Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

12. 2004 Merancangkan Dialek Melayu Supra

Diterbitkan dalam "Menabur Benih, Menuai Kasih" sebuah feitscrift yang disusun oleh oleh Katharina Endriati Sukamto (2004), halaman 527 - 538.

 

Jakarta: Yayasan Obor Indonesia

"Merancangkan Dialek Melayu Supra"

Abdullah Hassan, Ph.D.
Profesor Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Malaysia.


PENGENALAN

Bahasa sentiasa berubah.  Sifat bahasa yang begini membolehkan penutur bahasa itu memilih untuk menggunakan sesuatu unsur bahasa atau menggugurkannya.  Usaha mempengaruhi bahasa supaya berubah dipanggil perancangan bahasa.  Lazimnya usaha ini berupa memilih bahasa nasional dan kemudian membentuk ejaan, sebutan, kosa kata dan tatabahasa supaya bahasa dapat digunakan dengan berkesan untuk semua bidang dan peringkat komunikasi.  Apabila kita merancangkan bahasa, dua perkara perlu ditentukan, iaitu siapa yang merancangkan bahasa, dan bagaimana merancangkan bahasa.

Siapa merancangkan bahasa?

Siapakah yang merancangkan bahasa?  Jawapannya mudah.  Siapa sahaja boleh merancangkan bahasa (Haugen 1966, Ray 1968, Jernudd 1971, Rubin 1971, Noss 1994).  Jernudd mengatakan perancang bahasa ini boleh terdiri daripada badan kerajaan, bukan kerajaan dan individu.  Ada banyak contoh dalam sejarah yang membuktikan bagaimana ini dilakukan.

Zainal Abidin bin Ahmad (Z'aba), menulis buku nahu dan latihan bahasa Melayu Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu (1940), dan Pedoman Ejaan Rumi dan Jawi (1949).  Buku--buku ini telah membina dan menyeragamkan pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu selama hampir 30 tahun.

Di negara-negara berbahasa Inggeris pula, dua orang rakyat biasa, Samuel Johnson di England, dan Noah Webster di Amerika Syarikat, telah menyusun kamus masing-masing.  Kamus mereka menjadi rujukan pengguna-pengguna bahasa Inggeris, dan membakukan ejaan serta memantapkan penggunaan makna dalam bahasa Inggeris.

Individu terkenal seperti ahli politik, orang kenamaan, novelis, pemimpin masyarakat, wartawan, penyunting, sarjana,  guru, pelajar, pembaca berita dan pengacara di radio dan televisyen, dll. sentiasa mempengaruhi perkembangan bahasa. Akhbar, radio dan televisyen merupakan wahana perancangan bahasa. Apa yang dibaca dan didengar oleh pengguna bahasa akan diserap dan menjadi ikutan oleh penutur bahasa.

Antara individu berwibawa yang kerap mempengaruhi perancangan bahasa di Malaysia ialah  TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Beliau  telah memperkenalkan kata iltizam, madani, ghaflah, cakrok, gayang, ampuh, sewenang, dll.  Kewibawaannya dan ketokohannya serta kreativitinya menyebabkan orang menerima kata-kata yang diperkenalkannya.  Walau bagaimanapun, sekiranya individu itu bukan pakar, kewibawaannya akan dicabar.  Itulah yang berlaku pada kata kecapaian yang cuba diperkenalkan oleh seorang pemimpin politik Malaysia.  Dalam wawancara Perdana Menteri dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia pada 5 Ogos 1996, beliau membetulkan istilahnya "... kita ... kecapaian .... pencapaian" sambil tersenyum.  Satu penerimaan.

Bagaimana merancangkan bahasa

Joan Rubin pula mengatakan ada empat langkah dalam menyusun dan melaksanakan perancangan bahasa, iaitu: mencari fakta, merancang, melaksanakan, dan menerima maklum balas mengenai keberkesanan rancangan itu.  Kaedah dapat mempengaruhi penutur dalam menggunakan manamana unsur bahasa yang hendak dipromosikan. Perancangan itu hendaklah direkabentuk supaya searah dengan kemahuan masyarakat itu.  Inilah fitrah umum yang perlu difahami dan dieksploit.

Tujuan merancangkan bahasa

Apa tujuan kita merancangkan bahasa?  Sering perancang bahasa akan terlibat dengan usaha membentuk ejaan, membakukan sebutan, membina istilah, menyusun kamus, dan membakukan tatabahasa. Apakah ini destini perancangan bahasa?  Tentu tidak.  Usaha ini adalah mempertajamkan alat sahaja.  Kita perlu membina kepustakaan dalam bahasa Melayu.  Melalui kepustakaan itulah kita membina minda Melayu.  Minda Melayu kolektif akan dapat mengongsi wilayah Asia Pasifik ini di samping bangsa lain yang maju.


WILAYAH BAHASA MELAYU BESAR

Seluruh wilayah kepulauan Asia Tenggara adalah wilayah rumpun bangsa yang menuturkan bahasa Melayu atau bahasa yang berasaskan bahasa Melayu.

Wilayah ini sejajar dengan wilayah Nustantara (Austronesia barat) dalam kajian sejarah bahasa.  Wilayah Melayu ini dapat didefinisikan mengikut wilayah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau nasional.  Brunei Darussalam dan Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Bahasa rasmi Indonesia ialah bahasa Indonesia, yang diasaskan kepada bahasa Melayu.  Oleh sebab itu, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dikatakan wilayah Melayu induk.  Europa Factbook 1993 menunjukkan penduduk tiga buah negara ini berjumlah hampir 200 juta orang.

Di samping tiga buah negara ini terdapat masyarakat penutur bahasa Melayu di Singapura, Thailand Selatan dan Filipina Selatan.  Wilayah ini dipanggil wilayah Melayu besar.  Bilangan penduduknya tidak ramai, gabungan keduanya hampir berjumlah 15 juta orang.

Ada kaum dari stok Melayu yang tinggal di luar wilayah ini, seperti di Malagasi, Afrika Selatan, Taiwan, Champa, Surinam, dll. (Wan Hashim Wan Teh 1966), tetapi ia tidak dimasukkan ke dalam wilayah induk Nusantara atau Melayu besar.

Bahasa-bahasa di wilayah bahasa Melayu

Di dalam wilayah Melayu besar ini terdapat bahasa-bahasa yang sekeluarga dengan bahasa Melayu.  Sarjana-sarjana seperti Van der Tuuk, H. Kern (1916, 1865) dan J. Brandes (1884) membuat kajian-kajian perbandingan bahasa-bahasa Nusantara.  Mereka menghasilkan hukum persejajaran bunyi yang terkenal, iaitu Hukum RGH dan RDL.  Hukum RGH ini menjelaskan persejajaran bunyi dalam sekelompok bahasa di Nusantara: Melayu, Batak, Sunda, Tagalog, Visaya, Dayak, Tombulu, Bali, Jawa dan lain-lain.  Sebagai contoh, kata Melayu induk urat menjadi urat (Melayu Tinggi), ugat (Tagalog), uhat (Dayak), ulat, (Pangasinan), uyak (Lampong), ogat (Tontembo).  Ini bermaksud bahawa bunyi r dalam urat berubah menjadi g, h, l dan lain-lain dalam beberapa bahasa di Nusantara. Kesimpulan dari kenyataan ini ialah bahasa-bahasa ini berasaskan bahasa Melayu.  Bahasa-bahasa ini dilahirkan daripada bahasa Melayu induk.  Kajian Mees pula menunjukkan bahawa bahasa-bahasa Nusantara itu banyak mempunyai persamaan dari segi kosa kata.  Contohnya, kata-kata lima, mata, telinga sering timbul dalam bahasa-bahasa Nusantara.  Sistem imbuhan, gandaan dan susunan kata dalam ayat juga bayak yang sama.

Bahasa Melayu tinggi dan rendah

Umumnya kita dapat menyimpulkan bahawa ada dua neka bahasa Melayu tersebar di seluruh Nusantara, iaitu bahasa Melayu Tinggi (MT) dan bahasa Melayu Rendah (MR) (Marit Kana, 1994).  Bahasa MT itu ialah bahasa yang dituturkan di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.  Untuk memudahkan pembicaraan bahasa MR diterima sebagai mencakupi dialek-dialek Melayu dan bahasa-bahasa yang berasaskan bahasa Melayu seperti dialek Melayu Betawi, Acheh, Ambon, Jawa, Sunda, Tagalog, Sibu, Visaya, Solo, Roti, Sika, dll.

BAHASA MELAYU UNTUK WILAYAH BESAR

Apabila kita merancang bahasa Melayu untuk wilayah Melayu besar, kita bermaksud merancangkan supaya penutur-penutur bahasa-bahasa di wilayah ini dapat meningkatkan saling perfahamannya terhadap bahasa Melayu (MT).  Ini dapat dilakukan dengan menggalakkan penutur bahasa MR meminjam kosa kata bahasa MT secara aktif. Lebih banyak kata bahasa MT dipinjam, lebih tinggilah saling perfahaman terhadap bahasa MT, dan juga di antara bahasa-bahasa di wilayah Melayu besar.

Konsep saling perfahaman itu ialah keadaan apabila penutur bahasa MR dapat memahami bahasa MT bahasa-bahasa MR lain dengan mudah sebab adanya pertindihan kosa kata yang banyak.  Lagi banyak pertindihan dari segi kosa kata, maka lebih tinggilah peringkat saling perfahamannya.  Katakanlah apabila kata prestasi dipinjam oleh semua bahasa MR dari bahasa MT, maka ia akan difahami oleh pendengar dan pembaca bahasa Melayu di seluruh wilayah Melayu besar.  Perancangan bahasa untuk wilayah Melayu besar bermaksud mewujudkan keadaan begini yang berleluasa.

Pendekatan semulajadi

Dalam melaksanakan langkah-langkah ini, kita akan mengeksploit fitrah semulajadi bahasa.  Oleh sebab tujuan perancangan bahasa itu ialah menetukan arah suatu perubahan bahasa, maka kita akan memulakan perancangan ini dengan melihat apakah yang mendorong perubahan bahasa berlaku secara semulajadi.  Apakah perubahan bahasa yang berlaku secara semulajadi itu?

Sebelum sarjana perancangan bahasa mencipta teori perancangan bahasa, bahasa pernah berubah dengan sendiri.  Ia berubah secara semulajadi.  Bahasa Melayu meminjam begitu banyak kosa kata daripada Sanskrit, iaitu bahasa tinggi pada zaman Melayu Hindu (suami, isteri, syurga, neraka, dll).  Kemudian bahasa Melayu meminjam daripada Arab (akhir, zaman, fardu, peduli, zohor, Ahad, dll), dan Inggeris (get, but, motokar, basikal, lori, dll). Proses peminjaman ini berlaku secara semulajadi, tanpa dirancang oleh sesiapa.

Perancangan bahasa yang dijalankan akan berjaya apabila apa yang dilaksanakan itu sealiran dengan perubahan dan kemahuan semulajadi dalam masyarakat itu (Fasold 1984).  Fitrah semulajadi bahasa ialah, bahasa rendah akan meminjam daripada bahasa tinggi. Ini bermaksud, bahasa MR akan lebih mudah meminjam daripada bahasa MT.  Perancangan yang mengambil kira fitrah semulajadi bahasa seperti ini adalah menggunakan mekanisme semulajadi bahasa untuk menghasilkan akibat yang dirancangkan.

Untuk merancangkan bahasa Melayu bagi wilayah Melayu besar, kita mengenalpasti empat perkara yang perlu diberi tumpuan:

  1. unsur yang akan dipromosikan (kosa kata, imbuhan, ayat);
  2. ranah penggunaan (periklanan, persurat-khabaran, penyiaran, pendidikan, perniagaan, perhubungan diplomatik, dll.);
  3. wahana prasarana (buku, akhbar, kamus, filem, video, internet dll.);
  4. agen-agen penyebaran (kedutaan, institusi pendidikan, masjid, persatuan, dll.);  dan
  5. pengguna (rakyat, pendidik, wartawan, usahawan, peniaga, pegawai kedutaan, pelancong, pendakwah, novelis).

Oleh sebab fenomena meminjam kosa kata itu semulajadi dalam bahasa Melayu, maka kertas ini mengusulkan bahasa MR di wilayah Melayu besar meminjam kosa kata daripada bahasa MT.  Kosa kata menjadi unsur utama yang dikenalpasti untuk disebarluaskan di kalangan penutur bahasa MR.  Apabila semua MR di wilayah Melayu besar berbuat begini, kita akan mendapati bahawa peringkat saling perfahaman terhadap bahasa Melayu akan meningkat.

Unsur bahasa yang hendak disebarluaskan

Satu daripada hubungan yang merapatkan bahasa Indonesia dan Malaysia ialah peminjaman kata.  Di antara katakata yang dipinjam ialah: prestasi, dampak, ciplak, trobos, terowong, pelesir, pelopor, dan banyak lagi.  Oleh sebab itu, bahasa MR tidak perlu mencari perkataan baru untuk melabel konsep-konsep ini.  Lebih banyak kata yang dipinjam, lebih tinggi tahap saling perfahaman akan wujud.  Sehingga sekarang, sudah beribu jumlah kata Indonesia yang telah dipinjam masuk ke dalam bahasa Melayu. Dictionary of Comparative Malay-Indonesian Synonyms, susunan Leo Suryadinata dan Abdullah Hassan, menyenaraikan hampir 4,500 kata Indonesia yang bersinonim dengan kata bahasa Melayu.  Kamus ini mengandungi kata-kata Indonesia dan Melayu yang sering ditemui oleh pengguna kedua-dua bahasa.  Banyak di antaranya yang sudah dipinjam ke dalam bahasa Melayu, dan yang lainnya dimengerti oleh penutur bahasa Melayu.

Projek kamus tiga bahasa antara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia adalah salah satu daripada projek yang akan memberi sumbangan besar kepada penyebaran kosa kata seperti yang saya utarakan.  Apabila selesai, sumbangannya kepada penyebaran kosa kata dan bahasa Melayu di Nusantara akan dapat direalisasikan.

Proses peminjaman dari bahasa Indonesia ke bahasa Melayu lebih aktif berlaku daripada bahasa Melayu ke bahasa Indonesia.  Ini menunjukkan bahawa di antara dua buah bahasa itu, bahasa Indonesia dianggap lebih tinggi.  Ini menyebabkan bahasa Melayu meminjam daripada bahasa Indonesia.  Proses peminjaman yang sama berlaku juga pada bahasa Melayu Brunei Darussalam dan Singapura.

Unsur bahasa yang perlu dipinjam oleh bahasa MR daripada bahasa MT ialah kosa kata untuk konsep-konsep ilmu, komunikasi umum.  Malah, apabila timbul sahaja keperluan untuk mencipta atau meinjam suatu kata daripada bahasa asing, semaklah dahulu kosa kata bahasa Indonesia dan bahasa Melayu atau bahasa MT. Katakanlah kita mahu meminjam kata character, semaklah kosa kata bahasa Indonesia dan bahasa Melayu.  Kita akan bertemu kata watak.  Gunakanlah watak.  Ia akan lebih mudah diserap dan dimengerti oleh mana-mana bahasa MR.

Proses peminjaman kata daripada bahasa MT oleh mana-mana bahasa MR adalah semulajadi.  Ia berlaku dengan sendiri.  Suatu usaha yang searah ini akan mempercepat dan memperluas peminjaman kosa kata MT ke dalam kosa kata MR.  Sebagai contoh, sekiranya mana-nama bahasa MR memerlukan istilah untuk latest, mass media, journalist, performance, impact, universal, dll. maka ambillah katakata dalam bahasa Indonesia dan Malaysia iaitu: mutakhir, media massa, wartawan, prestasi, dampak, dan sejagat.  Apabila bahasa-bahasa MR ini menggunakan katakata ini, maka lama¬kelamaan bahasa MR itu akan mempunyai banyak pertindihan kosa kata dengan MT.  Ini akan memudahkan komunikasi di antara penutur bahasa-bahasa tersebut.

Apabila peminjaman ini dilakukan dengan sistematis, dan menggunakan mekanisme yang sudah wujud dalam bahasa itu, maka peringkat saling perfahaman juga akan meningkat.  Penutur-penutur bahasa MR itu dengan sendirinya merasa lebih rapat kepada penutur bahasa MT, dan bahasa MR lain yang menggunakan kata itu.   Unsur bahasa yang dikenalpasti untuk disebarluaskan kepada  penutur-penutur bahasabahasa MR secara terancang ialah kosa kata bahasa MT.

Ranah bahasa yang hendak dibangunkan

Bagi memudahkan juga proses peminjaman kata dari bahasa MT ini berlaku, kita tentukan juga ranah kosa kata yang akan dipinjam. Ranah bermaksud bidang penggunaan bahasa, seperti bahasa dalam periklanan, kewartawanan, penyiaran, pendidikan, perniagaan, pentadbiran, ilmu, dll.

Penentuan ranah bahasa ini akan membantu proses memilih kosa kata yang dikehendaki.  Kita dapat menentukan kosa kata yang kita perlukan menurut bidang ilmunya seperti biologi, kimia, pediatrik dll.  Kosa kata menurut bidang ilmu ini amat mudah didapati. MABBIM, iaitu badan yang menguruskan istilah ilmu di Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia menyediakan senarai istilah yang lengkap.  Hingga kini hampir setengah juta istilah atau kosa kata bidang ilmu telah dicipta.  Mana-mana penutur bahasa MR dapat dilengkapkan dengan istilah ini dengan mudah dan murah.  Penentuan ranah lain seperti akhbar, iklan, muzik, akan juga membantu supaya penutur bahasa MR itu dapat memberi tumpuan kepada sumber yang relevan sahaja.  Bantuan yang diberi juga akan menjadi relevan.

Wahana prasarana

Apabila kita menggalakkan peminjaman kosa kata daripada bahasa MT oleh bahasa MR, kita perlu menyediakan sumber prasarana lengkap supaya proses peminjaman itu berlaku dengan mudah.  Keadaan ini akan wujud apabila penutur bahasa MR itu didedahkan kepada sumber yang menjadi prasarana perancangan seperti akhbar, majalah, buku, kamus, senarai istilah, filem, internet dan video.  Yang penting ialah, penyebaran sumber dapat berlaku dengan mudah.  Sebarang sumber mestilah dapat dicapai oleh penutur bahasa MR dari mana-mana sahaja.  Pendedahan kepada sumber bahasa MT ini perlu sampai kepada semua penutur bahasa-bahasa MR.  Hanya apabila mereka dapat mencapai sumber bahasa MT itu dalam bentuknya yang bertulis atau elektronik, maka barulah mereka dapat terdedah kepada bahasa MT.  Ini akan membolehkan mereka menemui kata-kata yang dapat dipinjam ke dalam bahasa MR.

Pada masa ini akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian sudahpun dimasukkan ke dalam internet.  Ia dapat dicapai oleh pembaca seluruh dunia melalui internet.  Umpamanya dalam Utusan Malaysia 13 Mac 1996 terdapat kata pelarasan gaji 'salary adjustment'.  Penutur bahasa MR di Mindanao, atau di Selatan Thailand, atau di manamana sahaja dapat meminjam kata pelarasan itu untuk 'adjustment'.  Dalam keluaran yang sama terdapat kata globalisasi, konsep, aktivis, kurikulum, era, eksklusif, linguistik, kes, relevan dan teori.  Kata-kata ini tidak perlu diterjemahkan lagi.  Mana-mana bahasa MR dapat meminjam kata-kata ini dengan mengekalkan makna yang sama.  Tidak perlu lagi meminjam daripada bahasa Inggeris.  Apabila bahasa MR menggunakan katakata ini, bertambahlah bilangan kosa kata yang bertindih  dengan bahasa MT.  Peringkat saling perfahaman bahasa MR itu akan  bertambah.  Pengguna bahasa MR juga akan mengenali katakata itu apabila ditemui dalam bahasa MT kelak.

Sumber ini tidak perlu disebarkan melalui saluran elektronik. Sumber bercetak biasa juga akan memberi kesan yang sama. Di samping katakata daripada sumber bahasa Inggeris itu, ada banyak katakata daripada bahasa Melayu sendiri.  Sumber prasarana lain seperti buku ilmu, novel, makalah, jurnal akan memberi kesan yang sama.  Kamus-kamus ekabahasa dan dwibahasa (MT ke MR atau MR ke MT) amatlah berguna bagi menyemak makna bagi menentukan sama sesuatu kata itu dapat dipinjam atau tidak.

Agen pengembangan

Fungsi agen pengembangan bahasa penting.  Agen-agen ini dapat membantu menjalankan aktiviti bagi meningkatkan pertemuan penutur bahasa MR dengan MT.  Dalam pertemuan-pertemuan begini, penutur bahasa MT dan MR ini akan saling terdedah kepada individu yang terlibat dalam penggunaan bahasa yang aktif.  Mereka akan dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan peminjaman.  Di Indonesia ada Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Brunei Darussalam dan Malaysia mempunyai Dewan Bahasa dan Pustaka masing-masing, dan Singapura mempunyai Majlis Bahasa Melayu.  Di samping itu terdapat maktab, universiti, penerbit, persatuan-persatuan penulis yang menjadi agen kepada pembinaan bahasa. Agen-agen ini terlibat secara aktif dengan proses peminjaman kata-kata daripada bahasa-bahasa lain.  Agen-agen ini juga akan dapat membantu menyediakan katakata yang diperlukan dalam bahasa MR.  Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia) dan Pusat Bahasa (Indonesia) akan dapat menghantarkan senarai kata untuk bidang-bidang ilmu bila-bila diperlukan.  Ia juga dapat membantu dalam melatih penutur bahasa MR untuk sesuatu kemahiran, seperti pembinaan istilah, penyusunan kamus, menyunting, dan menerbitkan majalah.  Mana-mana badan daripada wilayah bahasa MR yang memerlukan kakitangannya dilatih dalam sesuatu bidang kemahiran akan dapat memanfaatkan kerjasama dengan manamana agen di atas.  Langkah DBP Malaysia mengadakan memorandum persefahaman dengan Mindanao State University adalah suatu contoh yang baik ke arah ini.  Melalui kerjasama demikian, bahasa MR akan dapat memanfaatkan kepakaran dalam bahasa MT.

Di samping agenagen kerajaan terdapat pula badan-badan cendekiawan seperti GAPENA, Sekretariat Melayu Antarabangsa, Persatuan Iranun Sabah, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia yang juga aktif dalam membangunkan bahasa MT. Persatuan-persatuan ini mempunyai rakannya di semua negara, termasuk negara penutur bahasa MR.  Pertemuan seperti ini, Simposium Dunia Melayu adalah satu contoh di mana kerjasama serantau kebahasaan dan kebudayaan dapat dilaksanakan.  Melalui pertemuan-pertemuan seperti ini, penutur-penutur bahasa MT dan MR akan bertembung dan berkenalan.  Usaha yang dijalankan oleh GAPENA untuk menjayakan simposium ini adalah suatu uasaha yang jelas membantu ke arah menjayakan perancangan bagi membina bahasa Melayu dalam wilayah Melayu besar.

Penutur MR yang menjadi sasaran

Individu-individu yang menjadi sasaran perancangan bahasa ini ialah guru, profesor, pelajar, wartawan, pengarang, editor, penerbit, pendakwah, novelis, pengacara radio dan tv, seniman, penyanyi, pemuzik, penyair, penulis skrip drama dan teater, pemimpin rakyat, imam dan kadi, dan siapa sahaja yang sentiasa aktif menggunakan bahasa.

Oleh sebab, individu-individu ini pernah berfungsi dalam mengubah bahasa, maka hakikat ini juga dapat kita eksploit untuk merancangkan bahasa.  Individu-individu ini hendaklah didedahkan kepada sumber-sumber bahasa MT dengan meluas.  Di samping mereka menjadi sasaran penyebaran sumber prasarana, mereka juga dapat menjalani rancangan-rancangan pertukaran, latihan dalam perkhidmatan, lawatan sambil belajar, persidangan, dll.  Badan-badan seperti DBP dan Pusat Bahasa akan dapat menampung rakan-rakan dari penutur bahasa MR untuk melawat dan berlatih di institusi masing-masing.  Wartawan akhbar dapat saling menziarahi, dapat saling bertukar bertugas di syarikat masing-masing.  Universiti dan kolej dapat saling bertukar profesor dan pelajar, di samping bahan kepustakaan.  Ahli perkamusan dan istilah dapat dilatih di DBP atau Pusat Bahasa.  Novelis dan editor dapat saling mengunjungi.  Segala aktiviti ini dapat dilakukan secara peribadi atau secara terancang di antara agen-agen tertentu. Apabila ini dapat dilakukan, pendedahan individu daripada bahasa MR itu kepada bahasa MT akan bertambah luas.  Keadaan ini akan menjadi pemangkin dalam mempercepat dan memperluas peminjaman kata-kata daripada bahasa MT ke dalam bahasa MR.

Ramalan hasil perancangan bahasa Melayu serantau

Apabila penutur-penutur bahasa MT dan MR mempunyai banyak kata¬kata yang bertindih dan mudah difahami antara satu sama lain, maka ini akan merapatkan jurang psikologi di kalangan mereka. Mereka akan merasa senasib, seasal, serumpun.  Apabila ini berlaku, perancangan bahasa Melayu untuk wilayah Melayu besar ini berjaya.  Wujudnya wilayah Melayu besar ini akan memantapkan identiti Melayu di Nusantara dan menyatukan minda penutur bahasa Melayu ini untuk pembangunan bersama.

BIBLIOGRAFI

  1. Abdullah Hassan, 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.
  2. Abdullah Hassan, Language Planning in Southeast Asia, Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka, 1994.
  3. Asmah Omar, Language Planning for Unity and Efficiency, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1979.
  4. Coulmas, F., With Forked Tongues; What are National Languages Good For?, Singapore: Karoma Publishers, Inc., 1988.
  5. Edwards, J.R., Language Society and Identity, London: Basil Blackwell, 1985.
  6. Fasold, R. Sociolinguistics, Oxford: Blackwell,  (1984)
  7. Leo Suryadinata, Dictionary of Comparative Malay-Indonesian Synonyms, Times Books International, Singapore, 1991.
  8. Mahbubani, K., 'Cara Pasifik' dalam Pemikir, Jul-Sep 1995.
  9. Mangantar Simanjuntak, Pengutamaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang, Termasuk Sains Dan Teknologi, Menjamin Potensinya Sebagai Bahasa Ilmu Dan Bahasa Supranasional, Di Samping Menjamin Pembangunan Negara Yang Maksimun, dalam Kongres Melayu Sedunia, Kuala Lumpur, Ogos 1995.
  10. 10.Rubin, J. and Jernudd, B., eds., Can Language be Planned?, Honolulu: University of Hawaii Press, 1971.
  11. Siddique, S., 'The Asian Diaspora', Pemikir, Jul-Sep 1995.
  12. Watson, J.K.P. `Cultural Pluralism, Nation-Building and Educational Policies' in Chris Kennedy, Language Planning and Language Education, London: George Allen & Unwin, 1983.