Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Pantun Budi

 

Tenang-tenang air laut.
Sampan kolek mudik ke tanjung.
Hati terkenang mulut menyebut.
Budi baik rasa nak junjung.

Tanam lengguni tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati.
Budi tuan saya tidak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Dari Daik pulang ke Daik.
Sehari-hari berkebun pisang.
Budi baik dibalas baik.
Dalam hati dikenang orang.

Kapal belayar dari Arakan.
Ambil gaji jadi jemudi.
Mati ikan kerana umpan.
Mati saya kerana budi.

Banyak ubi perkara ubi.
Ubi keledek ditanam orang.
Banyak budi perkara budi.
Budi baik dikenang orang.

Lipat kain lipatlah baju.
Lipat kertas di dalam puan.
Dari air menjadi batu.
Sedikit tidak lupa budi tuan.

Jentayu si burung jentayu.
Hinggap di atas pokok redang.
Bunga yang kembang akan layu.
Budi baik tidak akan hilang.

Jika belayar ke tanah Aceh.
Singgah dahulu di kota Deli.
Jika hendak orang mengasih.
Hendaklah baik bicara budi.

Bunga melati bunga di darat.
Bunga seroja di tepi kali.
Hina besi kerana karat.
Hina manusia tidak berbudi.

Dewa sakti melayang ke Daik.
Hendak mencari Dewa Jaruga.
Kalau ada budi yang baik.
Sampai ke mati orang tak lupa.

Baik-baik bertanam padi.
Jangan sampai dimakan rusa.
Baik-baik termakan budi.
Jangan sampai badan binasa.

Tingkap papan kayu bersegi.
Sampan sakat di Pulau Angsa.
Indah tampan kerana budi.
Tinggi darjat kerana bahasa.

Pulau Pandan jauh ke tengah.
Gunung Daik bercabang tiga.
Hancur badan dikandung tanah.
Budi yang baik dikenang juga.

Pergi ke sawah menanam padi.
Singgah di.sungai menangkap ikan.
Hidup hendaklah bersendikan budi.
Sifat sombong jangan amalkan.

Apa guna berkain batik.
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik.
Kalau tidak dengan budinya.

Bunga melati bunga di darat.
Bunga seroja di tepi kali.
Hina besi kerana karat.
Hina manusia tidak berbudi.

Pisang emas dibawa belayar.
Masak sebiji di atas peti.
Hutang emas boleh dibayar.
Hutang budi dibayar mati.

Anak merak Kampung Cina.
Singgah berhenti kepala titi.
Emas perak kebesaran dunia.
Budi bahasa tak dapat dicari.

Itik angsa bertelur emas.
Telur emas di atas kain.
Hilang bahasa kerana emas.
Hilang budi kerana miskin.

Yang kurik itu kundi.
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.

Limau manis dimakan manis.
Manis sekali rasa isinya.
Dilihat manis dipandang manis.
Manis sekali hati budinya.

Cuaca terang semakin redup.
Ibarat hari semakin siang.
Budi bahasa amalan hidup.
Barulah kekal dihormati orang.

Anak Jawa bermain gasing.
Gasing kayu pandai menari.
Jangan diikut hati yang runsing.
Muka nanti hilang seri.

Lebat daun bunga tanjung.   
Berbau harum bunga cempaka.
Adat dijaga pusaka dijunjung.
Baru terpelihara adat pesaka.

Gadis Acheh berhati gundah.   
Menanti teruna menghulur tepak.
Gula manis sirih menyembah.   
Adat dijunjung dipinggir tidak.

Manis sungguh gula Melaka.   
Jangan dibancuh dibuat serbat. 
Sungguh teguh adat pusaka.    
Biar mati anak jangan mati adat.

Anak teruna tiba di darat.       
Dari Makasar langsung ke Deli. 
Hidup di dunia biar beradat.    
Bahasa tidak dijual beli.

Menanam kelapa di Pulau Bukum.
Tinggi sedepa sudah berbuah.
Adat bermula dengan hukum.
Hukum bersandar di Kitab Allah.

Buah berangan di rumpun pinang.      
Limau kasturi berdaun muda. 
Kalau berkenan masuklah meminang.    
Tanda diri beradat budaya.

Laksamana berbaju besi.      
Masuk ke hutan melanda-landa.    
Hidup berdiri dengan saksi.     
Adat berdiri dengan tanda.

Berbuah lebat pohon mempelam.     
Rasanya manis dimakan sedap.
Tersebarlah adat seluruh alam.       
Adat pusaka berpedoman kitab.

Ikan berenang di dalam lubuk.    
Ikan belida dadanya panjang.
Adat pinang pulang ke tampuk.   
Adat sirih pulang ke gagang.

Pokok pinang ditanam rapat.    
Biar senag puyuh berlari.
Samalah kita menjunjung adat.      
Tunggak budaya semai dihati.

Bukan kacang sebarang kacang.
Kacang melilit si kayu jati.
Bukan datang sebarang datang.   
Datang membawa hajat di hati.

Budak-budak berlari ke padang.
Luka kaki terpijak duri.
Berapa tinggi Gunung Ledang.      
Tinggi lagi harapan kami.

Helang bernama Si Rajawali.      
Turun menyambar anak merbah.
Dari jauh menjunjung duli.    
Sudah dekat lalu menyembah.

Angin kencang turunlah badai.
Seumur hidup cuma sekali.
Tunduk kepala jatuh ke lantai.     
Jari sepuluh menjunjung duli.

Gobek cantik gobek cik puan.
Sirih dikunyah menjadi sepah.   
Tabik encik tabiklah tuan.       
Kami datang membawa sembah.

Doa mustajab selalu terkabul.
Kepada Allah kita panjatkan. 
Sebelum berlangsung ijab dan kabul.       
Majlis berinai kita dulukan.

Disusun oleh Anna Abadi (http://melasayang.4t.com/Pantun.htm)