Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Pelan Strategik untuk DBP

PENGENALAN

Sebagai Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, saya ada beberapa cadangan bagi dilaksanakan oleh DBP, demi memertabatkan bahasa Melayu, dan bangsa Malaysia yang menuturkannya. Saya sudah lama dan banyak kali membicarakan perkara ini. Oleh sebab itu pemikiran saya adalah jelas, dan cadangan saya sangat konkrit. 

Adapun peradaban Melayu itu adalah sebuah peradaban besar. Sebuah peradaban intelektual. Satu-satunya peradaban maritim dalam sejarah dunia. Kita tidak ada tembok besar, piramid, taman berayun dll. Tetapi pada kurun ke-14 semasa Geoffrey Chaucer menulis The Canterbury Tales, peradaban Melayu sudah punya ribuan manuskrip dalam bentuk hikayat, buku agama, kanun dan cerita. Kita sudah lama punya pemerintahan berundang-undang. Inilah peradaban Melayu, peradaban intelektual. Kita tidak perlu malu pada dunia dengan bahasa dan tradisi intelektual kita. Inilah peradaban yang kita mahu teruskan.


DBP sudah banyak mencipta kejayaan dalam penerbitan buku, oleh sebab itu ini bukan permintaan yang mustahil dilakukan oleh DBP. DBP tidak boleh gagal. DBP adalah sebuah penerbit besar yang dapat menjadi payung kepada penerbit buku Melayu semuanya. Sekiranya DBP gagal dan tidak menunjukkan kehadirannya dalam dunia perbukuan lagi, nasib penerbit lain akan teracncam. Jikalau buku Melayu tidak dapat memperlihatkan kehadirannya dengan dominan, kita tidak akan dapat menduduki ruang depan dalam semua kedai buku. Orang tidak akan datang mencari buku Melayu lagi. DBP tidak boleh gagal!

Nama Dewan Bahasa dan Pustaka itu memberi petunjuk. PUSTAKA itu maknanya buku. Tugas DBP itu adalah membina KEPUSTAKAAN MELAYU.

Membina ejaan, sebutan, tatabahasa, kamus dan istilah itu BUKAN matlamat akhir kita. Matlamat kita adalah KEPUSTAKAAN. Buku sastera baik, lebih lagi buku maklumat dan ilmu. Kita beri perhatian kepada membina Kepustakaan.

Tetulah tidak masuk akal kita masih membetul-betulkan ejaan dan tatabahasa setelah lima puluh tahun berlalu. Tugas kita lebih besar daripada itu. Jikalau adapun kesalahan sebutan, ejaan dan tatabahasa, kita serahkan kepada guru di sekolah bagi membetulkannya.

CADANGAN


Berikut adalah cadangan saya sebagai Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia:

1. DBP ditugaskan membina Institut Perbukuan Negara, yang dicadangkan tiga empat tahun lalu. Wujudkan institut ini bagi melatih pekerja dalam ilmu perbukuan, penulisan, grafik dan ilustrasi dan seterusnya. Institut ini dapat membawa datang para pakar dalam bidang ini. Sesuatu yang sangat diperlukan sekarang adalah penulisan dan ilustrasi buku kanak-kanak. Ini perlu diberi perhatian.

2. Menurut nasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita mesti menerbitkan 1,000 judul buku setahun untuk setiap sejuta warga. Ini bermakna Malaysia mesti menerbitkan 28,000 judul buku baru setahun. Kita masih ketinggalan. DBP boleh mengambil inisiatif bagi menggerakkan industri perbukuan ini. DBP sudah ada pengalaman. DBP banyak memenangi hadiah dan anugerah buku kanak-kanak di Bologna pada suatu ketika. DBP perlu membina kembali kepakaran dan kedudukannya semula dalam industri perbukuan.

3. Selesaikan masalah yang dihadapi oleh DBP dengan DAWAMA. DAWAMA tidak boleh dijadikan alasan DBP tidak menerbitkan buku. 

4. DBP hendaklah menyusun strategi kemabli berfungsi sebagai penerbit buku ilmu dan maklumat. Masalah bajet tidak semestinya dijadikan alasan. Syarikat penerbit buku dapat hidup dengan menerbitkan dan menjual buku. Isu tiada wang tidak timbul. DBP masih mempunyai ramai editor terlatih, pelukis grafik dan ilustrasi yang mahir, dan infra struktur yang sesuai. Tidak ada kos awal diperlukan.

5. Wujudkan sistem pemasaran yang efisien. Pada masa Gramedia membuka cawangan di Malaysia dan berjaya menjual buku, pada masa MPH dan Popular menambah bilangan kedai dalam rantaian pemasaran dan penjualan mereka, masakan DBP tidak boleh berbuat perkara yang sama, Jikalau perlu, dilantik ”pegawai” yang ada orientasi bisnes, bukan ”pegawai” kerajaan biasa-biasa.

6. DBP dapat membantu penerbit lain membeli lesen menertbitkan buku dari negara asing.

7. DBP dapat membantu meyakinkan kerajaan supaya mewujudkan dana yang dapat diuruskan melalui bank, supaya dapat dipinjam oleh penerbit yang memerlukan.

8. DBP dapat menjadi juru cakap para penerbit bagi meminta kerajaan supaya mengenakan cukai pada kadar yang dapat membantu penerbit dalam mendapatkan bekalan seperti kertas, dll.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, sebagai Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, saya memahami dan menyokong semua perkara yang dibangkitkan dan dicadangkan oleh rakan-rakan saya. Laksanakanlah apa yang mereka dan saya cadangkan.

Namun ada beberapa pendapat yang saya ingin nyatakan:

Pertama, bermohonlah saya, berikan perhatian utama pada perbukuan, penerbitan buku demi memandaikan bangsa. Ikutlah fatwa PBB. Dan memang terbukti ada korelasi tinggi antara bilangan buku yang diterbitkan dalam sesebuah negara, tahap kepandaian wargannya, dan tahap permbangunan ekonomi dan kesejahteraan dalam hidup mereka.

Kedua, dalam Jawatankuasa Bahasa DBP pun saya sudah menyatakan pendirian ini. Janganlah dilaksanakan undang-undang mendenda orang yang menggunakan bahasa yang tidak betul. Sekurang-kurangnya mereka MAHU melaksanakan BM dalam kerja dan papan tandanya! Jangan jadikan mereka naik benci pada BM. Yang perlu dihukum adalah yang belum dan tidak mahu mahu menggunakan BM. Janganlah lain yang bengkak, lain dyang dibebat.

Ketiga, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8 yang akan diadakan, adalah Kongres bagi membicarakan isu bahasa Melayu oleh orang Melayu saja.

Keempat, jadikan Kongres 1Malaysia sebagai tapak bagi melibatkan kaum lain, dan meminta mereka juga turut memertabatkan BM. Tugas itu bukan tugas kaum Melayu saja.

Kelima, tugas memertabatkan BM ini jangan digandingkan dengan Bahasa Inggeris, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil. Ini isu BM dan hendaklah diselesaikan dengan tidak merujuk kepada apa saja yang ada dan dibuat terhadap Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan bahasa Tamil. Jangan peduli apa ada pada bahasa Inggeris, Cina dan Tamil. PEDULI pada apa yang tdak ada pada BM.

Keenam, kita perlu memandang berat tentang isu pemimpin negara yang berlembut dan mengalah dalam melaksanakan BM sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Malaysia Negaraku. Perlu ada komitmen pada kaum bukan Melayu juga.

Ketujuh, pihak DBP tidak berseorangan dalam hal ini. Jangan dijauhi semua NGO yang boleh membantu. Jemputlah kami, kami akan bersedia membantu.

Akhirnya, meminjam frasa Prof. Muhammad Haji Salleh, "kita jangan jadi dayang" setiap masa. Dan saya katakan, kita perlu juga menjadi hulubalang juga pada tempat dan masanya.

Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Terima kasih.