Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Pantun Agama

 

Sungguh indah pintu dipahat.
Burung puyuh di atas dahan.
Kalau hidup hendak selamat.
Taat selalu perintah Tuhan.

Halia ini tanam-tanaman .  
Ke barat juga akan rebahnya.
Dunia ini pinjam-pinjaman.   
Ke akhirat juga akan sudahnya.

 

Redup bulan nampak hendak hujan.             
Pasang pelita sampai berjelaga.
Hidup mati di tangan Tuhan.
Tiada siapa dapat menduga

Burung belatuk di atas dahan.       
Terbang hinggap di batang pohon.
Hidup mati di tangan Tuhan.   
Kepada Allah kita bermohon.

Daun tetap di atas dulang.    
Anak udang mati dituba.
Dalam kitab ada terlarang.    
Perbuatan haram jangan dicuba.

Terang bulan terang bercahaya.   
Cahaya memancar ke Tanjung Jati. 
Jikalau hendak hidup bahagia. 
Beramal ibadat sebelum mati.

Asam kandis asam gelugur.        
Ketiga asam si riang-riang.
Menangis mayat di pintu kubur       
Teringat jasad tidak sembahyang.

Kulit lembu dicelup samak.    
Mari dibuat tapak kasut.
Harta dunia janganlah tamak.
Apabila mati tidak dapat diikut.

Banyaklah masa antara masa.
Tidak seelok masa bersuka.
Apabila meninggalkan sembahyang menjadi biasa.  
Maka hati tidak takut akan api neraka?

Dua tiga empat lima.            
Enam tujuh lapan sembilan.
Kita hidup tidak akan lama.    
Jangan lupa siapkan bekalan.

Jikalau Tuan pergi ke Tanjung Puan.
Singgah semalam di Tasik Bera.
Sembahyang itu perintah Tuhan
Jikalau ingkar masuk neraka.

Ramai orang menggali perigi. 
Ambil buluh lalu diikat.
Ilmu dicari tidak akan rugi. 
Buat bekalan dunia akhirat.

Si Tanggang menjadi juragan.   
Tersangat pandai mencari arah.
Hidup di dunia banyak dugaan.
Kepada Allah kita berserah.

Letak bunga di atas dulang
Sisipkan daun hiasan tepinya.
Banyak berdoa selepas sembahyang.
Mohon diampunkan dosa di dunia.

Encik Mamat berjual roti.
Roti dijual berpeti-peti.
Jikalau meninggalkan sembahyang terlalu berani.
Umpama tubuhnya tidak akan mati

Sayang-sayang buah kepayang.
Buah kepayang jangan dimakan.
Manusia hanya boleh merancang. 
Kuasa Allah menentukan

Masa berada di Pulau Jawa. 
Rakan diajak pergi menjala.  
Maha Berkuasa jangan dilupa.   
Kuasa Allah tidak terhingga.

Nyiur muda luruh setandan.
Diambil sebiji dibelah-belah.
Sudah nasib permintaan badan.
Kita di bawah kehendak Allah.

Pokok kKemuning di dalam semak.  
Jatuh melayang ke dalam paya.
Meski ilmu setinggi tegak.       
Jikalau tidak sembahyang apa gunanya?

Harimau belang turun sekawan.
Mati ditikam si janda balu.
Ilmu akhirat tuntutlah tuan.
Barulah sempurna segala fardu.

Kera di hutan terlompat-lompat.
Si pemburu sibuk memasang jerat.
Hina sungguh sifat mengumpat.
Dilaknat Allah di dunia akhirat.

Anak ayam turun sepuluh.   
Mati seekor tinggal sembilan.
Bangun pagi sembahyang subuh.  
Minta doa kepada Tuhan.

Anak ayam turun sembilan.    
Mati seekor tinggallah lapan.
Duduk berdoa kepada Tuhan.  
Minta Allah memberi jalan ketetapan.

Anak ayam turun lapan.        
Mati seekor tinggal tujuh.
Duduk berdoa kepada Tuhan.  
Supaya terang jalan umpama bersuluh.

Anak ayam turunnya lima.   
Mati seekor tinggal empat.
Turut mengikut alim ulama.   
Supaya betul jalan makrifat.

Anak ayam turunnya lima.   
Mati seekor tinggal empat.
Kita hidup mesti beragama.   
Supaya hidup tidaklah sesat.

Tuan Haji memakai jubah.   
Singgah sembahyang di bawah kolong.
Kalau sudah kehendak Allah.
Rezeki segenggam jadi sekarung.

Bulu merak cantik seperti kaca.   
Gugur sehelai ke dalam baldi. 
Jika tidak banyak kitab dibaca.
Jangan mengaku khatib atau kadi.

Inderagiri pasirnya lumat.       
Kepah bercampur dengan lokan.
Sedangkan nabi kasihkan umat.
Inikan pula seorang insan.

Anak Cik Siti pandai berenang.
Sambil berenang berdondang sayang.
Jika hidup dikurnia senang.  
Jangan lupa tikar sembahyang

Dihimpun dan disusun oleh Anna Abadi (http://melasayang.4t.com/Pantun.htm)