Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Perekayasaan Masyarakat Melalui Karya Agung

Daripada semanggol.com


Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri dengan 60 puluh cendekiawan Melayu pada 30 Januari 1996 untuk membincangkan projek menerbitkan karya-karya agung dalam bahasa Melayu.  Antara cendekiawan yang hadir ialah tokoh-tokoh cendekiawan Melayu terkenal, pemimpin-peminpin pertubuhan bahasa, sastera, dan budaya, serta kepimpinan tertinggi institusi pengajian tinggi.

Dalam ucapan pembukaannya, TPM menyatakan keprihatinan beliau berkenaan gejala yang terdapat di kalangan para pegawai kerajaan yang tidak menunjukkan pemikiran mendalam apabila membuat pelbagai perancangan.  Menurut beliau, hal itu berlaku akibat pembacaan yang cetek dan pengetahuan yang sempit.

Untuk memastikan kejayaan projek besar ini, TPM mengumumkan suatu dana khas akan disediakan supaya pelaksanaannya tidak menghadapi sebarang hambatan kewangan.

Menurut TPM karya-karya yang akan dimasukkan ke dalam projek ini adalah karya-karya daripada khazanah Bahasa Melayu, sumber-sumber tradisi Islam dan tradisi antarabangsa.

Di dalam sesi perbincangan itu, Profesor Diraja Ungku Aziz mengatakan memang sudah wujud apa yang dikatakan pemikiran dalam karya-karya klasik bahasa Melayu.  Sebagai contoh, beliau menyebut seni peperangan Melayu terdapat dalam Syair Perang Maulana dan Syair Perang Makassar.  Beliau menambah, bangsa Melayu perlu mengenalpasti karya yang dapat memberi kebanggaan kepadanya.

Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, mengatakan memang kena pada masanya dimulakan sebuah projek mega perancangan budaya.  Beliau menyentuh perihal banyaknya projek-projek fizikal raksasa yang kini sedang giat dilaksanakan sehingga pembangunan kebudayaan dan kemasyarakatan tidak dipentingkan lagi.  Berkenaan pentadbiran dan pengurusan projek karya agung ini, beliau mencadangkan supaya tugas itu tidak diserahkan kepada DBP, sebaliknya hanya pejabat pengurusannya yang diletakkan di bawah bumbung DBP.  Ia bertujuan supaya projek itu nanti tidak diremehkan oleh birokrasi DBP, dengan itu ia dapat berjalan dengan efisien.

Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, menyentuh tentang peri pentingnya dibangunkan kepustakaan bahasa Melayu.  Menurut beliau kerja-kerja pembinaan kepustakaan tidak ada kaitan dengan isu-isu perniagaan buku kerana kedua-duanya adalah dua perkara yang sangat berbeza.  Beliau mencadangkan karya-karya Melayu yang dimasukkan ke dalam projek itu nanti diambil daripada sumber-sumber alam Melayu yang luas tanpa memperdulikan sempadan-sempadan politik, meskipun projek ini adalah projek Malaysia.

Tan Sri Awang Had Salleh mengemukakan idea berkenaan karya-karya agung yang dapat dicipta pada masa depan selain yang sudah ada. Menurut beliau, penulisan karya-karya agung moden memerlukan infrastruktur seperti bantuan tenaga penyelidikan profesional. Beliau mencadangkan supaya projek ini mengambil kira perancangan bagi penghasilan karya-karya agung masa depan yang ditulis oleh cendekiawan Melayu.

Pada akhir majlis itu terasa ada kesan semua yang hadir bersetuju bahawa projek tersebut sangat penting tetapi DBP sudah sarat dengan tugas-tugasnya yang sedia ada.  Suatu alternatif lain yang boleh digunakan ialah melantik firma konsultan profesional sebagai kontraktor projek ini dengan menggunakan pendekatan turnkey.

Menyentuh gagasan TPM supaya projek ini menerbitkan karya-karya klasik Melayu agar ia mudah didapati, dan oleh itu mudah dapat dibaca oleh umum.  Hal ini dengan sendiri menghendaki supaya karya-karya itu tidak diterbitkan dalam versi aslinya.  Jika ia diterbitkan dalam versi aslinya, maka objektif mudah dibaca tidak dapat dicapai.  Oleh hal yang demikian, karya-karya klasik itu memerlukan dua tugas: pertama, ia diterbitkan dalam versi bahasa Melayu yang moden pada struktur dan gaya sasteranya, kedua ia disertai dengan bahagian pengantar yang akan memperkenalkan signifikan karya itu, serta memberikan latar belakang dan konteks zamannya.  Maklumat-maklumat tersebut diperlukan oleh pembaca untuk memahaminya dan seterusnya membolehkan mereka menemui makna-makna baru pada karya-karya itu.

Berkenaan pemilihan karya-karya dari sumber antarabangsa, projek ini memerlukan kriteria sendiri sebagai garis panduan memilih karya-karya yang sesuai dengan objektif projek ini.  Meskipun TPM ada menyebutkan kerja-kerja memilih boleh dibuat berdasarkan siri-siri karya agung, namun karya-karya dalam siri-siri seperti itu adalah pilihan bijak pandai Barat berdasarkan kriteria dan kaca mata Barat.  Sebagai contoh, salah satu siri seperti itu memasukkan karya Das Kapital, Origin Of Species dan Canterbury Tales di dalamnya.  Apakah karya-karya itu juga akan kita masukkan dalam siri karya agung ini nanti?  Dalam satu siri lain ia memasukkan karya-karya ahli falsafah seperti Descartes dan lain-lain tokoh pemikir yang tidak percaya pada kewujudan Tuhan.

Karya-karya yang dianggap agung menurut kaca mata Barat, dianggap agung kerana karya-karya itu telah menyebabkan berlakunya revolusi ilmu, sosial, politik dan ekonomi di Barat.  Maka itu ia agung dalam konteks sejarah Barat. Karya The Social Contract dianggap agung kerana ia mencetuskan revolusi Perancis yang luar biasa kesannya pada tamadun Eropah moden.  Karya Origin Of Species dianggap agung kerana ia mencipta sejarah baru dalam pemikiran sains Barat melalui teori evolusi yang terkandung di dalamnya, sekaligus menentang teori penciptaan manusia dalam Injil.

Sebelum kerja-kerja memilih karya-karya agung antarabangsa itu  dilakukan, kerja yang lebih utama ialah menentukan objektif projek ini.  Rasanya hasrat dan gagasan TPM ialah supaya dengan adanya projek ini akan berlaku suatu proses transformasi sosial yang besar melalui pembangunan intelektual.  Dari sudut ini, bentuk pembangunan sosiointelektual yang menjadi objektif kita adalah berdasarkan acuan-acuan kita, bukan acuan luar dan asing. Ertinya, melalui projek ini kita akan mencipta suatu masyarakat yang seimbang dari segi ilmu dan iman.  Karya-karya yang dipilih nanti adalah karya-karya yang membolehkan kita membangunkan masyarakat seperti itu.

Sudah diterbitkan dalam majalah MASSA