Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Menzahirkan 26,000 Judul Buku Setahun

Pada 30 April 2011, di Bilik Labuan PWTC, diadakan sebuah dialog "Bicara Menzahirkan 26,000 Judul Buku Setahun". Bicara tersebut dipimpin oleh juruacara terkenal Tuan Sayed Munawar.

Ahli panelnya adalah. (1) Tuan Dr A’azmi Bin Shahri, Pengarah, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, (2) Tuan Amiruddin Md Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, dan (3) Tuan Ishak Hamzah, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Malaysian Book Publishers Association - MABOPA).

Dr A’azmi Bin Shahri, Pengarah, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, selaku Setiausaha MBKM memulakan perbicaraan mengenai topik ini. Beliau menyenaraikan beberapa isu; iaitu Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada 9 November 1988 tidak banyak menampakkan kesan dalam mencapai dua matlamat utamanya iaitu meningkatkan profesionalisme dalam industri buku serta mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca dan bermaklumat. Beliau juga mengemukakan persoalan Perlukah dibuat Aktanya bagi meningkatkan kuasa MBKM?

Tuan Amiruddin Md Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, dan Pengerusi Biro Hak Cipta Pena, mewakili penulis menimbulkan banyak perkara mengenai hak cipta, dan royalti. Beliau mengatakan, "Bagi menyelesaikan masalah hak cipta penulis, para persatuan penulis di negara ini perlu bersatu mewujudkan Unit Runding Hak Cipta. Kesedaran berhubung hak cipta penulis di negara ini masih berada di tahap yang rendah. Ramai penulis yang tidak sedar lagi kepentingan hal ini," kata beliau kepada yang hadir.

"Menyentuh perkembangan lain, Tuan Amiruddin berkata, persatuan penulis jangan hanya memikirkan usaha menyusun acara aktiviti sahaja, malah ia perlu disusuli dengan kegiatan membincangkan isu hak cipta untuk kembali membangunkan kesedaran para penulis hari ini. "Ini adalah kerana, mutakhir ini ramai penerbit mengambil kesempatan ke atas penulis. Oleh sebab itu para persatuan penulis perlu bertindak sebagai perunding antara penulis dengan syarikat penerbit bagi memastikan hak-hak mereka tidak terabai," kata beliau lagi.

Tuan Haji Ishak Hamzah, Timbalan Presiden MABOPA, berkata, soal industri buku tidak timbul sebab perbukuan kini bukanlah suatu industri lagi. Ia hanya berbentuk perusahaan! Bisnes buku. Ia perlu menjadi 'self-sustaining', berdiri bergerak tanpa sumbangan, barulah ia menjadi industri. Bagi menghasilkan 26,000 judul setahun itu tidaklah mustahil. Kita boleh menzahirkan 26,000 judul buku Bahasa Melayu setahun.

Saya ada empat cadangan: (a) Kerajaan perlulah menambah peruntukan PNM, KEMAS, dan Kemterian Pelajaran Malaysia. Ini membolehkan buku untuk perpustakaan pendidikan sama ada di sekolah, Kemas, atau perpustakaan awam menjadi lebih rancak. (b) Kempen Membaca: gerakan membaca perdana, hendaklah dipromosikan. Sebagai contoh, negara Iran mengadakan kempen membaca. Ia sangat berjaya, dan bukti orang membaca itu kelihatan di merata tempat. (c) Wujudkan Anugerah kepada penulis buku dan penerbitan buku. Adakan ganjaran untuk karya yang bermutu. Hadiah yang lumaiyan akan dapat mendorong penerbitan buku dengan lebih banyak lagi. (d) Perkasakan pesta buku.

Bagi menghasilkan 26,000 judul, kita juga boleh mengambil jalan pintas, pilih 200 penerbit tempatan yang berkemampuan. Kita minta setiap atu daripada mereka menambah 50 judul setahun. Penerbita seperti Karangkraf, PTS, dapat menzahirkan 500 judul lagi untuk setiap satu. Dalam 10 tahun kita akan ada tambahan 500 judul lagi. Wujudkan Dana Buku Satu Malaysia. Dapat saja kita mewujudkan bisnes yang bernilai berbilion.

Kita tingkatkan kualiti editor, grafik artist, kawal cetak rompak, kedai buku, dan kemudian para pentadbir ini janganlah iri hati!

Tuan Lau King Hui, bekas Presiden MABOBA berkata, "Dalam keghairahan menghasilkan 26,000 judul ini, kita tidak mahu juga penulis "copy and paste", penerbit yang tidak amanah. Pada masa ini nilai bisnes perbukuan ini belum begitu besar. Belum sampai tahap indusri, oleh sebab itu kita jangan menjadi sebahagian daripada industri percetakan pula.

Bagaimana kerajaan dapat membantu penerbit merealisasikan 26,000 judul setahun. 80 peratus daripada penerbit yang menjadi ahli MABOPA adalah kecil. Dana mereka tidak sustainable. Oleh sebab itu mereka mesti menjalankannya seperti membuat bisnes.

Kita perlu ada roadmap, bina keperluan bagi membina dan mewujudkan minat membaca. Apa yang dilakukan oleh KPM seperti projek NILAM, memang sudah menunjukkan hasil.

Dato' Hishamuddin Yaakub, Karangkraf dan Presiden MABOPA berkata, "Saya tidak setuju cadangan mewujudkan dana ini. Pernah di RTM diwujudkan dana, akhirnya semuanya dikuasai oleh satu syarikat saja, ada yang kontrol. Apabila dibuka saja pintu, macam-macamlah yang jadi kroni pula datang."

"Saya pernah mencuba mendapatkan dana di RTM tersebut, walaupun saya bukanlah daripada industri filem pada orang lain. Saya diberi tahu, semua mesti melalui sebuah syarikat yang mengontrol semuanya. Apa pun kita tidak dapat. Jikalau kita buat pelancaran buku pun, nanti akan datang 200 semut UMNO.

Kita tidak perlu dana, Penerbit yang baik boleh menghasilkan penulis yang kaya. Penulis Karangkraf sudah ada yang menjadi jadi jutawan, sudah lama menjadi jutawan.

Tuan Fauzul Naim Ishak, PTS, mengatakan, ini berkait dengan persepsi. Apabila menteri mengatakan warga Malaysia hanya membaca "dua halaman setahun. Eloklah kita bermentor pada Dato Hishamuddin dan Tuan Lau tentang selok-belok penerbitan. Penerbitan buku boleh menjadi industri. Kita perlu melatih sumber tenaga kerja yang berkualiti.

Tuan Hj Ramli, Kontrak buku lazimnya jatuh ke tangan vvip yang sama saja untuk 2009, 2010, dan dikenakan pula kuota buku, pada 2011 hanya ada 26 judul. Peruntukan membeli buku pusat sumber sekolah perlulah ditambah.

Kajian penerbit menunjukkan membaca dalam bentuk elektronik sudah meningkat ke 36%. E-book sudah menjadi perkara biasa yang menggugat pendapatan kontraktor buku.

Adakan juga kempen membaca juga bagi meningkatkan minat membeli buku.

Tuan Haji Hassan Hamzah, Presiden Kontraktor Buku Melayu menyatakan dalam pengagihan peruntukan perniagaan kepada kontraktor, walaupun bajet ada berjuta, tetapi bukan kita yang dapat, orang luar negara yang dapat. Umpamanya buku PPSMI, ada penerbit India yang mendapat kontrak berjuta-juta. Kita ini seperti: Ayam dalam kepuk mati kelaparan. Enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Kacang lupakan kulit. Bagai mencurah air di daun keladi. Mereka masih mahu kontrak walaupun sudah mendapat berjuta, bukan warga Malaysia yang dapat.

Seluruh diskusi bertumpu pada kontraktor buku. Malah pada 28 April 2011, dalam pertemuan dengan YB Dato Saifuddin Abdullah, semua isu yang dibangkitkan adalah mengenai rintihan kontraktor buku. Hanya pernyataan Puan Ainon Mohd. menyebut tentang undang-undang mengimport buku yang tidak dipinda semenjak sebelum merdeka, dan ia merugikan Malaysia.

Oleh sebab belum ada sesiapa menyentuh tentang bagaimana menzahirkan 26,000 judul buku setahun, saya memberanikan diri memberi cadangan.

Di Negara Taiwan, perbukuan adalah sebuah industri besar. Warga Taiwan adalah sebesar Malaysia, sekitar 26 juta orang juga. Orang Taiwan sangat kuat membaca buku, mereka berbelanja hampir RM400 setahun per orang bagi membeli buku setahun. Taiwan membina industri perbukuan bernilai USD3 bilion setahun. Oleh sebab itu kita dapat belajar daripada Taiwan.

Mengenai isu menzahirkan 26,000 judul setahun ini, pertama kita perlu mengetahui "asas yang digunakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menentukan kita mesti menerbitkan 26,000 judul buku setahun mulai pada tahun hadapan. Adakah ini berdasarkan formula UNESCO, yang lebih kurang dapat disimpulkan sebagai 1,000 judul per sejuta warga. Ini bermakna memang kita perlu menerbitkan 26,000 judul buku setahun sebab populasi kita memang berjumlah lebih sedikit daripada 26 juta manusia. Inilah juga yang kami di PTS perjuangkan.

Perbukuan adalah sebuah industri, industri intelektual, sebuah industri konten ilmu. Dan konten itu sangat penting kita beri keutamaan. Konten yang dibaca oleh warga Malaysia itulah yang mencorakkan mindanya, kreativitinya, perjuangannya, gaya hidupnya, nilainya, sikapnya ... segala-galanya. Dan, sememangnya ada korelasi yang rapat antara bilangan buku (akademik) khususnya dengan tahap pembangunan ekonomi sebuah negara.

Oleh sebab itu kita mesti melihat isu 26,000 judul ini dengan serius. Ia tidak dapat dihasilkan sembarangan sahaja. Perbukuan ini adalah sebuah industri. Industri konten ilmu yang perlu disajikan kepada masyarakat. Ia sangat serius dan perlu ditangani dengan tanggung jawab.

Secara kasar, dapatlah kita ajukan supaya pertama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia hendaklah diangkat menjadi sebuah Lembaga dengan bajet dan kuasa-kuasanya. Dengan demikian ia barulah dapat membuat perancangan yang rapi bagi menzahirkan 26,000 judul buku setahun. Antara perkara yang perlu dirancangkannya adalah:

1. Segeralah disediakan proposal bagi mewujudkan Akta Buku Negara. Apabila diluluskan oleh Parlimen, dapatlah ia berfungsi segera.

2. Yang dimaksudkan dengan 26,000 judul itu adalah dalam bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan kita. Sekiranya diperlukan buku diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Cina atau Tamil, setiap tajuk itu tidak mengurangkan jumlah dalam bahasa Kebangsaan.

3. Wujudkan taksonomi (atau kategori) ilmu secara umum dan tentukan tahap ilmunya. Pertama, sediakan pengkategorian ilmu menurut bidang ilmunya. Manakah kategori ilmu yang masih perlu ditangani segera? Saya berfikir, sains dan teknologi perlu diberi keutamaan. Kita mahu buku yang menyediakan minda warga Malaysia dengan ilmu. Kedua, tahap mana penyediaan ilmu tersebut. Kebayakan ilmu sains sosial dan kemanusiaan itu sudah wujud, dan memang perlu diperlengkap pula. Tetapi penting juga kita beri perhatian pada penyediaan ilmu pada tahap lebih tinggi. Sudah ada banyak buku yang bertajuk, suatu pengenalan itu dan ini. Kita mahu perbincangan yang lebih mendalam dan meluas. Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) mesti memegang tugas penting dalam hal ini.

4. Memang buku kreatif dan agama kelihatan banyak di pasaran, tetapi adakah kategorinya sudah tuntas. Bagaimana dengan cerita kanak-kanak, cerita advencer untuk kanak-kanak lelaki, buku saifai, dll.

5. Kita jangan melupakan terjemahan sebagai kaedah memperbanyak judul buku ini.

6. Buku yang diterbitkan mesti sampai kepada warga Malaysia. Dalam hal ini kita perlu memikirkan tentang penerbitan elektronik dan perpustakaan digital. Buku mesti sampai ke mana-mana: bandar, luar bandar, dan antarabangsa.

7. Sebarang tindakan lain yang membantu industri perbukuan, seperti harga kertas yang rendah untuk pencetak, cukai perniagaan yang tidak terlalu tinggi, sistem pemasaran, dll.

Apabila ini dapat kita beri perhatian, barulah 26,000 judul itu membawa makna kepada kita, demi memandaikan bangsa!