Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

9. 2004. Menghayati Perpustakaan Berbahasa Melayu

MENGHAYATI KEPUSTAKAAN BERBAHASA MELAYU

Prof. Abdullah Hassan
Presiden, Persatuan Penterjemah Malaysia
(Profesor Bahasa Melayu, Fakulti Bhasa, UPSI)

Di Perpustakaan Negeri Melaka

2 Okt 2004

 

PENGENALAN

Tidak pernah ada bangsa yang membina peradabannya tanpa kepustakaan. Tidak pernah pula ada bangsa yang membina peradabannya di atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina peradabannya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Switzerland mempunyai kepustakaan dalam bahasa sendiri.

Untuk membina kepustakaan dalam bahasa kita, kita mestilah meyakini bahasa kita dapat berfungsi sebagai bahasa ilmu. Kemudian barulah kita dapat membina kepustakaan dalam bahasa kita.

Dalam sejarah ada peristiwa seperti ini. Pertama, kita akan melihat bagaimana seorang ahli falsafah dan matematik Jerman, dapat meyakinkan bangsanya supaya meninggalkan bahasa Perancis dan Latin untuk mencapai kemajuan. Kedua, kita akan melihat bagaimana pemimpin dan sarjana Islam membina kepustakaan dalam bahasa Arab untuk membina peradaban Islam. Daripada dua peristiwa sejarah ini kita akan melihat apakah kaedah yang akan dapat kita contohi untuk membina kepustakaan berbahasa Melayu.

 

Read more: 9. 2004. Menghayati Perpustakaan Berbahasa Melayu

8. 2004 Kemahiran Berbahasa itu adalah Kemahiran Berkomunikasi

Seminar Penerapan dan Pemerkasaan Ilmu Bahasa

Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Unibersiti Brunei Darussalam

Pada 11-12 Ogos 2004

Kemahiran Berbahasa itu adalah Kemahiran Berkomunikasi

Prof. Abdullah Hassan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

1. Pengenalan

Ada tiga istilah utama dalam tajuk seminar ini, iaitu: penerapan, pemerkasaan dan ilmu bahasa. Istilah ialah perkataan yang mengandungi konsep tertentu. Oleh sebab itu, izinkan saya mendefinisi ketiga-tiga istilah ini bagi membolehkan saya membicarakan tajuk ini seterusnya.

Penerapan ialah proses menggunakan ilmu bahasa. Dalam hal ini, menggunakan ilmu bahasa dalam mengajarkan bahasa Melayu.

Pemerkasaan adalah terjemahan daripada istilah Inggeris ‘empowerment’. Instilah empowerment itu bermasksud mengupayakan atau membolehkan. Dalam bahasa Melayu istiah memperkasa digunakan dengan maksud apabila bahasa sudah perkasa maka tentulah bahasa itu dapat melakukan apa yang dikehendaki. Namun begitu, istilah ini tidak tepat kerana tidak terus memberi makna yang dikehendaki. Oleh yang demikian, istilah ini tidak sesuai. Yang lebih sesuai ialah istilah bahasa Indonesia yang menggunakan perkataan “pemberdayaan.” Memberdayakan bahasa itu benar-benar membawa maksud empowerment.

Ilmu bahasa bermakna sebarang ilmu yang melibatkan bahasa. Ini bermaksud bukan sekadar nahu dan semantic sahaja, tetapi mesti melibatkan seni menggunakan bahasa atau komunikasi, dll.

Memberdayakan bahasa adalah sebih sesuai digunakan dalam konteks bahasa. Kita mengajarkan bahasa supaya kita berdaya menggunakan bahasa dengan berkesan.

Sukatan pelajaran bahasa Melayu yang mula dilaksanakan pada awal 2003 bagi negara Malaysia mengandungi tiga bidang kemahiran baru, iaitu komunikasi interpersonal, berfikir dan nilai. Sukatan pelajaran lama tidak memberi tekanan kepada kemahiran ini. Murid hanya diajarkan nahu dan selepas itu terpulanglah kepada murid tersebut menggunakan bahasa menurut tafsiran sendiri.

2. Pentingnya kemahiran interpersonal

 

Apabila kita mengajarkan nahu, kita mengajarkan mekanik bahasa. Manakala apabila kita mengajarkan kemahiran komunikasi interpersonal, kita sebenarnya mengajar kemahiran menggunakan bahasa dalam konteks sebenar. Ini adalah dinamika bahasa. Dinamika bahasa juga dikenali sebagai tatasosial bahasa. Oleh yang demikian, mengajarkan dinamika bahasa Melayu, atau tatasosial bahasa Melayu adalah sangat penting. Malah lebih penting daripada nahu.

Mengapakah kita mengatakan mengajarkan tatasosial bahasa kepada murid adalah lebih penting? Ada satu sebab utama. Apabila kita melakukan kesalahan nahu, kesan negatifnya tidak serius. Tetapi, apabila kita melakukan kesalahan tatasosial bahasa, kesannya sangat serius. Bahkan, kesalahan ini boleh membawa kesan yang sangat negatif dalam aktiviti interaksi atau transaksi kita dengan orang lain.

Kita boleh melihat contoh kesalahan nahu berikut.

  1. Seorang pensyarah melakukan kesalahan nahu apabila beliau menulis “pembaiki prestasi” dalam sebuah esei beliau. Ini adalah kerana dalam bahasa Melayu tidak ada apitan pem-...-i.  Kesalahan itu dibetulkan, dan esei beliau masih diterima, sebab kita tahu maksudnya ialah “pembaikan prestasi.”
  2. Seorang pensyarah lain menulis “mencolok mata,” bagi “menjolok mata.” Kesalahan ini dibetulkan dan beliau tidak dihukum.
  3. Bahkan ada calon sarjana pendidikan yang menulis disertasi yang pebuh dengan ayatn yang tidak mengandungi subjek. Itu pun dapat dibetulkan, dan beliau tidak dihukum.

Sekarang cuba pula lihat kesan kesalahan tatasosial berikut.

  1. Seorang pensyarah muda menjadi pengacara majlis yang dihadiri oleh para profesor, pegawai utama universiti, dekan, pengarah, timbalan naib canselor, dan naib canselor. Pengacara itu ingin menjemput tetamu duduk. Beliau berkata, “Saya minta kamu semua duduk di tempat masing-masing.” Beliau melakukan kesalahan tatasosial bahasa. Alangkah biadabnya bahasa beliau. Beliau tidak pernah dijemput mengacarakan majlis lagi.
  2. Seorang penyambut tetamu bertanya kepada seorang tetamu penting. “You dari syarikat mana Tan Sri?” Terdengar Tan Sri bercakap sendiri perlahan, “You kepala hotak kamu!”  Selepas itu, Sang Tan Sri berbisik dengan seorang pegawai. Penyambut tetamu itu dipanggil dan ditegur oleh pegawai tersebut.
  3. Seorang pelajar datang bertemu seorang profesor, dan kebetulan profesor itu sedang keluar dari pejabatnya menuju ke bilik air. Beliau berkata kepada pelajar “Tunggu sebentar, saya ke bilik air dulu.” Pelajar itu memberi respons, “Tak apa profesor, saya tunggu!” dan tangannya menyentuh bahu profesor seolah-olah rakannya. Profesor terhenti terkejut dan bterus erkata “Kamu tidak boleh menyentuh menyentuh tubuh saya.” Alangkah malunya ditegur begitu.

 

Read more: 8. 2004 Kemahiran Berbahasa itu adalah Kemahiran Berkomunikasi

7. 2004 Hubungan Kebudayaan dengan Bahasa

KONGRES KEBUDAYAAN RUMPUN MELAYU 2004

10-13 September 2004

ajuran bersama

Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), MKNJ, JKKWJ, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), dan Pejabat Pendidikan Johor (PPJ)

Hubungan Kebudayaan dengan Bahasa

 

Prof. Abdullah Hassan
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

1. Pengenalan

Apabila isu kebudayaan dibincangkan, cendekia Melayu yang sering terlibat adalah para sasterawan dan budayawan Melayu. Mereka adalah cendekiawan Melayu yang rapat dengan isu ini. Oleh itu, bagi melihat perbincangan terdahulu mengenai topik ini, kita ikutilah perbincangan ahli sasterawan, kebudayaan dan persuratan Melayu.

Walaupun kita jelas dalam membina dasar dan mengatur strategi bagi membangunkan ekonomi, pendidikan, pertanian, kesihatan, dll. tetapi kita tidak sebegitu konkrit apabila membina dasar untuk kebudayaan kebangsaan. Sekalipun Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibentuk pada tahun 1971, tetapi pelaksanaannya masih beleum memuaskan dan sering ditentang oleh persatuan-persatuan kaum Cina dan India. Malah dasar dan stategi kebudayaan kebangsaan adalah uasaha yang tidak kunjung selesai (Taib Osman, 1988). Ia adalah pelaburan jangka panjang sesebuah bangsa. Kita lihat secara ringkas perkembangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita.

Read more: 7. 2004 Hubungan Kebudayaan dengan Bahasa

Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Cabarannya

Seminar on Linguistic Problems of Minority Group Relations in Southeast Asian Countries, Mahidol University, Bangkok, 13-17 Januari 1975

 

 


 

Pendahuluan

Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Tiga kaum terbesar bermastautin di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Di samping itu pula terdapat beberapa kaum yang kecil bilangannya seperti Arab, Thai, Portugis dan lain-lain lagi. Mereka ini semuanya menuturkan bahasa-bahasa yang berlainan. Terdapat juga di samping itu kaum bumiputera lain daripada kaum peribumi (atau asli).

Bahasa Melayu (Malaysia/Kebangsaan) dipertuturkan dengan luasnya bukan saja oleh penduduk Melayu tetapi juga oleh kaum lain yang tinggal di Malaysia. Dengan kata lain, bahasa Melayu itu dipertuturkan oleh semua suku kaum dan tinggal di negara Malaysia ini. Suatu keadaan yang nyata terdapat di Malaysia ialah suku-suku yang berlainan bangsa ini tinggal agak berasingan antara satu sama lain, dan ini telah menyebabkan perpaduan kaum menjadi isu penting. Adalah menjadi suatu persoalan sama ada perpaduan kaum itu dapat dicapai di Malaysia melalui bahasa atau cara lain.

Pertemuan mereka hanya terhad kepada pertembungan sosial sehari-hari. Keadaan begini tidak boleh dianggap sebagai sesuai untuk perkembangan bahasa Malaysia tersebut. Oleh yang demikian, kebanyakan daripada puak pendatang itu, lebih-lebih lagi mereka yang tergolong kepada generasi yang lebih tua, hanya dapat bertutur dalam bahasa Malaysia pasar saja. Sebenarnya bahasa pasar ini sudah agak mencukupi untuk keperluan mereka sehari-hari di dalam hal berjual beli dan perhubungan yang tidak begitu kompleks. Tetapi golongan yang lebih muda, lebih-lebih lagi mereka yang telah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia, sudah boleh dikatakan mempunyai kemahiran yang agak baik dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia menjadi mustahak kepada mereka demi kepentingan, peperiksaan, pekerjaan, pentadbiran kerajaan dan lain-lain. Jadi, bahasa Malaysia memang memainkan peranan penting, di dalam konteks pembinaan negara Malaysia.

Dari segi perangkaan, kaum Cina adalah yang paling ramai di antara kaum pendatang yang tersebut di atas. Mereka kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan perbandaran dan lombong. Sebenarnya mereka ini menuturkan beberapa buah dialek bahasa Cina. Setiap satu dialek itu tidaklah dapat dituturkan atau difahami oleh kaum yang menentukan suatu dialek yang lain. Di antara dialek-dialek yang dituturkan ini ialah Hokkien, Kanton, Hakka dan Tieuchiu. Dialek Mandarin pula sebenarnya, dituturkan pula sebagai suatu bahasa perantaraan oleh mereka yang telah terdidik melalui sekolah Cina. Bilangan penduduk India juga agak ramai. Sebagaimana penduduk Cina juga, mereka ini datang dari beberapa daerah India yang berlainan, jadi mereka juga menuturkan bahasa-bahasa yang berlainan bergantung kepada negeri tempat asal mereka di India. Bahasa-bahasa yang dituturkan oleh masyarakat India ini ialah, Tamil, Telugu, Malayalam, Punjabi, Urdu, Benggali dan Sinhali. Ternyata setiap orang daripada mereka ini bertutur dalam satu atau dua bahasa yang tertentu saja.

Ada juga terdapat bahasa-bahasa minoriti yang lain. Salah satu daripada bahasa golongan minoriti ini ialah Thai yang dituturkan oleh masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan yang bersempadan dengan negara Thai. Di Melaka pula terdapat segolongan penduduk keturunan masyarakat Portugis yang menggunakan sejenis bahasa kacukan. Di samping itu terdapat pula segolongan kecil masyarakat Arab yang juga masih menggunakan bahasa mereka, tetapi golongan ini dapat dikatakan sedang diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu. Walaupun begitu, bahasa Arab terdapat diajar di semua sekolah Arab (agama) di negara ini. Tetapi sekolah ini semakin kurang kepopularannya untuk menyebarkan bahasa tersebut. Bahasa Arab ini, tidaklah tersebar luar penggunaannya di luar daripada masyarakat Arab tersebut dan kegunaannya terbatas di dalam hal-ehwal agama saja.

Sebenarnya ada juga bahasa golongan bumiputera lain yang dituturkan oleh penduduk Malaysia. Di kawasan Semenanjung Malaysia kita akan dapati beberapa suku bangsa orang asli; yang kalau diperhatikan betul-betul, menuturkan tiga buah bahasa yang berlainan. Bahasa orang-orang Negrito adalah dipercayai bahasa yang paling tua di antara bahasa-bahasa orang asli ini. Bahasa yang  kedua ialah yang dituturkan oleh orang-orang Senoi. Bahasa orang-orang Senoi ini ada hubungannya dengan bahasa-bahasa orang asli di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Vietnam, Laos dan Khmer. Akhir sekali terdapat pula golongan orang asli yang menuturkan bahasa Melayu kuno, atau lebih kerap dikenali sebagai bahasa orang Jakun. Sebenarnya setiap satu daripada bahasa orang-orang asli ini, terbahagi pula kepada beberapa buah dialek yang berasingan. Bahasa bumiputera ini lebih banyak jenisnya di kalangan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini juga adalah disebabkan oleh keadaan geografi negeri-negeri tersebut yang membahagi-bahagikan penduduk negeri itu sehinggakan mereka jarang bertembung  antara satu sama lain dan menimbulkan keadaan bahasa-bahasa yang berbeza-beza dari satu daerah ke daerah yang lain. Antara bahasa-bahasa yang penting di Malaysia Timur ini ialah Iban, Kadazan, Bidayuh, Melanau, Bisaya, Murut, Kelabit, Kayan, Kenyah dan Penan.

Di samping bahasa-bahasa masyarakat bumiputera, dan bahasa vernakular seperti Tamil dan Cina terdapat pula bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris ini agak luas penyebarannya baik dari segi penggunaannya mahupun dari segi bilangan penuturnya.

Read more: Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Cabarannya

Hanya Allah yang Kekal

Sabtu lalu ayahda mengunjungi rakan yang kematian isteri. Isteri Prof. Adnan Awang meninggal akibat mengidap kanser payudara.

Anakda belum benar-benar melalui tahap ini, tetapi apabila tiba waktu begini, apakah kita mempunyai ramai rakan-rakan yang datang berziarah. Bukan sekadar berziarah, tetapi membacakan alfatihah dan doa. Adakah mereka turut melakukan solat jenazah, mengikut kita ke kubur. Itulah saja yang bermakna.

Anak-anak, juga.

Apabila pintau taubat sudah tertutup, hanya ilmu yang berguna yang kita tinggalkan, amal soleh, dan anak-anak yang soleh masih memberi makna kepada kita. Yang diduga itu adalah kita semua yang masih hidup.

Apabila tiba giliran ayahda pergi, anakda semualah yang akan terduga.