Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Dengan Penuh Syukur dan Genangan Air Mata, Kami Terima Suratan Ilahi

Ayahanda berada di KLIA, pada 27 Mei 2011 menghantar Bonda Cik Hasanah, Bonda Acu Kartini, dan Anakanda Nurulhuda serta Anakanda Ilham menunaikan Umrah. Ayahanda sempat makan bersama Bonda Cik Hasanah.

Kami lama juga tidak bersua. Beliau ada datang ke Janda Baik Sabtu lalu, tetapi Ayahanda berada di Riau. Oleh sebab ada ramai pelajar berkhemah di pekarangan rumah, beliau dan sepupu ayahanda Haji Malik, cuma lalu saja di depan rumah.

Pada kesempatan ini, kami bercerita fasal keluarga. Bonda Cik bercerita pula mengenai pergolakan dalam keluarga salah seorang anakanda. Dan akhirnya terpaksa juga berpisah. Dengan kepala yang menunduk dan bahu yang jatuh, memang kelihatan berat amat beliau menanggung, dan berat juga Ayahanda rasakan.

Ayahanda cuma dapat berkata, "Kanda memahami segala proses ini. Apabila sudah tidak dapat dielakkan lagi, demikian adalah penyelesaian yang lebih baik. Tidak ada ertinya menyambung hubungan keluarga yang sudah tidak lagi berfungsi. Namun anak-anak jangan sekali-kali diracuni. Biarlah anak-anak bebas menemui ayahandanya. Janganlah diperbalahakan harta dunia yang sementara. Ikut sahaja hukum Allah, supaya kita tidak dihisab lagi di hadapan Allah Azzawajalla."

Ini bukan fasal siapa perlu hormat pada siapa! Ini bukan fasal siapa tidak tahu tanggungjawab! Ini bukan fasal sebab musabbab! Ini adalah fasal meneruskan kehidupan dalam keadaan yang bermaruah. Akibatnya, kita mungkin tidak gembira, tetapi lebih penting lagi, kita tidak terus murung dan bersedih. Semoga Allah meredhai tindakan hambanya ini.

Namun dalam fikiran kami ada beban yang sangat berat, dalam hati ada perasaan yang sangat hiba, dan dalam mata ada genangan air mata.


Kini Batuk Uwo Tidak Kedengaran Lagi!

Daripada semanggol.com

Setiap kali saya pulang ke Kampung Ehya, Bukit Semanggol, saya akan membawa keluarga bermalam di rumah bonda, kebetulan terletak di belakang asrama pelajar perempuan Ehya Ashariff. Suasana lazimnya agak bising pada waktu siang. Ramai suara anak-anak perempuan bersiap pergi dan pulang dari sekolah. Pada awal malam mereka juga agak riuh dengan persiapan kerja sekolah.

Namun pada waktu malam, ternyata berbeza sekali. Suasana akan sepi dan hanya penuh bunyi serangga malam yang datang dari gunung, Gunung Semanggol, dan dari bendang (sawah), di seberang tali air. Lazimnya sepi dan dingin. Pada waktu jauh malam, saya akan terdengar Uwo (nenek dalam bahasa Melyu Kampar) batuk-batuk, dan sesekali membuang kahaknya ke dalam labu yang diletakkan di tepi katilnya. Kami memanggil nenek kami "Uwo."

Uwo ini adalah istimewa pada saya dan adik-adik. Semasa beliau masih muda, saya sering pergi ke rumahnya di Balun, Slim River pada masa cuti sekolah. Dan cuti sekolah pada masa itu lazimnya bertepatan dengan musim buah. Ada durian, pelbagai jenis, tembaga, suasa, tapak gajah, ... dan pulasan, cempedak bergugusan di keliling batang, sesekali ada berangan. Dan ada buah terap, tetapi tidak dimakan seperti kemudian saya ketahui, dimakan oleh orang di Brunei. Malah adinda Hasanah dan Kartini pernah tinggal dengan nenek.

Apabila Uwo pindah ke Penderas di Slim Village, mereka juga ikut. Di tapak rumah inilah, kini, atas permintaan adik-adik, saya dirikan sebuah rumah kampung kecil dan murah bagi memperingati Uwo. Semua ahli keluarga dibekalkan seorang satu kunci rumah ini. Sesiapa saja boleh berihat di rumah ini.

Sepanjang tahun 1979, saya menjadi sarjana tamu, mulanya di Ohio University, Athens, dan kemudian di University of California, Berkeley. Semasa di Berkeley, saya menerima sepucuk surat mengatakan Uwo sudah berpulang ke Rahmatullah. Ada rasa sedih yang tidak terhingga! Tetapi kami sangat jauh. Dan pada masa itu belum ada handphone, oleh sebab itu berita lambat benar sampai.

Selepas itu, kami berangkat ke Edinburgh, dan menjelang musim haji, saya dan isteri berangkat menunaikan fardhu haji di Mekkah. Ada banyak kenangan, dan kami pulang awal, sebelum Ka'bah diserang pada tahun itu, Hijrah 1400.

Pulang ke tanah air selepas itu, saya menziarahi pusara Uwo. Seperti biasa, kami bermalam di rumah Tuk Semanggol. Cuma pada malam itu batuk Uwo tidak kedengaran lagi. Subuh itu saya bacakan Yaasin dan tahlil untu ruh Uwo. Semoga ruh Uwo disayangi oleh Allah. Hidup Uwo tidaklah pernah mewah, hanya sangat asas. Berilah Uwo ganjaran yang terbaik di akhirat nanti.

Pesan Atuk

daripada: semanggol.com

Anak ini bernama Imran. Oleh dia mengayuh basikalnya terlalu laju, dompetnya tercicir. Ayahanda memungut dompet itu dan mengejarnya dari belakang.

Dia terkejut dan gembira melihat dompetnya. Walau bagaimanapun, dia menghulurkan tangan kirinya bagi mengambil dompet itu. Ayahanda menarik balik tangan ayahanda sambil menunjukkan muka masam, tidak gembira melihat perangai mengambil barang dengan tangan kiri itu. Lebih-ebih lagi daripada seorang tua. Itu badab namanya.

Dia cepat-cepat menarik tangan kirinya, dan menghulurkan tangan kanannya. Itu barulah betul, Dia mengucapkan terima kasih dengan muka manis yang sangat sopan.

Leluhur Anakanda

semanggol.com

Pada pagi 26 Oktober 2010 ini ayahanda dan bonda saudara anakanda berhimpun di Slim River bagi menghadiri bicara pembahagian tanah peninggalan nenekanda Aishah. Tanah itu tidaklah sebesar mana, tetapi keghairahan kami adalah kerana dapat bertemu kembali setelah sekian lama terpisah.

Anakanda semua mengenali mereka, namun setelah dewasa, dan mempunyai keluarga sendiri, mereka ini tidak sebegitu sering anakandanda temui lagi. Pun, mereka semakin tua, samalah seperti ayahanda.

Bonda Hajah Halimah nombor dua dari kanan adalah yang paling tua. Ayahanda Haji Abdul Halim adalah yang kedua, beliau sedikit uzur dan tidak dapat datang. Yang ketiga adalah Bondah Hajah Maimunah, nombor satu dari kiri. Nombor empat adalah ayahanda. Nombor lima adalah Bonda Hajah Hasanah, berdiri di tengah. Nombor enam adalah Bonda Hajah Kartini, nombor dua dari kiri.

Kami yang Masih Ada

Semoga anakanda tidak melupai bonda dan ayahanda saudara anakanda: Halimah, Abdul Halim, Maimunah, Ayahanda, Hasanah dan Kartini.

Bonda Halimah atau Mak Cor, no dua dari kiri, adalah kekanda ayahanda yang tertua. Suami beliau meninggal. Sekarang beliau tinggal bersama anak-anaknya.

Ayahanda Abdul Halim, Pak Ngah, sudah lama bersara. Beliau dan isterinya Mak Ngah Majidah tinggal di Bukit Kelulut, Temerluh.

Bonda Maimunah, Mak Lang. Beliau tinggal di Cenderung Balai, Teluk Intan.

Ayahanda dan Bonda Ainon.

Bonda Hasanah, atau Mak Cik Sanah. Tinggal di Dong, Pahang.

Bonda Kartini, Mak Su Tini. Tinggal di Padang Temusu, Seberang Perai.