Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Ya Hannan, ya Mannan

Ya Hannan! Ya Mannan!Ya Allah, Engkaulah yang maha pengampun! Dan ya Allah, Engkaulah yang maha pemurah dengan anugerah Engkau. Semoga suara hamba menjadi salah satu suara yang Engkau dengar dan yang Engkau ampuni ya Allah!

  

Hari Keluarga 2012

Hari Keluarga 5 Februari 2012, Jawi

Sedih juga rasanya tidak dapat bersama keluarga di Jawi, Seberang Perai, pada hari Ahad, 5 Februari 2012. Tiba-tiba sahaja, demam menyerang, dan hamba terpaksa berihat selama dua hari.

 

 

Apabila memohon pada Allah

Datukanda Tuan Guru Haji Hassan pernah menasihati ayahanda, "Selepas kita menunaikan solat hajat. ikutilah dengan membaca bismillahir rahamanir rahim sebanyak 700 kali, sebelum menyatakan hajat kita ..."

Aoabila ayahanda bertanya kenapa 700 kali, beliau menjawab, "Setelah kita menyebut nama Allah sehingga 700 kali, tentulah Dia mendengar kita ..."

Datukanda Tuan Guru Haji Hassan

Selamat Hari Lahir Anakanda Aini

Pada hari lahirmu ini, 27 Ogos, Ayahanda teringat pada peristiwa-peristiwa sekitar kelahiranmu di Hospital Pulau Pinang. Anakanda dilahirkan di Wad Bersalin berhampiran sekolah Residensi tempat anakanda bersekolah.

Hidup kita tidaklah semewah yang kita fikirkan. Gaji asas seorang pensyarah berkelulusan Ph.D. pada masa itu adalah RM940 sebulan, disertai dengan tambahan sedikit elaun. Jauh lebih kecil daripada pencen Ayahanda sekarang.

Semasa kecilmu, peristiwa yang sangat menyedarkan Ayahanda pada kesulitan hidup adalah, harga susu meningkat hampir setiap bulan. Tin besar yang berharga RM7.00 meningkat menjadi RM9.00 dan RM14.00 dalam masa yang sangat singkat. Hidup tidaklah susah, tetapi tidaklah mewah.

Apabila Ayahanada menyatakan kesulitan ini kepada Almarhum Tan Sri Hamzah Sendut, Naib Canselor USM pada masa itu, beliau tidak menjanjikan apa-apa. Tetapi pada bulan berikutnya, gaji ayahanda dinaikkan sepuluh tingkat. Cukup untuk memberi bantuan kepada Datuk, Opah, Tok Wan dan Tok Semanggol. Semenjak itu Ayahanda memberi tumpuan kepada profesion akademik. Hingga sekarang, apabila Ayahanda mengadakan doa tahlil, Ayahanda akan dengan diam-diam menujukan doa itu untuk seorang pemimpin yang pada Ayahanda sangat prehatin pada masalah anak buahnya. Bukan pada Ayahanda sahaja, tetapi kepada ramai staf di bawah pentadbirannya.

Pada hari lahirmu ini Ayahanda berdoa agar Anakanda akan terus menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak-anak. Didikan mereka perlu lengkap. Pada masa manusia melihat pendidikan sekular sebagai sesuatu yang sangat diperlukan bagi "mencari kerja," aspek spiritual perlu diberi perhatian juga. Agama.

Ya Allah, berkatilah dan bahagiakanlah kehidupan Anakanda. Sesungguhnya kami mendidik mereka semampunya, dan kami mendoakan yang terbaik daripada-Mu.

Lima tahun lalu, Aini, Azman, Amirah dan Rizal di Janda Baik, sebelum tiba Aiman.

Lailatul qadar

Sewaktu kecil, semasa di sekolah rendah, Ayahanda suka juga mengikut Datukanda pergi mengajar di surau dan masjid. Itu berlaku pada zaman sebelum merdeka.

Jikalau pada waktu cuti sekolah, beliau membawa juga ayahanda mengunjungi kampung yang jauh-jauh di TelukAnson dan Tapah, Bidor, Sungkai, Slim Village, Kelawar dan Tanjung Malim.

Kuliah beliau tidaklah seakademik ustza zaman sekarang, tetapi pengikutnya lazimnya memenuhi surau atau masjid.

Ada sebuah soalan orang kampung yang saya ingat sampai sekarang. Entah di kampung mana!

Orang kampung bertanya, "Bagaimana kita mahu memastikan kita menikmati keberkatan malam lailatul qadar, Tuan Guru?"

Jawab beliau, "Mudah sahaja. Kita beribadatlah pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan!"

"Tetapi," kata orang kampung itu lagi, "alangkah baiknya kita tahu dengan pasti, malam yang mana."

Sambung beliau, "Apalah susahnya, kita beribadat sahaja pada setiap malam. Tentu kita tidak tercicir daripada malam lailatul qadar itu. Bahkan, bertambah pasti lagi apabila pada setiap malam pada bulan Ramadhan itu, kita beribadat. Sebenarnya, malam lailatul qadar itu tidak semestinya pada sepuluh malam terakhir! Bila-bila sahaja Allah mahu. Oleh sebab itu, beribadatlah pada setiap malam!!!"

Tidaklah hebat, tetapi Ayahanda tetap ingat.

Tuan Guru Haji Hassan