleh sebab beliau sudah memulakan perniagaan, maka timbullah keinginan pada hati beliau mahu menunjukkan yang beliau itu adalah seorang usahawan, dan usahawan yang berjaya. Bagaimanakah beliau mahu menunjukkan kepada orang yang beliau itu adalah usahawan berjaya?

Beliau mungkin dinasihatkan oleh jurujual kereta yang mahu menjual kereta supaya membeli sebuah kereta mahal, katakanlah sebuah Porshe. Apakah andaiannya?

Orang yang memandu Porshe itu adalah orang yang mempunyai banyak wang, iaitu orang yang sudah berjaya dalam perniagaan? Oleh sebab itu beliau pun membeli sebuah Porshe. Tetapi perniagaanya baru saja bermula, dan tentu sekali beliau belum mendapat banyak keuntungan, tidaklah cukup banyak untuk membayar harga sebuah Porshe yang mungkin sejuta.

Akibatnya beliau menanggung hutang. Hutang itu mungkin mengakibatkan perniagaannya kandas!

Beliau terpedaya membeli simbol kejayaan, iaitu sebuah Porshe. Tetapi beliau sebenarnya belum berjaya. Malah, lazimnya apabila seseorang usahawan itu berjaya, beliau tidak pun memerlukan simbol kejayaan. Beliau mungkin memandu sebuah kereta biasa sahaja, katakanlah sebuah Proton Perdana! 

Namun, ramai orang yang berhabis-habisan mengejar simbol, pada hal itu bukan benda sebenar.