Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Bahasa Pengucapan Masyarakat dan Pemindahan Nilaiya ke-2: Nasional

Pusat Kajian Bahasa dan Budaya, Unika Atma Jaya, Jakarta, 24 dan 25 Februari 2004
 
Bahasa Pengucapan Masyarakat dan Pemindahan Nilai
 
Prof. Abdullah Hassan, UPSI
 
 

Pendahuluan

Bahasa adalah teras kebudayaan. Kebudayaan Inggeris berteraskan bahasa Inggeris; kebudayaan Jepun berteraskan bahasa Jepun dan kebudayaan Melayu berteraskan bahasa Melayu. Bahasa bukan hanya sekadar memberi identiti kepada bangsa yang menuturkannya. Lebih daripada itu. Bahasa adalah pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, idea-idea, dan nilai-nilai yang diwarisi oleh bangsa yang menuturkannya. Pendeknya, dalam bahasa terkandung himpunan memori sesebuah bangsa. Terkandung dalam himpunan memori itu ialah nilai-nilai sesuatu bangsa. Kita mengucapkan nilai-nilai tersebut melalui bahasa. Seterusnya, perilaku kita ditentukan oleh nilai-nilai tersebut. Dan, bahasa menjadi kenderaan memindahkan himpunan memori ini daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Apabila kita mengubah bahasa sebagai alat pengucapan (ekspresif) kita, maka akan berubahlah juga nilai-nilai kita. Ini akan dapat dilihat daripada nilai dan perilaku yang kita pamerkan.

 

Makalah ini membincangkan beberapa dapatan melalui pemerhatian mengenai kesan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan kelas menengah masyarakat Melayu terhadap nilai-nilai dalam himpunan memori Melayu ini sebagai yang diungkapkan melalui bahasa atau dipamerkan melalui perilaku penuturnya.

Pemerhatian

Ada beberapa perkara yang berkait dengan nilai dapat diketahui melalui bahasa pengucapan dan perilaku di kalangan masyarakat menengah Melayu. Proses ini menimbulkan beberapa gejala yang membuktikan berlakunya beberapa perubahan kepada nilai Melayu dan perilaku penuturnya. Yang dimaksudkan dengan nilai di sini ialah perkara-perkara yang dijadikan landasan bagi sesuatu perilaku yang dipamerkan oleh penuturnya, dan diterima oleh orang Melayu umumnya. Apablia bahasa ekspresif ini digantikan dengan sebuah bahasa lain, maka nilai-nilai kita turut terpengaruh. Ini digantikan oleh nilai daripada budaya yang bahasanya kita gunakan sebagai bahasa ekspresif. Akibatnya, perilaku yang dipamerkan juga turut terpengaruh dan berubah.

Penggunaan bahasa Inggeris membawa masuk nilai daripada budaya Inggeris ke dalam himpunan memori penuturnya. Ini menyebabkan berlakunya kebocoran kepada bendung budaya kita. Ada kalanya menambah, ada kalanya menggantikan nilai budaya Melayu itu. Ini dapat diperhatikan melalui bahasa ekspresif yang digunakan dan juga perilaku penuturnya. Kajian ini melihat penggunaan bahasa ekspresif tersebut dan kesannya kepada perilaku penuturnya. 

Kaedah

Ada dua kaedah yang digunakan bagi mengumpulkna bahan yang terdiri daripada peristiwa yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ekspresif dan perilaku yang dipamerkan di kalangan kelas menengah Melayu. Pertama, pemerhatian ilakukan terhadap dua buah keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi di antara ahli keluarganya. Fokus diberikan kepada perristiwa yang melibatkan konflik nilai. Konflik diberi fokus kerana ini lebih mudah menunjukkan sebarang perubahan pada nilai. Ini dirakamkan melalui sidang perbincangan ala kaunseling. Peristiwa penggunaan bahasa dianalisis bagi melihat nilai-nilai yang berkaitan, dan melihat kesannya kepada nilai asal budaya Melayu. Keluarga berkenaan mengetahui tentang objektif kajian yang dijalankan.

Kedua, data juga dikumpulkan daripada pemerhatian kasual. Sebarang laporan yand diterima dikumpulkan. Bahan begini dapat membantu melihat sama ada peristiwa tersebut berlaku kepada orang lain, yang memberi gambaran umum.

Skop Makalah 

Kertas ini akan mengemukakan beberapa konsep dan persepsi awal mengenai fenomena ini. Perbincangan dilakukan dengan membuat tinjauan awal terhadap amalan dwibahasa bagi tujuan melihat kesan kepada perilaku dan nilai penuturnya. Perbincangan dan pemerhatian awal ini diharap dapat menghasilkan desain yang lebih baik bagi membuat kajian seterusnya terhadap fenomena peminjaman bahasa Inggeris sebagai bahasa keluarga di kalangan kelas menengah Melayu dan kesannya terhadap nilai peribumi penuturnya.

Beberapa Hipotesis Latar

Ada empat hipotesis ssosiologi dan psikologi umum yang mencetuskan kerangka pemikiran dalam menjalankan kajian ini.

1. Hipotesis Sapir-Whorf

Walaupun teori Sapir dan Whorf ini sudah lama dan ada kekurangannya, tetapi ada bahagiannya yang dapat membantu kita memahami proses perubahan nilai dalam masyarakat kita. Mereka adalah dua orang tokoh sosiolinguistik yang mengemukakan pendapat berkenaan pengaruh bahasa terhadap cara kita memahami alam fizikal kita. Mereka mengatakan, manusia bukan hanya hidup dalam dunia konkrit semata-mata, dan manusia juga tidak hidup sendiri dalam dunia aktiviti sosial. Manusia sentiasa tertakluk kepada kerenah bahasa yang menjadi alat ekspresif bangsanya. Menurut mereka, tidak benar manusia menyesuaikan diri dengan realiti tanpa menggunakan bahasa. Tidak benar juga bahawa bahasa itu alat komunikasi semata-mata. Mereka mengatakan apa yang kita fahami sebagai "dunia sebenar" ini pada dasarnya adalah "realiti" yang kita bina secara tidak kita sedari berdasarkan bahasa yang kita gunakan. Kita melihat, mendengar dan mengalami realiti seperti halnya sekarang, semuanya kerana bahasa yang kita gunakan. Struktur bahasa kita telah awal-awal lagi menentukan bagaimana kita seharusnya memahami realiti.

Secara ringkasnya, Sapir dan Whorf mengatakan, dengan menggunakan bahasa-bahasa yang berbeza masing-masing penuturnya mengalami realiti yang berbeza-beza. Ini kerana tiap-tiap bahasa, melalui perbendaharaan kata dan hukum-hukum nahunya telah menentukan bagaimana pengguna bahasa-bahasa itu seharusnya memahami dunianya. Oleh yang demikian, dua orang penutur bahasa yang berlainan akan menyaksikan alam yang satu ini sebagai dua manusia yang berlainan dan memahami alam secara yang berlainan pula.

Berdasarkan hipotesis ini, apabila sesuatu bangsa menukar bahasanya, maka bangsa itu bukan hanya menukar alat komunikasinya, tetapi bangsa itu juga menukar persepsinya berkenaan dirinya dan persepsinya tentang alam kelilingnya, dan akibat daripada perubahan persepsi itu bangsa tersebut akan mengubah nilai-nilainya dan seterusnya mengubah perilakunya. 

2. Hipotesis Malek Bennabi

Malik Bennabi ialah seorang tokoh sejarah dan sosiologi Islam yang terkenal dalam abad keduapuluh. Beliau adalah bangsa Algeria yang belajar di Perancis. Beliau banyak mengkaji dan menulis tentang kesan penjajahan linguistik yang berlaku selepas tamatnya penjajahan politik di negara-negara Islam. Menurut beliau, kebanyakan negara-negara bekas tanah jajahan Eropah terus mengekalkan kehadiran bahasa penjajah masing-masing, menimbulkan penggunaan bilingualisma. Akibatnya, timbullah beberapa kesan bilingualisma di kalangan elit intelektual, politik dan pentadbiran negara-negara itu. Di dalam bukunya Masalah Idea Dalam Dunia Islam beliau mengatakan "...bilingualisma akan mencipta kesan-kesan yang sangat bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan."

Secara ringkasnya Malik Bennabi mengatakan penggunaan bahasa-bahasa bekas penjajah di kalangan masyarakat-masyarakat Islam telah mencipta kesan-kesan baru yang bersifat struktural dalam minda dan budaya masyarakat-masyarakat Islam, iaitu terciptanya idea-idea yang asing kepada budaya peribumi. Menurut beliau gejala bilingualisma mengenakan pengaruhnya kepada elit intelektual masyarakat Islam melalui bahasa pengantar universiti. 

Pada peringkat tersebut idea-idea asing diimport dengan tepat seperti yang dilakukan oleh Ali Abdul Razik, bekas penuntut al-Azhar yang kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Oxford. Melalui karyanya "Islam Dan Prinsip-Prinsip Pemerintahan" Razik mengatakan Islam hanyalah suatu ajaran agama, spiritual dan moral, dan tidak ada kaitan dengan soal-soal politik dan pemerintahan. Memang demikianlah idea Barat yang sebenar, dan diterjemahkan dengan tepat oleh Razik dan diimport ke dalam dunia pemikiran Islam.

Di dalam sesetengah masyarakat Islam, bilingualisma mencipta perpecahan yang luas dan mendalam. Perpecahan itu berlaku di semua peringkat, atas, pertengahan dan bawah. Di dalam masyarakat-masyarakat itu terdapat dua elit, satu elit berbahasa kolonial dan satu elit berbahasa peribumi. Di peringkat bawah terdapat dua masyarakat yang juga menuturkan dua bahasa yang berbeza, satu bahasa kolonial dan satu bahasa peribumi, dan kedua-duanya tidak dapat hadir bersama dalam satu budaya.

Menurut Malik Bennabi, apabila kita mengucapkan pemikiran-pemikiran kita dengan menggunakan bahasa asing, pemikiran kita itu boleh menjadi buta budaya sendiri, malah menghinanya, dan ada kalanya boleh mengkhinatinya.

Bilingualisme dalam Masyarakat Melayu

Kesan secara umum yang diakibatkan oleh bilingualisma di kalangan orang-orang Melayu dapat dilihat pada perkara-perkara seperti sistem perundangan, sistem pendidikan dan lain-lain sistem. Pada satu pihak ada mahkamah sivil yang diimport dari Inggeris, manakala pada satu pihak lagi ada sistem mahkamah syariah yang berupa idea induk Islam-peribumi.  Demikian juga, pada satu pihak ada satu sistem persekolahan sekular yang berupa idea Inggeris, dan di satu pihak lagi ada sistem persekolahan agama.  Inilah yang dikatakan oleh Malik Bennabi bahawa bilingualisme mengimport idea-idea yang bertentangan dan tidak dapat diterima oleh budaya Melayu (sesetengah). Akibatnya mereka mengekalkan sistem peribumi, iaitu sekolah agama rakyat.

Peminjaman Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Komuniasi Keluarga

Di kalangan masyarakat Melayu hari ini jumlah keluarga Melayu yang mengambil bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak mereka semakin hari semakin ramai. Fenomena yang serupa juga berlaku dalam masyarakat Cina dan India. Kedua-dua suami dan isteri di dalam keluarga-keluarga ini menguasai bahasa Inggeris dan perkataan pertama yang mereka ajarkan kepada anak-anak mereka adalah perkataan-perkataan Inggeris. Di dalam keluarga-keluarga ini bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda kepada anak-anak mereka meskipun bahasa itu pada asalnya ialah bahasa pinjaman. Oleh yang demikian, kepada anak-anak keluarga Melayu seperti ini bahasa ekspresif mereka adalah bahasa Inggeris.

Bahasa Ekspresif

Bahasa ekspresif ialah bahasa yang digunakan oleh penggunanya bagi menyatakan pemikiran, idea-idea, emosi dan nilai-nilai. Fungsi ekspresif itu tercapai melalui pencapaian darjah penguasaan dan kefasihan bahasa yang tinggi. Bagi mengetahui apakah bahasa ekspresif seseorang, ada beberapa petanda seperti apakah bahasa yang digunakan apabila seseorang itu terperanjat; apakah bahasa yang digunakan semasa dia marah-marah, mencarut dan memaki; apakah bahasa dalam mimpinya dan apakah bahasa doanya dalam saat-saat ia mengalami kesedihan dan kecemasan. Apabila di dalam keadaan-keadaan seperti itu dia menggunakan bahasa Inggeris, maka bahasa itu ialah bahasa ekspresifnya.

Bahasa Inggeris dan Benak Melayu

Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu.

Apabila kelas menengah Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi.

Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius, iaitu menimbulkan konflik. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif.  Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. 

Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.

Menurut Malik Bennabi, akibat daripada keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam secara langsung dan ad hoc segala macam benda-benda, idea-idea dan institusi-institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing tersebut, dengan tidak mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan bangsa yang meminjamnya. Sebagai contoh benda-benda yang dipinjam ialah bagaimana elit tempatan memasang besen mandi, membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar musim salji di katil mereka.

Data Terkumpul

Berikut disenaraikan peristiwa-peristiwa dan perilaku yang menunjukkan peminjaman bahasa Inggeris oleh dua buah keluarga. Dalam hal ini, peristiwa dan perilaku ini disenaraikan sahaja. Ini diikuti dengan usaha menyenaraikan nilai-nilai yang dibawa masuk, dan nilai-nilai Melayu yang terlibat. Dalam usaha ini, ulasan tidak akan dibuat bagi menentukan sama ada peristiwa dan perilaku ini membawa akibat positif atau negatif. Pada tahap ini, tinjauan ini hanya membuat senarai perubahan-perubahan yang berlaku bagi perhatian peserta persidangan.

Peristiwa dan Perilaku Daripada Keluarga Pertama

1. Peritiwa Melawat Rome

Husband: We had a lot fun travelling through Europe before we return to Malaysia ....

Wife: Yes, great time, we all enjoyed, remember darling (kepada suami) .... we went to Rome, so romantic!!! Ah yes ...

Husband: We went to the grand cathedral, we even went to see the Pope, the Pope blessed our children ....

Wife: Then, we went the fountain, and the wishing well ... So we all pun buat jugalah, we all threw coins into the well, surelah we made a wish, nak balik ke Rome lagi ... We have to make a wish in English, tak kanlah nak cakap dalam BM.

2. Perkawinan Anak Perempuan Sulung

Bride: I want a white wedding, I can wear a white dress with flowing gown, then I walk down the aisle to the bersanding … apa tu mum, bersanding dais? … is there such a thing, I need a bouquet and two flower girls …

Mother: Ok, no worry, we can have the aisle laid with carpet all the way from the pintu to the stage. That would do.

Bride: What music to paly, we cant have the “Ave Maria …” can we? ….

Mother: No… no … but we can have the “Selawat nabi’ by the Raihan … it is beautiful you know … I think I am going to cry …Then, once the bersanding is on, we can have the VIPs, and opahs and atuks to the the renjis air mawar….

Bride: Okaylah ….

Mother: Tuan Ustaz will read the doa to bless the wedding ….

3. Birthday Party for Anak Bongsu

Mother: We are going to have a birthday party for you ...

Girl: You will bake me a cake or what ..

Mother: We will order one from the bakery ...

Girl: How many lilin will I have ..

Mother: Say properly, say candles, not lilin, You must learn good English.

Girl: Never mindlah ....

Mother: What never mind, Mahathir  says so ... we must speak Inggeris to be a developed nation, wawasan duapuluh-duapuluh what ...

Father: Both of you serupalah,

Girl: Then what to do?

Mother: I will put ten candles, because your are ten years old. You blow the candle and make a wish

Girl: Wish apa?

Mother: Think la, your hajat, what you want, and Angah will wear a fairy’s dress with wings … All these they do for you, you know.

Peristiwa dan Perilaku Daripada Keluarga Kedua

1. Perilaku dalam Perbincangan Perkahwinan Anak Lelaki Sulung

Father: You are going to get married, I hope you have enough saving to pay for your wedding expenses!!

Son: I tried to save, but I couldn’t save enough, so I am expecting some contribution from you bapak?

Father: How can you get married if you don’t have enough money.

Son:  I told you I just couldn’t save. (Relationship has been bad between the two.)

Father: What contribution, you are getting married, you will have to bear the cost. Kawin nak, keluar duit tak mahu ... (Pertelingkahan meningkat .....)

Son: What kind of father are you ?

Father: I have been resposible to you since small, gave you education, gave you care .....

Son: What care … you …. I hope you will burn in hell .....

2. Peristiwa Opah Meninggal

Father: Tonight we have going the prayers for Opah’s soul.

Son: What prayer dad?

Father: When someone died, we can make doa for him to go to heaven. We do the tahlil.

Son: Will Opah be in heaven?? (Semasa tahlil malam itu peristiwa seterusnya berlangsung.)

Haji: Apa nama emaknya.

Father: Zainab binti Osman.

Haji: Tak begitu. Apa nama emak, nenek Encik?

Father: Oh, kenapa?

Haji: Orang mati dibinkan kepada ibunya, bukan bapanya.

Father: Oh!!! Maryam.

3. Bapak Kahwin Lagi

Second son: Why you keep that stupid man?

Mother: Well we have been married for years, it is not that easy…

Second son: You make sure you get all the properties, leave him with nothing. You just tell me, I will bash him when he comes home again. Any time!

Mother: You should not be rude to your father.

Pemerhatian kasual

1. Toast to Yang Dipertuan Agung

Untuk beberapa lama selepas pemerintahan Inggeris, minda dalam angkatan tentera kita pernah melakukan upacara ‘minum’ walaupun air sejuk, bagi mendoakan kesejahteraan Yang Dipertuan Agong.

2. I want to Enjoy Chrismas too ...

Seorang pegawai wanita Melayu yang bekerja di syarikat swasta, sentiasa berbahasa Inggeris. Beliau merungut pada hari sebelum Christmas kerana ketuanya banyak kerja dan terpaksa pulang lambat. Beliau berkata, “Where is the Chistmas spirit, I want to enjoy Christmas too.

3. Why me …

Seorang rakan baru diserang angin ahmar. Setelah sembuh kembali, beliau menyesali keadaan sambil berkata, “I am only 40, why me?’

4. Bunga untuk Ayah

Anak perempuan lama belajar di Amerika dan terus berkahwin dengan orang Inggeris dan tidak balik-balik. Ayahnya meninggal, dan satu hari selepas itu ibunya menerima segelum bunga ‘wreath’ sempena pengebumian jenazah bapanya.

5. Dinner for Mother’s Day

This is our appreciation to you. Today is mother’s day … So enjoy your dinner. Apabila pulang, rumah ibunya gelap …

Anak: Why there is no light. The fuse tripped?

Ibu: TEN cut my supply as I didn’t have money to pay the bill for the last three months …

6. A Church Hymn for Father’s Soul

Seorang anak perempuan yang bersedih atas kematian ayahnya, tetapi tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Lalu memainkan lagu sedih pada piano.

7. Malays should Learn to Write Obitury

We should learn to practice this beautiful gesture. Write an obitury when somebody dies to show our appreciation ….

8. Latah dalam Bahasa Inggeris

My! oh my!  Holy Jesus!  Oh Christ!  What the Hell!  Bloody fool!

9. I don’t expect anything

I don’t expect anything from my children.

10. I am your Friend

I treat my children as friends.

Apa yang Kita Perasan?

Saya sengaja menggunakan perkataan perasan. Ini lebih sesuai bagi menterjemahkan maksud ‘observe’ dalam bahasa Inggeris. Apabila kita amati peristiwa dan perilaku yang disenaraikan di atas, tentu kita akan dapat melihat beberapa kesan terhadap nilai Melayu. Walaupun demikian, kita tidak dapat mengatakan secara muktamad kesan ini diakibatkan oleh penggunaan bahasa Inggeris. Ini adalah kerana ada faktor lain yang menyebabkan wujudnya pengaruh terhadap nilai Melayu ini. Namun, kita pasti dapat mengesan beberapa korelasi antara penggunaan bahasa Inggeris itu dengan pengaruh yang berlaku kepada nilai Melayu. Kesan ini cuma disenaraikan. Kertas ini juga tidak berhasrat mengatakan itulah akibat yang berlaku. Untuk berkata demikian, kajian dan analisis yanng lebih rapi diperlukan.

1. Nilai-Nilai Yang Diserap oleh Keluarga Pertama

Merasa ‘romantik’ satu konsep yang tidak ada dalam nilai Melayu.

Pergi ke gereja.

Megah didoakan oleh Pope supaya masuk syurga.

Memasang niat di telaga keramat.

Kepingin memakai ‘white dress.’

Mahukan ‘white wedding.’

Teringin ‘walk down the aisle’ seperti pengantin Kristian kahwin di gereja.

Memberi nilai kepada ‘bouquet.’

Mahu diiringi ‘two flower girls.’

Teringin kahwin dalam gereja supaya dapat ‘walk down the aisle.’

Teringin diiringi muzik ‘Ave Maria’ walaupun diganti dengan ‘selawat nabi’

Emak pengantin menangis , ‘I cry at weddings.’

Ustaz mem’blessed’ the wedding … macam yang dibuat oleh paderi Kristian.

Ada birthday party.

Ada ‘cake’ harijadi.

Satu lilin untuk satu tahun.

Ada lilin macam di gereja.

Meniup lilin.

Menyatakan hajat ‘wish’ semasa meniup lilin.

Ada ‘fairy’ memakai sayap.

2. Nilai-Nilai Yang Diserap oleh Keluarga Kedua

Anak berbahasa kasar kepada ayah, perilaku biadab.

Anak tidak tahu konsep derhaka, bercakap keras itu berdosa dan masuk neraka.

Anak memaki ayah ‘I hope you will burn in hell.’

Tidak tahu dalam tahlil nama simati dibin kepada ibunya, memori tak sampai kepada penuturnya.

Biadab memanggil ayahnya ‘stupid man.’on.

Mengaut harta bapa, merampas kuasa bapa adalah biadab

Derhaka kerana mahu membelasah bapanya ‘bash him.’

Ibu tidak memahami konsep taat kepada bapa, bukan ‘rude’ tetapi derhaka.

Nilai-Nilai Yang Terlibat dalam Pemerhatian Kasual

Berdoa dengan meminum wain, bukan perilaku Melayu.

Merayakan Krismas sebegini menagih kerosakan aqidah.

Why me? Adalah pernyataan tidak redha pada kada Allah.

Anak yang salih mendoakan kesejahteraan roh ayahnya, perlakuan memberi bunga tidak ada nilai dalam budaya Melayu.

Menjamu makan ibu bukan membalas budi, perlu menyara ibu.

Lagu hymn bukan Islam. Kita membacakan ayat suci al-Quran.

Menulis obitury tidak bermakna, kita bacakan ayat suci dan doa.

Ungkapan: Holy Jesus!  Oh Christ! Boleh merosakkan aqidah.

Ibu bapa mesti menjadi ibu bapa, tidak boleh menjadi kawan.

Ibu bapa mesti mengajar anak membalas budi orang tua.

 

Kesimpulan

Apa yang berlaku ialah, masyarakat Melayu mempunyai himpunan memori sendiri. Himpunan memori ini sudah mula berubah. Menurut Sapir-Whorf dan Malek Bennabi, proses ini ada kena-mengena dengan bahasa ekspresif yang kita gunakan. Walau bagaimanapun, kaedah kajian, analisis data dan pemerhatian masih perlu diperkemas bagi menghasilkan dapatan yang lebih jitu.

Bibliography

Awang Sariyan, Seminar Tamadun Berbahasa Melayu Menjelang Tahun 2020: Resolusi Umum, Jurnal Dewan Bahasa, September 1995.

Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in The Muslim World, Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1994.

Byalistok, E. Bilingualism in Development, Cambridge: Cambridge University Press (2003)

Butts, R.F., The Education of the West, MacGraw Hill, New York (1973).

Chai Hon Chan, Education and Nation Building in Plural Societies: The West Malaysia Experience, Canberra: The Australian National University - Development Studies Centre, Monograph No 6, 1977.

Che Mazlan Saad, Pendidikan Yang Bertaraf Dunia Menjelang 2020: Isu-Isu Strategik Untuk Pembentukan Polisi Dan 

Perancangan Pendidikan Negara, Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke-21, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 7-9 November 1995.

Chelliah, D.D., A History of the Educational Policy of The Straits Settlements with Recommendations for a New System Based on Vernaculars, Kuala Lumpur: Govt. Press, 1948.

Collins, J.T., Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Antarabangsa: Antara Kenyataan dan Keraguan, Kongres Cendekiawan Melayu Ke-4, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 28-29 Julai 1995.

Sapir, E., Selected Writings of Edward Sapir, Berkeley: University of California Press, 1949.

Whorf, B.L., Language, Thought and Reality, Cambridge, MA: MIT Press, 1956.