Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Menerbitkan 26,000 Judul Buku Setahun

Pengenalan 

Apabila Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Malaysia hendaklah menerbitkan 26,000 judul buku baru setahun, semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 25 April 2011 lalu, Maka dengan serta merta tugas para penterjemah secara umumnya, dan Persatuan Penterjemah Malaysia secara khususnya, menjadi sangat serius dan mencabar. Bagi mempelajari peri hal penerbitan buku terjemahan, eloklah kita belajar daripada pengalaman Industri Terjemahan Buku di Taiwan.

Industri Buku dan Terjemahan di Taiwan

Taiwan adalah sebuah contoh yang baik bagi menunjukkan kepada kita cara industri terjemahan berkembang maju sebagai suatu bisnes dalam industri perbukuannya. Negara ini hampir sama besar dengan negara kita Malaysia. Ini bermakna industri terjemahan dapat berkembang maju dengan ditampung oleh jumlah penduduk seramai 20 juta orang. Ada beberapa generalaisasi yang dapat dibuat dan dijadikan pandu arah dalam melaksanakan usaha-usaha membangunkan industri menterejmah di Malaysia sebagai usaha komersial. 

Dasar bahasa di Taiwan adalah menggunakan bahasa China, iaitu bahasa peribuminya sebagai bahasa pendidikan. Dasar tersebut jelas dapat memandaikan warganya, dan betapa warga yang berilmu tersebut kemudiannya menuntut supaya ilmu diimport ke dalam bahasanya. Tuntutan ini menimbulkan sebuah industri ilmu yang besar. Industri perbukuan di Taiwan menerbitkan 38,000 judul buku setahun. Dan perkara yang penting kita fahami dan mengambil iktibar adalah bahawa 8,000 daripada judul buku tersebut adalah terjemahan, iaitu 20% daripada judul buku yang diterbitkan. 

Yang lebih penting lagi kita fahami adalah hakikat bahawa negara Taiwan sudah berhasil membina sebuah industri ilmu yang bernilai RM 3.8 bilion setahun. Ini adalah statistik sepuluh tahun dulu, dan pada masa ini industri ini terus maju. Betapa sebuah negara sebesar Taiwan itu dapat menggerakkan sebuah industri perbukuan yang aktif.  Industri perbukuan itu mencakup beberapa industri lain seperti percetakan, perniagaan kertas, pembekalan ilustrasi dan grafik, dan seterusnya. Inilah yang menjadi dasar perbincangan mengapa kita perlu mewujudkan dasar bahasa yang mengutamakan bahasa peribumi demi memandaikan bangsa, dan sekali gus mewujudkan industri ilmu yang bukan sekadar memberi kekayaan tetapi maruah kepada negara dan bangsa. 

Makalah ini membawa cerita mirakel negara Taiwan dalam membangunkan industri perbukuan, sekaligus industri terjemahan. Taiwan adalah sebuah negara kecil yang dapat bertahan ketika badai ekonomi melanda Asia. Ini dapat dilihat dalam aktiviti industri perbukuannya. Pada Pameran Buku Antarabangsa Taipei yang Kesepuluh, diadakan pada bulan Februari tahun 2002, jualan bukunya menunjukkan prestasi yang menakjubkan. Seorang wartawan, Sally Taylor menulis sebuah rencana mengenai perkara ini dalam Publishers Weekly pada bulan Disember tahun 2001. Beliau memberitahu bahawa industri penerbitan buku Taiwan adalah cergas. Beliau juga meramalkan bahawa masa depan pasaran buku dalam bahasa China adalah cerah. Buktinya ialah, jualan bukunya kekal menggalakkan. Bahkan apa yang lebih menarik lagi adalah, aktiviti menterjemah juga meningkat. Ini memang jelas terbukti dengan meningkatnya usaha membeli hakcipta buku bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China, dan ini adalah suatu langkah penting yang perlu kita beri perhatian. Maka atas kesedaran itulah PPM melibatkan diri dalam Trade Copyright Centre (TCC) dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 20 April hingga 1 Mei 2011 lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra. 
Pada tahun ini, Taipei International Book Exhibition (2011) yang diadakan di Taipei World Trade Center, Taipei, pada 9 - 14 Februari 2011 adalah pesta buku yang terbesar di Asia. Pada tahun ini tema mereka adalah "Kertas."  Tema ini ada kaitannya dengan pandangan maju pemerintahnya dalam industri perbukuan. Dua tahun lalu pemerintah Taiwan memperuntukkan USD 65 juta bagi membangunkan industri e-book. Kini Taiwan menjadi pemain terbesar dunia dalam menghasilkan pemaparan e-paper untuk Amazon's Kindle dan Sony's e-Reader. 

Apakah yang sebenarnya menjadi skenario industri perbukuan di Taiwan?  Dalam artikel "An Overview of Taiwan's Book Publishing Industry" oleh Rex How (Springer Science + Business Media LLC, 2010) menyatakan tahun 1987-2000 adalah zaman gemilang penerbitan Taiwan. Sepuluh tahun dulu, seperti disebut di atas pasaran buku Taiwan bernilai RM 3.8 bilion setahun. Taiwan menerbitkan 38,000 tajuk buku baru dalam tahun 2000.  Yang sangat ketara dan yang perlu kita memberi perhatian adalah 8,000 daripada judul tersebut datang daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa China. Malah buku trejemahan mendapat tempat istimewa dalam kelompok buku yang terlaris. Sebilangan besar daripada 100 buku terlaris yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya trejemahan. 

Apabila kita memperkatakan tentang betapa besarnya pasaran buku di Taiwan, kita mungkin merasa sedikit curiga, kerana Taiwan adalah sebuah negara kecil. Negara kecil ini mempunyai jumlah penduduk yang kecil juga, maka tentulah pasaran bukunya kecil juga. Namun, jumlah judul dan naskhah buku yang diterbitkan adalah besar. Hakikatnya adalah, walaupun Taiwan mempunyai 20 juta penduduk, tetapi bilangan penduduk 20 juta ini dapat menghidupkan industri perbukuan, iaitu industri konten yang berasaskan ilmu pengetahuan. Ini adalah disebabkan oleh bilangan pembacanya ramai. Malah setiap pembaca di Taiwan berbelanja lebih daripada RM 450 setahun membeli buku. 
Pada hari ini warga Taiwan juga sanggup mengeluarkan USD 400 (RM1,500) bagi membeli alat membaca e-book. Walaupun ini memberi kesan negatif kepada buku yang tercetak atas kertas, namum sejak 2009 ada semacam gerak bertahan pembelian buku kertas. 

Kesan positif daripada tabiat membaca inilah yang menimbulkan cerita-cerita kejayaan dalam bidang industri ilmu, khususnya penerbitan buku, yang juga melimpah ke bidang industri terjemahan. Memang sudah menjadi lumrah di Taiwan pada masa ini, bagi kedai buku menjual sebanyak 10,000 naskhah buku terjemahan yang baik setahun. Angka ini sudah meningkat tinggi, sebab pada masa lalu buku-buku terjemahan hanya dapat dijual sekitar 3,000 naskhah saja setahun. 

Ciri-ciri dan perkembangan beginilah yang mendorong industri perbukuan umumnya, dan terjemahan khususnya berekembang pesat. Antara syarikat penerbitan yang cepat berkembang adalah Cit&eacute. Bahagian buku rujukannya Owl, menjual buku yang diterbitkan oleh syarikat DK, Cambridge dan Larousse. Sejumlah 95% daripada buku ini adalah terjemahan dalam kategori bacaan umum untuk semua peringkat umur. Aktiviti perniagaan buku ini kian berkembang mencakupi buku sastera, seni, dan buku akademik. Di samping itu terdapat pula buku yang diterbitkan oleh Polo Press yang menerbitkan buku panduan untuk pelancong. Semua buku ini, iaitu 100% adalah terjemahan. Syarikat-syarikat ini amat optimistik dalam operasinya, dan terus berusaha mencari tajuk-tajuk buku yang sesuai dari Amerika supaya diterjemahkan.

Bagaimana Industri Terjemahan Terdorong?

Ada tiga kaedah yang jelas kelihatan berlaku dalam idustri terjemahan di Taiwan. Dan, kaedah ini dapat membantu kita menentukan strategi kita memilih judul yang hendak diterjemahkan.

1. Buku Berkualiti dan Murah

Pengasas Commonwealth Publishing Company di Taiwan, Tuan Charles Kau menjelaskan bagaimana kemajuan industri buku terjemahan ini dapat berkembang maju. Syarikat beliau mempunyai kedudukan yang kuat dalam industri menerbitkan buku-buku sederhana berat, dalam bidang perniagaan dan politik. Menurut beliau, menerbitkan buku di Taiwan sekarang adalah lebih terbuka dan menggalakkan berbanding dengan di tempat-tempat lain di Asia. Beliau memberitahu Pusblishers Weekly, bahawa itulah sebabnya syarikat penerbitan tumbuh maju di Taiwan. Buku tidak mahal dan kualitinya sangat baik. Buku setebal 200 halaman berkulit nipis hanya berharga sekitar RM 18.00 hingga RM 23.00 saja senaskhah. Di samping itu, masyarakt China itu sendiri menggalakkan industri perbukuan berkembang. Sikap terbuka masyarakat China menerima buku juga membantu menggalakkan industri perbukuan. 

2. Buku yang Membawa Idea Progresif

Tuan Kau mengatakan bahawa mereka juga sudah membuat tinjauan terhadap tabiat membeli dan membaca buku warga Taiwan. Hasil analisis tinjauan itu, memberi pedoman kepada syarikat mereka tentang kaedah membawa masuk idea-idea progresif daripada Barat. Tajuk-tajuk buku terjemahan untuk bacaan berat juga laris dijual. Sebagai contoh antara buku-buku yang digemari oleh pembaca Taiwan adalah karya Peter Singer, Michael E. Porter, Peter Drucker dan George Soros. Dan ada juga yang membeli terjemahan buku Charles Handy, John Nesbitt and Steven Covey.

3. Membeli Hak Cipta Antarabangsa

Dalam industri terjemahan itu, syarikat-syarikat penerbit di Taiwan semakin terdorong dan membangun. Mereka juga sudah menjadi lebih canggih dalam memilih buku-buku daripada Barat. Perkembangan ini menimbulkan persaingan antara syarikat-syarikat penerbit. Ini menunjukkan gambaran ekonomi yang sedang giat membangun. Perkembangan pesat ini menimbulkan perang harga hak cipta, walaupun harga hak cipta meningkat daripada tahun ke tahun, dan persaingan bertambah sengit. Memang benar ada juga gambaran bahawa apa-apa saja produk Amerika laris dijual di Taiwan. Begitu juga kata Tuan Richard Huang, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Classic Communications. Syarikatnya menjual sejuta naskhah buku Scott Adams bertajuk “The Dilbert Principle.”

4. Beri Perhatian kepada Mutu Terjemahan 

Pun begitu, perniagaan buku-buku ini tidak selalunya laris sentiasa. Salah satu daripada buku yang gagal teruk adalah buku IDG (International Data Group Inc.), dalam siri Dummies. Apakah sebabnya ini berlaku? Terjemahannya buruk. Ini membuktikan pembelinya membaca. Apabila terjemahannya tidak baik, maka buku itu tidak laku. Terjemahan yang baik memang dapat meningkatkan jualan. Apabila jualan buku siri Dummies itu tidak mengghairahkan, sebuah penerbit lain mengambil alih siri Dummies tersebut. Buku itu diterjemahkannya semula dan diberi kulit baru. Kali ini buku itu laris pula jualannya. Ternyata terjemahan yang baik dapat menentukan kejayaan besar.  

5. Beri Perhatian  kepada Desain dan Saiz Buku

Begitu juga, apabila sebuah buku diterjemahkan ke dalam sebuah bahasa lain, bukan sekadar isi buku itu saja yang diterjemahkan. Mari kita kembali kepada siri buku Dummies tadi. Apakah yang dilakukan oleh syarikat Locus yang mengambil alih penerbitan semula buku itu?  Tuan punya syarikat itu mempunyai idea kreatif. Syarikat penerbitnya mengkaji semula penerbitan siri buku Dummies tadi. Mereka membuat sebuah desain yang lain sama sekali. Saiz buku itu disesuaikan dengan selera pembaca Taiwan. Logo syarikatnya juga diubah. Desain dan saiz baru itu menjadi faktor yang menyebabkan buku siri Dummies itu menjadi popular.

6. Beri Perhatian kepada Makna Budaya

Kemudian, satu idea kreatifnya timbul lagi. Tuan Richard Hurang, menyedari bahawa makna perkataan ‘dummy’ dalam bahasa China itu juga berlainan dan tidak digemari. Sekarang, syarikat Penerbit Locus memanggilnya “Siri Golongan Orang Bergeliga.” Tuan How yang mempunyai syarikat Penerbit Locus pula berkata, dalam bahasa China ada dua makna ‘orang bergeliga.’ Pertama adalah orang yang betul-betul ‘bergeliga' dan kedua maknanya ‘Si Tolol.’ Pembeli China sangat sensitif terhadap bagaimana kita memanggil mereka, sama ada sebagai ‘Orang Bergeliga’ atau ‘Si Tolol.’ Kita memanggil mereka 'Orang Bergeliga.'

Buku Cerita Kanak-Kanak

Buku kanak-kanak juga perlu diberi perhatian istimewa. Ini juga dapat menjadi agenda besar dalam industri terjemahan. Ada beberapa faktor yang juga membantu mengerakkannya.

1. Isu Penyerapan Budaya Asing

Dalam tahun 2000 dan 2001 terjemahan buku-buku Harry Potter menduduki puncak carta jualan buku di Taiwan. Sastera kanak-kanak, sama ada dari sumber China mahupun dari Barat memang sentiasa meraih jualan yang tinggi. Hakikatnya adalah 50 % daripada buku-buku biasa kanak-kanak adalah terjemahan. Akibat perkembangan ini, syarikat penerbit di Taiwan dan orang ramai mula merasa bimbang terhadap pengaruh asing yang menular masuk ke dalam budayanya. Mereka mahu menggalakkan supaya budaya China itu sendiri dikembangkan, namun mereka semua bersependapat. Mereka agak pragmatis. Mereka berpendirian bahawa anak-anak mereka mestilah mendapat segala-gala yang terbaik dalam dunia ini.

2. Membeli Lesen Hak Cipta

Dengan pendirian demikianlah maka Tuan Robert Lin, Presiden, Children Publications Co. Ltd. yang menjalankan kerjasama dengan syarikat penerbit DK, Scholastic and Gallimard, bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Beliau mengunjungi pameran terbesar buku kanak-kanak di Bologna setiap tahun. Bahkan, lebih lima puluh syarikat penerbit dari Taiwan berlumba-lumba setiap tahun pergi ke Bologna bagi mendapatkan hakcipta buku-buku cerita kanak-kanak bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China. Salah satu daripada syarikat yang menerbitkan buku kanak-kanak ini adalah penerbit Senseio Group. Syarikat ini menumpukan seluruh usahanya bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Ini termasuk juga buku teks dan bahan rujukan. Syarikat ini mahu menggalakkan penulis dan ilustrator tempatan. Mereka juga mahu menggalakkan kanak-kanak dan keluarganya membaca bersama-sama.

3. Galakan Anugerah “Suria Kecil”

Ada sebuah anugerah iaitu “Anugerah Suria Kecil” yang diperkenalkan pada tahun 1996 oleh kerajaan Taiwan melalui Jabatan Maklumat Kerajaan. Anugerah ini diberi kepada bahan bacaan tambahan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Ini menggalakkan industri buku kanak-kanak berkembang. 

Pengajaran daripada Industri Terjemahan Taiwan 

Daripada cerita industri perbukuan di Taiwan di atas, ternyata industri terjemahan memang boleh menjadi industri besar di Malaysia. Kita dapat meniru startegi ini. Inilah masanya yang tepat. Dalam industri penjualan buku di Malaysia pada hari ini, jualan buku dalam bahasa Melayu semakin meningkat. Bertentangan dengan kepercayaan umum, buku-buku Melayu adalah laris berbanding dengan buku Inggeris. Buku-buku dalam bahasa Melayu perlu diperbanyak. 
Bagi mencapai hasrat ini dasar yang dapat menggalakkan industri ilmu dalam bahasa Melayu perlu digubal. Kita perlu melaksanakan dasar pendidikan yang memberdayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Secara objektif itulah caranya memandaikan rakyat. Sebagai sarjana, kita mempunyai tanggungjawab pada masyarakat bagi menyatakan yang benar dengan tidak takut-takut. 

1. Senario Terjemahan di ASEAN

Pada umumnya sebarang buku Inggeris yang diterbitkan oleh Penerbit utama dunia dapat dibeli di Malaysia, beberapa hari selepas ia diterbitkan. Namun, buku-buku daripada  dari Jakarta, Manila, Hanoi. Sri Begawan atau Bangkok, tidak sampai ke kedai buku kita.

Generasi sekarang lebih mengenali dunia Barat daripada jirannya. Dan inilah masa yang baik kita membetulkan keadaan ini. Ini dapat dilakukan dengan perniagaan lesen hak cipta bagi penerbit menterjemahkan karya penulis serantau.Dan pada tahun ini, Malaysia memulakan perniagaan lesen hak cipta ini. Dua hari sebelum Pesta Buku Kuala Lumpur 2011, akan diadakan TCC 2011, daripada 20 - 23rd April 2011, di Pusat Perdagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. Ini adalah satu langkah yang akan dapat mengegrakkan industri terjemahan di Malaysia, iaitu sebagai aktiviti komersial.

Dengan penubuhan ASEAN Book Publishers Association (ABPA), maka penerbit di wilayah ASEAN mempunyai suatu badan yang akan dapat membolehkan mereka meningkatkan jaringan kerja sama dalam bidang penerbitan. Antara agenda yang menarik adalah mewujudkan peluang melesen hak cipta buku untuk terjemahan. Sekali gus, ini meningkatkan pembelajaran budaya antara wilayah ASEAN.

2. Buku Terjemahan Adalah Trend yang Semakin Meningkat

Tidak dapat dinafikan, daripada jumlah tajuk buku yang diterbitkan setiap tahun oleh negara-negara dalam ASEAN, Thailand dan Indonesia mempunyai industri perbukuan yang cergas. Hak cipta yang dibeli dalam penerbit antara bangsa adalah tinggi. Negara-negara jiran Thailand dan Indonesia tentu sekali dapat belajar daripada amalan penerbitan buku terjemahan di Thailand dan Indonesia ini.

Pada tahun 2006, Malaysia menerbitkan 5000 tajuk buku.  Kebanyakannya adalah buku kanak-kanak yang ditulis oleh pengarang tempatan.  Berbanding dengan Indonesia dan Thailand, mereka menerbitkan lebih daripada 10,000 tajuk setiap negara pada setiap tahun. Indonesia dan Thailand juga menerbitkan banyak tajuk-tajuk buku antarabangsa terlaris, yang diterbitkan dalam bahasa tempatan.

Kejayaan buku terjemahan di Indonesia dan Thailand ini memberi keyakinan kepada kita bahawa perkembangan trend yang sama akan berlaku di Malaysia. Pada masa ini pasaran buku dalam bahasa Melayu dan China ada meningkat di Malaysia. Walaupun bilangan tajuk buku Inggeris adalah lebih tinggi, tetapi jumlah jualan setiap tajuk buku dalam bahasa Melayu adalah jauh lebih tinggi. Kadar pertumbuhannya sangatlah menggalakkan. 

Masyarakat China ini agak menarik. Mereka adalah masyarakat yang paling urban, dan banyak membaca. Ramai yang menuturkan bahasa Inggeris, namun agak menarik juga mereka gemar membeli buku dalam bahasa China. Kebanyakan buku China ini didatangkan dari Taiwan, Hong Kong dan China. Sebuah syarikat yang sangat aktif mengimport buku China mengatakan beliau membawa masuk hampir 300 tajuk buku China sebulan, dan ada banyak buk terjemahan dalam senarai buku yang diimportnya itu. Malah, versi bahasa China itu lebih banyak laku daripada versi asal dalam bahasa Inggeris. Yang nyata adalah hakikat bahawa bahasa dalam bahasa China dan Melayu ini lebih banyak bilangannya daripada buku berbahasa Inggeris.

Suatu perkara agak menonjol, iaitu buku-buku yang diterjemahkan itu adalah buku-buku daripada senarai buku terlaris antarabangsa, bukan daripada wilayah ASEAN. Ini bermaksud, kita mempunyai peluang yang baik meningkatkan bilangan buku wilayah ini ini, dengan mewujudkan perniagaan hak cipta. Dengan demikian kita dapat bekerja sama dengan lebih aktif lagi antara penerbit in ASEAN?

Penerbitan buku Indonesia di Malaysia, dan buku Malaysia di Indonesia sudah lama berlaku, dan menjadi semakin popular sekarang. Usaha begini melibatkan terjemahan juga, iaitu intraterjemahan.

3. Peranan ABPA

Memang banyak langkah yang dapat dijalankan oleh ABPA, dan sudah lama dibincangkan. Antara perkara utama yang perlu dimainkan oleh ABP adalah memujuk supaya lebih ramai penerbit daripada negara ASEAN mengambil baagian dalam pesta buku negara-negara ASEAN. Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) memang berusaha keras mendapatkan ahlinya, dan juga penerbit di Malaysia menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada setiap tahun, dan menggalakkan mereka menyertai pesta buku negara ASEAN yang lain. Masih ada yang mencurigai tujuan menyertai pesta buku tersebut. Langkah yang dapat dilakukan oleh ABPA dan Asia Pacific Publishers Association (APPA), adalah berusaha menurunkan kos penyertaan, dan membenarkan peserta berkongsi gerai buku. Penyertaan mungkin akan meningkat sekiranya kos penyertaan dapat diturunkan.

ABPA juga dapat mempromosi konsep melesenkan hak cipta pada setiap pesta buku tempatan, dan menjemput agensi literari juga menyertai pesta tersebut. Pasaran hak cipta ini juga dapat menyediakan senarai Buku Terlaris masing-masing yang dapat diperniagakan dalam pesta tersebut. Langkah ini, apabila berjaya, akan sekali gus meningkatkan aktiviti terjemahan. Lebih banyak maklumat yang kita edarkan antara penerbit ASEAN, lebih tinggi pengetahuan kita mengenai masing-masing, dan lebih meningkatkan minat menterjemah buku daripada negara jiran dalam ABPA.
Untuk tujuan ini ABPA dapat menggalakkan ahlinya membuka laman web sendiri dan menyertai Google Book Search. Google Book Search ini membolehkan ahlinya mengetahu tentang penerbitan yang dihasilkan oleh setiap penerbit. Kemasukan tajuk buku kita dalam Google Book Search akan meluaskan lagi audiens antarabangsa kita. Walaupun isu hak cipta dalam talian ini masih dalam perbincangan, kita masih dapat menganggap bahawa ini adalah sebuah perkembangan positif dalam industri perbukuan, dan khususnya buku terjemahan. Zaman pasca Amazon.com perlu memasarkan bku kita kepada generasi muda. Sekalipun industri buku ini sangat lama, usaha membiasakan pembaca kita melayari internet tidaklah mudah.

Kita mesti secara sedar, melihat buku-buku yang tertulis dalam bahasa wilayah kita sendiri. Pergantungan mutlak kita pada bahasa Inggeris mungkin akan menyebabkan kita tidak mengetahui perkembangan yang signifikan yang tertulis dalam bahasa serantau.

4. Mewujudkan Prasarana Manusia Bagi Menterjemah 

Negara-negara ASEAN yang mengongsi bahasa yang sama, akan dapat membuat "intra terjemah" dengan lebih mudah dan pantas. Buku-buku ini mungkin tidak akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, oleh sebab itu kita tidak akan dapat membacanya. Inilah rasional yang utuh mengapa kita mesti menterjemah karya wilayah AEAN ke dalam bahasa kita.

Kita sangat memerlukan penterjemah yang baik dalam bahasa-bahasa ASEAN. Walaupun sekarang kita boleh berpuas hati bergantung pada bahasa Inggeris, tetapi pergantungan yang keterlaluan terhadap bahasa Inggeris akan menyebabkan kita terasing daripada buku yang baik dalam bahasa-bahasa ASEAN.


5. Peranan Persatuan Penterjemah Malaysia 

Dalam kerangka pemikiran begini, kita mesti melihat terjemahan sebagai suatu khidmat yang dapat dijual dan dieksport. Oleh sebab itu, dalam Pesta Perniagaan Hakcipta pada 20-24 April, di Kuala Lumpur nanti, Persatuan Penterjemah Malaysia  menyediakan gerainya. Ini adalah penting.

Seterusnya, bagi meningkatkan perniagaan buku terjemahan, penerbit memerlukan khidmat penterjemah yang berkualiti dengan bayaran yang kompetatif. Bayaran ini mestilah mengambil kira harga lesen hak cipta, mengedit, harga membuat format halaman, mencetak buku dan juga mengedarkan buku. Kadar menterjemah yang digunakan pada zaman Dewan bahasa dan Pustaka dulu tidak dapat digunakan lagi lantaran amalan demikian akan membuatkan harga buku terlalu mahal dalam pasaran. 

6. Penerbit Perlu Mengambil Kira Perkara Berikut:

a. Harga yang berpatutan setelah membuat anggaran P&L (Profit & Loss) yang sesuai. 

b. Menentukan masa terjemahan yang pantas, iaitu penerbit memerlukan penterjemah yang dapat menyiapkan kerja dalam tempoh yang singkat. 

c. Kualiti terjemahan yang baik, iaitu penterjemah yang sesuai untuk genre yang spesifik kerana kemahiran bahasa si penterjemah berbeza adalah berbeza-beza. Penterjemah buku teknikal tidaklah sama dengan buku sastera, dan tidak pula sama dengan buku kanak-kanak. 

d. Kemahiran bahasa. Jikalau kemahiran bahasa kita masih pada tahap buku terjeahan lama, maka kita belum dapat mengembangkan sumber bahan kita daripada bahasa Cina, Thai, Korea, Jepun dan bahasa-bahasa dunia lain. Ini menyebabkan kita sumber kita terhad kepada bahasa-bahasa yang kita biasa sahaja.

Penterjemah adalah komponen utama dalam menerbitkan buku terjemahan. Buku tidak akan dilesen, jika penerbit tidak yakin ada penterjemah yang boleh diberikan tugasan itu. Potensi buku yang dilesen lebih tinggi jika ada kumpulan penterjemah yang sesuai untuk bahasa itu. Kumpulan penterjemah yang ramai penting bagi memberi imbangan faktor-faktor yang dibincangkan dalam perkara di atas.

Pasaran penterjemah Malaysia belum dikenali oleh penerbit swasta. Ramai penterjemah juga dalam masa yang sama tidak kenal dengan penerbit yang aktif melesen buku kecuali dengan badan kerajaan seperti ITNM. Adalah penting kita mewujudkan satu pasaran yang dinamik untuk khidmat ini dipasarkan kepada kumpulan yang lebih besar.

Melibatkan khidmat penterjemah Malaysia juga memberikan kita peluang untuk mengeksport servis terjemahan Malaysia kepada penerbit luar negara di mana sesuai. Ini secara langsung memberikan peluang lebih tinggi untuk kita menjual hak cipta Malaysia kepada pasaran baru seperti Thai, Jepun, Korea, China yang jarang diteroka oleh penerbit Malaysia (rujuk kepada poin 1d)

Oleh sebab itu penglibatan Persatuan Penterjemah Malayasia dalam Perniagaa Hak Cipta nanti adalah penting. Ia akan memberikan impak positif kepada industri buku tempatan dengan cara mengembangkan pasaran kita kepada pasaran-pasaran baru yang belum dapat kita teroka sebelum ini. (Arief Hakim Sani, 2011) 

5. Pengedaran Buku Terjemahan 

Isu pengedaran buku terjemahan ini, sama ada perlu dikomersialkan atau tidak, tidaklah perlu dibincangkan dengan panjang lebar.  Dalam kata-kata para penerbit swasta, "Penerbit yang tidak mengedarkan bukunya sendiri adalah sengaja menempah maut." Jabatan kerajaan, langsung tidak ada pengetahuan, jauh sekali pengalaman mengedarkan buku secara komersial. Oleh sebab itu pengedaran buku adalah suatu aktiviti komersial.

Memandang ke Hadapan 

Seiring dengan pembangunan pendidikan dan ekonomi, adalah penerbitan buku, dan buku terjemahan adalah sebahagian daripadanya.  Pasaran baru, ASEAN akan mengembangkan lagi keperluan terjemahan. Ini akan diperluaskan lagi oleh pemasaran dalam talian. ABPA perlu memeteraikan kerjasama dan jalinan kerja antara penerbit ASEAN. 

Usaha-usaha sokongan yang dapat membantu perkembangan industri perbukuan negara juga perlu diberi perhatian. Majlis Buku Negara yang perlu diaktifkan semula bagi menjalankan tugasnya menyemarakkan industri perbukuan dalam bahasa Melayu.

Dana yang diwujudkan bagi menterjemah dan menerbitkan buku ilmu perlu ditambah dari semasa ke semasa. Dana tersebut dapat digunakan bagi membeli hakcipta buku-buku yang diperlukan. Hakcipta tesrsbut mahal dan sukar dilaksanakan oleh mana-mana penerbit bersendirian. Keuntungannya terletak pada minda bangsa yang dibina. Keuntungan dari segi ringgit tidak wajar digunakan sebagai ukuran.

Sistem percukaian yang tidak membantu perkembangan industri perbukuan dalam bahasa Melayu perlu juga diberi perhatian. Badan-badan yang terlibat terus dengan terjemahan ilmu seperti ITNMB, penerbit universiti, Persatuan Penterjemah Malaysia, dan penerbit-penerbit swasta perlu digalakkan terus memindahkan ilmu ke dalam bahasa Melayu. 

Kesimpulan

Salah suatu aktiviti penerbitan yang tidak dapat tidak mesti dijalankan oleh syarikat penerbitan.

12. 2004 Merancangkan Dialek Melayu Supra

Diterbitkan dalam "Menabur Benih, Menuai Kasih" sebuah feitscrift yang disusun oleh oleh Katharina Endriati Sukamto (2004), halaman 527 - 538.

 

Jakarta: Yayasan Obor Indonesia

"Merancangkan Dialek Melayu Supra"

Abdullah Hassan, Ph.D.
Profesor Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Malaysia.


PENGENALAN

Bahasa sentiasa berubah.  Sifat bahasa yang begini membolehkan penutur bahasa itu memilih untuk menggunakan sesuatu unsur bahasa atau menggugurkannya.  Usaha mempengaruhi bahasa supaya berubah dipanggil perancangan bahasa.  Lazimnya usaha ini berupa memilih bahasa nasional dan kemudian membentuk ejaan, sebutan, kosa kata dan tatabahasa supaya bahasa dapat digunakan dengan berkesan untuk semua bidang dan peringkat komunikasi.  Apabila kita merancangkan bahasa, dua perkara perlu ditentukan, iaitu siapa yang merancangkan bahasa, dan bagaimana merancangkan bahasa.

Siapa merancangkan bahasa?

Siapakah yang merancangkan bahasa?  Jawapannya mudah.  Siapa sahaja boleh merancangkan bahasa (Haugen 1966, Ray 1968, Jernudd 1971, Rubin 1971, Noss 1994).  Jernudd mengatakan perancang bahasa ini boleh terdiri daripada badan kerajaan, bukan kerajaan dan individu.  Ada banyak contoh dalam sejarah yang membuktikan bagaimana ini dilakukan.

Zainal Abidin bin Ahmad (Z'aba), menulis buku nahu dan latihan bahasa Melayu Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu (1940), dan Pedoman Ejaan Rumi dan Jawi (1949).  Buku--buku ini telah membina dan menyeragamkan pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu selama hampir 30 tahun.

Di negara-negara berbahasa Inggeris pula, dua orang rakyat biasa, Samuel Johnson di England, dan Noah Webster di Amerika Syarikat, telah menyusun kamus masing-masing.  Kamus mereka menjadi rujukan pengguna-pengguna bahasa Inggeris, dan membakukan ejaan serta memantapkan penggunaan makna dalam bahasa Inggeris.

Individu terkenal seperti ahli politik, orang kenamaan, novelis, pemimpin masyarakat, wartawan, penyunting, sarjana,  guru, pelajar, pembaca berita dan pengacara di radio dan televisyen, dll. sentiasa mempengaruhi perkembangan bahasa. Akhbar, radio dan televisyen merupakan wahana perancangan bahasa. Apa yang dibaca dan didengar oleh pengguna bahasa akan diserap dan menjadi ikutan oleh penutur bahasa.

Antara individu berwibawa yang kerap mempengaruhi perancangan bahasa di Malaysia ialah  TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Beliau  telah memperkenalkan kata iltizam, madani, ghaflah, cakrok, gayang, ampuh, sewenang, dll.  Kewibawaannya dan ketokohannya serta kreativitinya menyebabkan orang menerima kata-kata yang diperkenalkannya.  Walau bagaimanapun, sekiranya individu itu bukan pakar, kewibawaannya akan dicabar.  Itulah yang berlaku pada kata kecapaian yang cuba diperkenalkan oleh seorang pemimpin politik Malaysia.  Dalam wawancara Perdana Menteri dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia pada 5 Ogos 1996, beliau membetulkan istilahnya "... kita ... kecapaian .... pencapaian" sambil tersenyum.  Satu penerimaan.

Bagaimana merancangkan bahasa

Joan Rubin pula mengatakan ada empat langkah dalam menyusun dan melaksanakan perancangan bahasa, iaitu: mencari fakta, merancang, melaksanakan, dan menerima maklum balas mengenai keberkesanan rancangan itu.  Kaedah dapat mempengaruhi penutur dalam menggunakan manamana unsur bahasa yang hendak dipromosikan. Perancangan itu hendaklah direkabentuk supaya searah dengan kemahuan masyarakat itu.  Inilah fitrah umum yang perlu difahami dan dieksploit.

Tujuan merancangkan bahasa

Apa tujuan kita merancangkan bahasa?  Sering perancang bahasa akan terlibat dengan usaha membentuk ejaan, membakukan sebutan, membina istilah, menyusun kamus, dan membakukan tatabahasa. Apakah ini destini perancangan bahasa?  Tentu tidak.  Usaha ini adalah mempertajamkan alat sahaja.  Kita perlu membina kepustakaan dalam bahasa Melayu.  Melalui kepustakaan itulah kita membina minda Melayu.  Minda Melayu kolektif akan dapat mengongsi wilayah Asia Pasifik ini di samping bangsa lain yang maju.


Read more: 12. 2004 Merancangkan Dialek Melayu Supra

Bahasa Pengucapan Masyarakat dan Pemindahan Nilaiya ke-2: Nasional

Pusat Kajian Bahasa dan Budaya, Unika Atma Jaya, Jakarta, 24 dan 25 Februari 2004
 
Bahasa Pengucapan Masyarakat dan Pemindahan Nilai
 
Prof. Abdullah Hassan, UPSI
 
 

Pendahuluan

Bahasa adalah teras kebudayaan. Kebudayaan Inggeris berteraskan bahasa Inggeris; kebudayaan Jepun berteraskan bahasa Jepun dan kebudayaan Melayu berteraskan bahasa Melayu. Bahasa bukan hanya sekadar memberi identiti kepada bangsa yang menuturkannya. Lebih daripada itu. Bahasa adalah pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, idea-idea, dan nilai-nilai yang diwarisi oleh bangsa yang menuturkannya. Pendeknya, dalam bahasa terkandung himpunan memori sesebuah bangsa. Terkandung dalam himpunan memori itu ialah nilai-nilai sesuatu bangsa. Kita mengucapkan nilai-nilai tersebut melalui bahasa. Seterusnya, perilaku kita ditentukan oleh nilai-nilai tersebut. Dan, bahasa menjadi kenderaan memindahkan himpunan memori ini daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Apabila kita mengubah bahasa sebagai alat pengucapan (ekspresif) kita, maka akan berubahlah juga nilai-nilai kita. Ini akan dapat dilihat daripada nilai dan perilaku yang kita pamerkan.

Read more: Bahasa Pengucapan Masyarakat dan Pemindahan Nilaiya ke-2: Nasional

1. Pengenalan: Pengertian Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Dalam Perlembagaan

Posted by: Abdullah | 28/01/2009
Prof. Dr. Abdul Aziz Bari
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan.

Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5).

Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara.

Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral.

Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi.

Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan dengan peruntukan dan amalan Perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152 tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri.

Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.