Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Adapun Peradaban Melayu Itu Adalah Sebuah Peradaban Besar

Bahasa Melayu yang Menjadi Teras Peradaban Melayu Maritim

Profesor Emeritus Abdullah Hassan,
Sarjana Utama,
Fakulti Bahasa dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
 
 

PENGENALAN

Adapun Melayu itu adalah sebuah peradaban besar. Peradaban Melayu itu mempunyai sejarah yang lama dan masih berterusan. Peradaban Melayu itu mempunyai wilayah geografi yang luas, iaitu sebuah wilayah samudera, iaitu sebuah peradaban maritim. Peradaban Melayu itu adalah satu-satunya peadaban maritim dalam dunia. Walaupun ada banyak pusat peradaban Melayu dalam sejarahnya yang panjang, pada hakikatnya ia adalah sebuah peradaban yang sama dalam sebuah kesinambungan, dan dialami oleh manusia yang mengongsi himpunan memori yang sama. Peradaban Melayu itu tumbuh dan maju dalam kestabilan politik yang lama dan berterusan, dan dibendung oleh perundangan, dan budaya yang kompleks.

Makalah ini, hamper pada keseluruhannya memanfaatkan bahan penyelidikan sarjana lain yang tersebut dalam makalah ini, melainkan nukilan idea dan perentetan peristiwa sejarah bagi memahami isu bagaimana bahasa Melayu Riau itu mencapai martabat sedemikian sehingga layak menjadi bahasa nasional empat negara di Tenggara Asia sekarang.

PERADABAN MELAYU ITU SUDAH LAMA

Dalam Seminar Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing pada 13 Jun 2010 yang lalu, Profesor Liang Liji dari Universiti Beijing, mengemukakan beberapa “pendapat “ yang menunjukkan bahawa Alam Melayu itu mungkin sudah wujud hampir empat millenium dahulu. Hasil penyelidikan beliau mengenai perhubungan China dengan Alam Melayu, menunjukkan ada beberapa bukti, sekalipun agak lemah, tetapi menarik, yang dapat menceritakan bahawa ada bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa pada zaman Maharaja Yin Shang, pada abad ke-17 hingga 11 sebelum Masihi, mungkin sudah ada perhubungan antara Alam Melayu dengan China. Ahli arkeologi China menemui catatan huruf purba China diukirkan pada cangkerang kura-kura besar, yang dipercayai berasal daripada Alam Melayu kerana di China tidak pernah ada kura-kura sebesar itu. Begitu juga, pada makam Maharaja China itu pernah ditemui pula tulang binatang Mo Loi Mo, iaitu tenuk, yang juga berasal dari Alam Melayu. Ini menunjukann bahawa tiga hingga empat millenium lalu, sudah ada benda yang dibawa ke China dari Alam Melayu, wilayah yang dihuni oleh orang Melayu.

Seterusnya, dalam buku sejarah kuno China, terdapat sebuah catatan geografi dalam Kepustakaan Dinasti Han, Hon Shu Oi Li Zhi, menyatakan pada zaman Maharaja Han Wu Di, yang hidup pada tahun 140 hingga 87 S. M., sudah dibuka perjalanan dari China ke India, melalui Semenanjung Tanah Melayu. Maksudnya, pada abad kedua S. M. sudah wujud perhubungan China dengan Alam Melayu, iaitu sudah ada manusia yang dipanggil Melayu.

Berikutnya, bahagian selatan China pernah menjalin perhubungan dengan Tenggara Asia. Maharaja Sun Quan, 222 hingga 252 M. pernah mengirim Zhu Ying dan Kang Tai bagi menjalin muhibah dengan beberapa negeri di Alam Melayu. Malah Zhu Ying menulis sebuah buku yang berjudul Fu Nan Yi Wu Zhi, iaitu Barang-Barang Aneh di Funan, dan Kang Tai pula menulis sebuah buku, Wu Shi Wai Guo Zhuan iaitu Hikayat Negeri-Negeri Asing pada Masa Kerajaan Wu. Mereka membuat catatan rapi mengenai negeri-negeri di Alam Melayu. Inilah dokumentasi sejarah terawal mengenai peradaban Melayu dalam abad ke-3. Walaupun buku ini sudah musnah, tetapi ada kutipan-kutipan daripada buku ini yang dapat ditemui dalam buku sejarah berikutnya.

Dalam kebayakan catatan sejarah, kunjungan seorang sami Buddha I-Tsing, ke Sriwijaya pada tahun 671 M, iaitu pada zaman Maharaja Tang, adalah termasyur. Apabila I-Tsing singgah di Sriwijaya dalam pelayaran ke India, beliau mendapati pengajian dalam bidang agama, budaya dan bahasa sudah mencapai tahap yang sangat manju. Oleh sebab itu beliau tinggal di Sriwijaya dan belajar sebagai persiapan sebelum meneruskan pelayaran ke India. Oleh sebab kejayaan beliau itu, I-Tsing menasihatkan para sami Buddha dari China supaya "singgah di Sriwijaya selama satu atau dua tahun bagi mempelajari ilmu Buddha tersebut sebelum pergi ke India."  Akibatnya, ramai sami Buddha China ini singgah di Sriwijaya da nada yang tidak mahu balik pulang ke Guangzhou semula. I-Tsing sangat menyedari kepentingan bahasa Melayu, Kunlun, dan mempengaruhi sami Buddha China yang lain supaya tinggal di Sriwijaya dan mempelajarinya. Perhubungan erat seperti inilah yang berterusan hingga ke abad ke-15, iaitu pada zaman Empayar Sriwijaya menurun dan pusat politik dan perniagaan Melayu itu berpindah ke Empayar kesultanan Melaka. Inilah kedudukan perhubungan China dengan Alam Melayu, yang dapat dikatakan mencapai kemuncaknya pada zaman Dinasti Ming. Pada zaman inilah Laksamana Cheng Ho datang melawat ke Samudera Barat sebanyak tujuh kali, tetapi misi Maharaja China itu adalah misi damai dan tidak ppernah mana-mana wilayah Melayu itu ditakluki oleh China.

Apabila empayar Melaka ini jatuh ke tangan Portugis, pusat kerajaan Melayu terus membangun dan berkembang di Acheh, Pasai, Medan, Patani, Brunei. Namun, kepulauan Riau, Lingga, Johor dan Pahang.

Dua wilayah inilah, Johor Riau yang menjadi pusat bahasa Melayu seterusnya, hinggalah sampai ke zaman penjajahan kuasa Eropah, dan kemerdekaan pada pertengahan abad ke-20.

Lihat pembicaraan C.A. Mees, Tatabahasa dan Tatakalimat (1969: 1-15) dan Abdul Malik, Memelihara Warisan Yang Agung (2009: 142-155) bagi melihat pembicaraan yang lebih rinci mengenai zaman Kesultanan Melaka hingga ke Johor Riau, dan seterusnya hingga bahasa Melayu itu dimertabatkan sebagai Bahasa Nasional Indonesia.  

MELAYU ITU ADALAH PERADABAN MARITIM

Ada banyak peradaban yang tumbuh dan hilang di permukaan bumi ini. Kita pasti sudah mendengar tentang peradaban Mesir kuno, peradaban Parsi, Babylon, Yunani, Romawi, Inka, China, Hindu, Baghdad, dll. Dan jarang sekali kita mebicarakan Melayu ini sebagai sebuah peradaban, seperti peradaban Yunani dan Romawi. Ini ada kaitan dengan hakikat bahawa peradaban Melayu itu memang berbeza sekali daripada peradaban lain yang kita tahu. Ada suatu ciri peradaban Melayu ini yang tidak ada pada semua peradaban lain.

Berlainan daripada semua peradaban dalam dunia ini, peradaban Melayu ini adalah satu-satunya peradaban MARITIM.

Wilayah samudera yang diduduki oleh manusia Melayu ini sebenarnya adalah sangat luas, seluas Lautan Teduh (Pasifik) dan Lautan Hindia. Manusia yang menuturkan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa yang sekerabat dengannya tersebar dari Pulau Krismas di Timur, hinggalah ke Pulau Madagaskar di Barat. Daripada perkataan Waikiki yang bermaksud “tepian air” di Hawaii, hinggalah ke Antananarivoo yang bermakna “tanah seribu” di Madagaskar, kita dapat mengesan bahawa ini adalah manusia dari satu rumpun, rumpun Melayu. Sebuah kajian DNA yang dijalankan oleh Jabatan Maori di Victoria University of Wellington menunjukkan memang ada pertalian leluhur dalam kalangan penduduk pulau-pulau di Lautan Pasifik ini.

Dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh Mohd. Arof Ishak (2009), dan dilaporkan dalam bukunya “Peradaban Melayu,” dan diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia, ciri-ciri yang membezakan peradaban Melayu ini daripada peradaban-peradaban agung yang  lain di dunia diperjelaskan. Oleh sebab wilayah Melayu ini amat luas, maka menurut Arof Ishak, adalah sukar untuk sesebuah kerajaan atau kuasa yang memerintah dapat membangunkan tugu-tugu monumental seperti piramid, tembok, istana besar, kubu, castle dll. Ini adalah setiap satunya tidak pernah menjadi begitu besar dan berkuasa kuat. Namun, ada juga bangunan seperti Borobudur, Angkor Wat, namun bangunan yang dihubungkan secara khusus dengan peradaban Melayu itu tidak ada. Tidak wujud, kerajaan yang besar-besar seperti Mesir kuno dan Yunani pada zaman silam.

Namun, ciri yang menunjukkan kerajaan-kerajaan ini adalah daripada peradaban Melayu adalah reka bentuk rumah dan atapnya. Othman Yatim (2007) membandingkan reka bentuk rumah ketua-ketua Maori dan raja-raja Melayu dapat melihat banyak persamaan bentuk, symbol-simbol dan istilahnya. Kedua, reka bentuk kapal “catamaran,” yang dibina oleh penduduk-penduduk di wilayah peradaban Melayu ini juga menunjukkan persamaannya, seperti satu tiang dan sekeping layar, dan tidak berlapis seperti layar pada tongkang China.

Arof Ishak juga menunjukkan bahawa makanan wilayah Melayu ini terdiri daripada keladi dan ubi.

Suatu ciri peradaban yang tidak menjadi fokus Arof Ishak adalah himpunan kepustakaan dalam peradaban Melayu. Oleh sebab itu beliau tidak pun menyentuh aspek ini dalam laporan beliau. Beliau memberi sepenuh perhatian kepada artifak-artifak budaya yang fizikal dan dapat diperhatikan. Beliau tidak menyentuh tentang aspek intelektual dalam peradaban Melayu!

Oleh sebab wilayah di luar Kepulauan Melayu di Tenggara Asia tidak pernah menjadi wilayah konsentrasi aktiviti perdagangan, intelektual dan budaya yang aktif. Sebenarnya, aspek intelektual ini adalah suatu yang sangat penting dalam peradaban Melayu. Di manna sahaja yang pernah menjadi pusat pemerintahan sultan atau raja Melayu, kita akan mendapati lahirnya golongan intelektual yang menghasilkan karya agama (falsafah) dan epik-epik Melayu, semenjak tradisi Hindu Buddha seperti yang dilaporkan oleh I-Tsing, membawa kepada kerajaan-kerajaan Melayu islam di Acheh, Medan, Palembang, Melaka, Perak, Johor, Petani … dan yang menjadi focus kita dalam seminar ini, Riau dan Johor.

Kertas ini tidaklah dapat menyenaraikan keseluruhan karya intelektual yang dizahirkan dalam zaman-zaman peradaban Melayu secara keseluruhannya. Sesiapa yang pernah mengunjungi Perpustakaan Hindia Timur di Leiden, East India dan School of Oriental and African Stidues, Frankfurt University, Australian National University, dll. Dan saya yakin di Perpustakaan Nasional di Jakarta, akan mengetahui sebanyak manakah bilangan produk intelektual daripada peradaban Melayu. Malah, di semua muzium  di Malaysia, dan di Perpustakaan Kebangsaan Malaysia, di Pusat Dokumentasi di Dewan Bahasa dan Pustaka, di Perpustakaan Alam dan Tamaddun Melayu, dan Perpustakaan Tun Seri Lanang di Universiti Kebangsaan Malaysia, terhimpun ribuan manuskrip yang dihasilkan oleh ahli persuratan Melayu.

Sebuah Katalog yang disusun oleh Teuku Iskandar dapat menunjukkan kepada kita bilangan manuskrip Melayu yang tersimpan di Perpustakaan di Leiden. Kertas ini tidak dapat memberi maklumat detel mengenai kandungan Katalog ini. Maklumat rinci dapat disediakan dalam makalah yang dapat disempurnakan kemudian.

Dalam internet, ada tiga buah yang menarik. Pertama “Sabri Zain” koleksi peribadi yang mengandungi lebih enam ratus buah manuskrip. Kedua, ada lebih seratus manuskrip digital di laman DBP, UM dan UKM di Malaysia. Ketiga, Melayu Online mengandungi banyak maklumat mengenai produk intelektual peradaban Melayu. Manuskrip dalam Sabri Zain, dan yang disenaraikan dalam DBP, UM dan UKM dapat didownload secara gratis. Melayu Online masih belum memberi laluan kepada pengunjungnya mendownload sebarang manuskrip.

Adalah diyakini, himpunan manuskrip yang dihasilkan oleh para intelektual peradaban Melayu adalah lebih banyak di Indonesia. Maklumat mengenai produk intelektual ini perlu diproses secara digital supaya dapat dimanfaatkan oleh siswa, penyelidik, dan pembaca secara umumnya.  

WILAYAH INILAH ALAM MELAYU

Ramai antara kita yang sering bertanya, dari manakah asalnya orang Melayu. Adakah kita semuanya berasal daripada Yuanan di China selatan. Itu adalah sebuah teori yang berasaskan persepsi yang tidak dapat dibuktikan ketepatannya. Mungkin kita tidak ada bukti signifikan mengatakan kita benar-benar berasal daripada Yunan, tetapi ada banyak bukti hokum akal yang menunjukkan bahawa kita tidak berasdal dari China selatan.

Begitu juga ada banyak unsur bahasa dan budaya daripada pengaruh Romawi dalam bahasa dan budaya orang Eropah, kerana Romawi pernah menjadi sebahagian usul asal orang Eropah. Tidak pula ada sebarang unsur Yunani dalam bahasa dan budaya kita!

Kajian DNA yang dilakukan di Victoria University of Wellington menunjukkan bahawa manusia Melayu ini memang berhubungan. Namun pertalian mereka dengan orang China itu payah dibuktikan.

Orang Melayu berasal daripada wilayahnya sendiri.

PERADABAN MEALAYU YANG BERPUSAT DI RIAU JOHOR

Semenjak 1,500 wilayah alam Melayu ini jatuh ke bawah kuasa penaklukan Belanda, Inggeris, Portugis dan Sepanyol. Wilayah Riau, Lingga, Johor, dan Pahang adalah sebahagaian daripada wilayah Melayu yang mengalami nasib yang sama. Tetapi wilayah inilah yang lokasinya adalah sentral kepada seluruh Kepulauan Melayu di Tenggara Asia, menjadi pusat kepada bahasa Melayu. Di wilayah inilah bahasa Melayu berkembang dan menyambung peranannya sebagai bahasa intelektual.

Ada beberapa syarat penting yang membolehkan wilayah ini menjadi sebuah pusat intelektual sebuah peradaban. Wilayah yang dapat menampung aktiviti intelektual ini perlu mempunyai system pemerintahan yang agak stabil. Dan Riau di bawah pemerintahan sultan-sultan Riau, yang mempunyai sistem undang-undang yang membolehkan rakyatnya hidup dalam sistem yang rukun.

Apa yang lebih penting lagi, mestilah wujud sistem perdagangan yang dapat memberi surplus dalam pendapatan masyarakatnya bagi membolehkan para intelektualnya mempunyai masa rihat bagi menghasilkan karya intelektual. Hanya kehidupan begini dapat menghasilkan cendekia lokal (local genius). Dan para intelektual inilah yang menghasilkan karya intelektual seperti yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji dan mereka yang seangkatan dengan beliau.

Dalam 100 tahun sebelum mencapai kemerdekaan, tahun 1850 hingga 1950, wilayah ini menjadi sebuah wilayah yang stabil dan dapat menampung peradaban intelektual. Malah, Riau sebagai pusat intelektual menarik ramai santri dari seluruh dunia Melayu ke Riau, iaitu pusat yang dianggap sebagai pusat ilmu.

Lihat Lampiran yang disalin SEPENUHNYA daripada “Sagang” online bagi membolehkan kita membaca seluruh seluruh peristiwa intelektual, masyarakat bangsawan dan iaitu masyarakat intelektual yang membina himpunan ilmu yang meletakkan bahasa Melayu Riau sebagai bahasa persuratan. Bahasa yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang layak menjadi bahasa nasional sebuah negara, bahasa Indonesia.

Namun, ada larangan daripada Redaksi dalam Sagang Online:

Rangkaian Peristiwa Sekitar Masa Kehidupan Raja Ali Kelana ini disusun oleh Hasan Junus. Sekarang sedang disempurnakan dengan bantuan Raja Malik Hafrizal dari Pusat Maklumat Kebudayaan Melayu Riau Pulau Penyengat Tanjungpinang. Dilarang mengutip sebelum penyempurnaan selesai. Hak penyusun dilindungi Undang-Undang. 

Walaupun Tuan Hasan Junus (Sagang) melarang bahan ini dikutip sebahagian atau keseluruhannya, namun saya berharap tindakan saya ini tidak menimbulkan kemarahan, kerana inilah bahan dalam talian yang saya dapati sangat membantu saya menyempurnakan rasionalisasi pemilihan bahasa Melayu Riau sebagai bahasa nasional Indonesia. Untuk itu seluruh makalah beliau dikekalkan tanpa sebarang sunting, dalam bentuk lampiran. Walaupun makalah beliau dimuatkan sebagai lampiran, ia sangat membantu kita memahami peranan Raja Ali Haji dan seluruh aktiviti intelektual di Riau dan wilayah Melayu yang jatuh di bawah pengaruh Riau seratus tahun lalu. Inilah perkembangan intelektual yang penting dalam menjadikan bahasa Melayu Riau itu layak menjadi bahasa nasional. Ia sudah menjadi bahasa yang mempunyai sistem ejaan, tatabahasa, dan peristilahan sendiri (kamus).

Saya sendiri tidak mempunyai pengetahuan sedemikian dan tidak mempunyai masa yang panjang bagi menyediakan makalah ini. 

Namun, sekiranya perlu ada sedikit tambahan adalah kepada peranan sahabat Raja Ali Haji, Von de Wall, asisten residen kelas satu, yang menjadi sahabat Raja Ali Haji.

Von de Wall memberi banyak bantuan kepada Raja Ali Haji dalam bentuk hadiah dan ada gambaran yang mungkin dapat difahami sebagai menyediakan juga bantuan kewangan yang membolekan Raja Ali Haji berkarya. Yang tercatat adalah, Von de Wall sering menghadiahkan kertas dan bulu angsa yang digunakan sebagai pena bagi membolehkan Raja Ali Haji menyediakan kitab nahu dan tatabahasa Melayu untuk kepentingan melatih pegawai Belanda.

Dalam rentetan peristiwa yang sama, bahasa Melayu Riau ini juga menjadi bahasa persuratan di Johor yang menganggap dirinya sebagai sebahagian daripada identity bahasa yang sama, sehingga di Semenanjung Tanah Melayu, bahasa ini dipanggil bahasa Melayu Johor-Riau. Di bawah bimbingan Mejar Said Sulaiman, Persatuan Pengajar Mengajar Belajar Bahasa Melayu ini membina bahasa Melayu ini menjadi bahasa yang kemudiannya menjadi bahasa nasional di Malaysia dan Singapura; dan dalam semangat yang sama bahasa inilah juga yang menjadi bahasa nasional Brunei Darussalam.

KESIMPULAN

Sebagai sebuah peradaban maritim, peradaban Melayu tidaklah terlokasi hanya pada sebuah tempat atau pulau, namun lokasi pusatnya yang terakhir itu harus diambil kira, Johor-Riau. Sebagai sebuah peradaban, peradaban Melayu itu sudah melalui sebuah sejarah yang panjang. Ia mempunyai system pemerintahan yang berdasarkan undang-undang. Ia juga mempunyai aktiviti ekonomi dan perdagangan yang rancak. Ia mempunyai segolongan cendekiawan yang memberi perhatian kepada aktiviti intelektual. Abad ke-19 dan pada tahun-tahun sebelum wilayah ini merdeka daripada penjajah, Johor-Riau itulah yang ketara menjadi sebagai pusat peradaban Melayu. Ia menjadi pusat intelektual, ia mempunyai himpunan aktiviti intelektual.

Atas bukti sejarah demikian, kita tidak dapat tidak, memahami bagaimana bahasa Melayu Joor-Riau itu menjadi bahasa nasional di negara-negara merdeka di sekelilingnya: Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.