Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Panduan menulis reviu buku

oleh Abdullah Hassan

Bagi membantu kempen membaca yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Tuanku Bainun, maka sukacita saya muatkan sebuah artikel bagi membantu sesiapa yang ingin membuat reviu buku.

Panduan Menulis Reviu Buku

Kita boleh sahaja membuat reviu buku dengan menggunakan pemikiran kritis yang sedia ada pada kita. Tetapi persoalannya adalah bagaimana kita dapat melakukannya sebaik-baiknya?

Reviu yang baik. Reviu yang baik dapat menjawab soalan-soalan berikut:

  • Apakah yang mahu diperkatakan oleh pengarang?
  • Sejauh manakah dia berhasil dalam memperkatakannya?
  • Apakah nilai usaha yang dijalankannya?

Apakah yang mahu diperkatakan oleh pengarang? Jawapan kepada soalan ini adalah sama ada reviu sebuah buku itu dapat membincangkan cakupan buku itu dan tujuannya ia ditulis. Apakah bahan yang diliputi? Apakah perkara yang ditekankan? Apakah tujuan sebenar pengarang menulis buku itu? Pertanyaan-pertanyaan ini mesti dijawab.

Sejauh manakah dia berhasil dalam memperkatakannya? Jawapan kepada soalan ini hendaklah memberi ulasan tentang cara buku itu membincangkan sesuatu, dan bukan tentang isinya. Apakah kelemahan gaya bahasanya, atau apakah kekuatan persembahan dan gaya bahasanya? Apkah bahasanya cukup baik dan hidup atau kaku. Adakah buku ini dapat dianggap oleh pembaca sebagai meyakinkan atau membosankan? Adakah pembacanya akan mengatakan buku itu cemerlang atau lemah? Siapakah pembacanya? Kenapa?

Apakah nilai usaha buku yang dihasilkan itu? Soalan ketiga dapat dijawab dengan membincangkan tema dan tujuan buku berkenaan ditulis. Dalam bahagian ini kita boleh mengkritik seseorang pengarang itu. Kenapa beliau menulis sedemikian rupa. Ingatlah supaya kita berlaku adil. Bagi berlaku adil kita mesti menilai buku itu dalam kerangka apa buku itu ditulis. Selepas itu baharulah dapat kita mengatakan usaha itu berpadanan atau tidak. Penilaian begini memerlukan penulis reviu menetahui bidang berkenaan, atau mempunyai himpunan ilmu dalam bidang tersebut.

Ada tiga jenis reviu yang dapat digunakan.

  • Laporan
  • Laporan dan ulasan kritikan
  • Tangga lompatan

Laporan

Kaedah pertama cuma melaporkan buku sebagai sebuah bahan berita. Ia menceritakan apa isi buku itu. Ini lazimnya dilakukan dalam bentuk sebuah ringkasan. Ia menceritakan fasal pengarangnya dan kaedah yang digunakan dalam mengungkapkan bahan yang dibincangkan. Walau bagaimanapun, reviu jenis ini tidaklah kritis. Ia melaporkan dengan agak detel mengenai pengarang dan isu buku itu sebagai bahan yang dapat dicerapnya. Itu sahaja, dan tidak ada maklumat lain. Contoh reviu begini selalu terdapat dalam pojok akhbar, dan dilaksanakan oleh wartawan buku. Laporan begini tidak kritis.

Laporan dan ulasan kritis

Kaedah kedua menggabungkan laporan yang sempurna dengan ulasan kritis. Inilah yang selalunya diharapkan dapat dilakukan oleh seorang pensyarah universiti. Penulis reviu jenis ini bukan hanya sekadar membuat laporan tetapi juga memperjelas, menginterpretasi dan menilai buku ini dari sisi bahannya, gayanya, dan cakupannya. Secara mudah, dapat kita katakan ia mengandungi 50 peratus ringkasan, dan 50 peratus penilaian. Inilah kaedah yang lazim digunakan oleh pereviu profesional dalam membuat persediaan untuk majalah mingguan. Kita perlu memberi masa yang secukupnya bagi membuat pertimbangan dan penilaian supaya dapat menghasikan laporan yang lebih sedikit daripada sekadar laporan.

Tangga lompatan

Kaedah ketiga ini dipanggil tangga lompatan kerana ia hanya menyentuh sedikit sahaja mengenai buku yang direviu. Pereviu jenis ini hanya menggunakan buku itu sebagai tangga bagi melompat kepada sebuah esei kritis. Sebagai contoh, dalam mereviu sebuah buku mengenai perniagaan, ia bermula dengan menyebut beberapa perkara tentang buku itu. Seterusnya pereviu membincangkan buku-buku lain mengenai perniagaan, atau psikologi perniagaan, atau mungkin juga membuat analisis tentang faktor-faktor pergeseran perniagaan antarabangsa.

Jelaslah bahawa sebuah reviu yang baik itu lazimnya terdiri daripada ketiga-tiga kaedah ini. Ia perlu memaparkan laporan isi buku tersebut. Ia juga perlu mengandungi ulasan kritis mengenai isi buku tersebut. Ia juga mesti dapat membandingkan pengarang dan buku tersebut dengan buku-buku dan pengarang-pengarang lain dengan membandingan perkara-perkara yang sama dan bertentangan. Kita berbuat demikian dalam usaha menentukan dan menempatkan sumbangan buku dan pengarang yang direviu dalam bidang ilmunya. Kejayaan dan kegagalan kita dalam hal ini bergantung pada himpunan ilmu yang ada pada kita.

Langkah menulis reviu yang baik

Ada enam langkah asas dalam mereviu buku. Kita tidak seharusnya membuat reviu dari sisi laporan sahaja. Kita mahu reviu kita itu seimbang, ada laporannya, ada ulasan kritisnya, dan ada penilaian terhadap sumbangan dan tempatnya dalam dunia bidang ilmu berkenaan. Bagi menjamin ini dapat dilakukan, ada enam langkah asas yang dapat digunakan bagi membantu seorang pereviu.

1. Nyatakan isu buku tersebut. Kita hendaklah menganggap reviu kita itu dibaca oleh ramai orang. Yang penting diingat adalah, ada antara mereka yang belum membaca buku tersebut. Oleh itu senaraikan selengkap-lengkapnya maklumat mengenai buku itu. Sekurang-kurangnya: tajuknya, pengarangnya, penerbitnya, tahun penerbitannya. Kemudian, berilah laporan mengenai isi buku tersebut. Ini hendaklah disediakan dengan sempurna.

2. Pilih idea yang dapat menjadi kerangka reviu. Kita tidak akan dapat mengemukakan semua idea dalam buku yang direviu dan membuat kritikan yang sempurna terhadap semua idea itu. Bagi menjamin keberkesanan dan pertautan idea, pilihlah beberapa tema utama sahaja, atau kualiti gayanya. Kemudian buatlah ulasan yang selengkapnya mengenai setiap satu. Pada setiap masa, kaitkan ulasan lain kepada perkara yang diulas dengan membuat perbandingan dan kontras.

3. Cabut kutipan daripada buku. Walaupun kita sudah menyediakan laporan yang sempurna mengenai buku yang direviu, tetapi kita masih belum dapat melihat cita rasa buku tersebut. Oleh sebab itu buat beberapa kutipan daripada buku tersebut bagi membolehkan pembaca reviu itu merasakan gaya pengarangnya. Ini akan dapat sedikit sebanyak meningkatkan minat pembaca reviu itu. Tidak ada pembaca reviu yang akan berpuas hati dengan hanya membaca laporan. Walau bagaimanapun, gunakan kebijaksanaan dalam memilih kutipan itu. Dan kutipan itu juga tidak terlalu banyak.

4. Penulisan reviu mesti khusus. Elakkan menggunakan perkataan, istilah dan ungkapan yang kabur. Sekiranya kita mengatakan bahasa pengarang itu sukar, berilah bukti dengan memberi kutipan yang dapat menjelaskannya. Jauhi ungkapan umum seperti: “Sebagaimana yang sudah lazim,” “seperti yang diketahui oleh semua orang,” dll. Gunakan perkataan dan ungkapan jelas dan langsung. Sekiranya kita mengatakan buku itu dibuat dengan menggunakan rujukan dan dokumentasi lengkap, maka katalah begitu. Nyatakan segala rujukan yang dibuat. Dan senaraikanlah perkara tersebut sebagai bukti.

5. Masukkan idea sendiri ke dalam kritikan itu. Mahu tidak mahu, reviu buku kita mesti juga bersifat subjektif. Nyatakanlah pemikiran sendiri yang muncul semasa membaca buku itu. Ini akan membuatkan reviu itu lebih menarik dan tidak kaku. Tetapi janganlah menulis tentang pendapat peribadi sahaja. Kita mesti memberi pembaca kita laporan yang tepat mengenai buku yang dibaca. Itulah sebabnya, pereviu itu mestilah daripada seorang pakar bidang itu. Elakkan mereviu buku yang kita bukan pakar bidangnya. Melainkan buku bacaan umum, itupun perlu dilakukan berhati-hati dengan ilmu yang wajar.

6. Elakkan percanggahan dengan diri sendiri. Sekiranya kita sudah membuat sebuah kritikan yang keras terhadap sebuah buku, jaganlah pula kita mengakhirinya dengan pendapat yang bertentangan dengan kenyataan itu. Misalnya setelah memberi ulasan yang keras, tidaklah perlu kita membuat kesimpulan yang bertentangan, seperti “Sebenarnya buku itu masih mempunyai beberapa kebaikan, hurainnya mengenai ekonomi itu agak berguna.” Kesimpulan begini menghilangkan kesan kenyataan sebelumnya.

Dalam apa hal pun, kita perlulah bersikap adil, dan ini memerlukan penilaian daripada seorang pakar.