Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Memartabatkan Bahasa Melayu

Apabila isu memartabatkan bahasa Melayu timbul, hampir setiap kali fokus kita akan menghala kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan, Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu, pegawai kerajaan yang tidak berbangga menuturkan bahasa Melayu, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan besar-besaran, dan perkara seperti itu. Jarang kita terdengar pihak yang berfikir mengenai bagaimana memperbanyak pengisian informasi dan ilmu dalam bahasa Melayu.

Pada saya itulah martabat sebenarnya.

Dua kali saya mengunjungi Pesta Buku Frankfurt, kali pertama pada 1994, dan kali kedua sepuluh tahun kemudian pada tahun 2004, terasa benar bahawa gerai negara kita tidak mempunyai buku yang mahu dipamerkan. Di samping itu pula, hampir tidak pernah ada usaha membeli lesen buku-buku untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Pada tahun ini, ITNM dan MABOPA (Malaysian Book Publishers Association) diharap memainkan peranan mereka, dan kita mahu melihat hasilnya.

Pada masa ini, tujuan kita mahu memperkaya ilmu dan informasi dalam bahasa Melayu itu masih belum memadai. Kita mahu iilmu dan informasi diimport ke dalam bahasa Melayu. Sekecil-kecil negara seperti Finland, Denmark dan Belanda yang pernah saya kunjungi dalam masa sepuluh tahun ini, kedai bukunya mempamerkan bilangan buku ilmu dan informasi yang banyak dalam bahasa sendiri.

Usaha memperkaya bahasa dengan ilmu dan informasi ini dapat dinilai dalam empat langkah mudah mengikut ilmu perancangan bahasa. Aktiviti perancangan bahasa perlulah mara dari tahap ke tahap.

Tahap pertama, kita memberi status kepada bahasa Melayu itu. Ini sudah berlaku apabila Bahasa Melayu itu dijadikan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Cuma, ada langkah-langkah kerajaan yang tidak menghormati status Bahasa Kebangsaan itu. Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa pentadbiran dan pendidikan. Ini tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Dan, PPSMI itu melanggar peruntukan ini.

Ini tidak mengatakan kita tidak boleh belajar bahasa Inggeris! Nokhtah.

Tahap kedua adalah membina sistem ejaan, sebutan, nahu dan peristilahan dalam sesuatu bahasa yang dibina. Ini juga sudah selesai. Sebaiknya tahap ini memakan masa sekitar sepuluh tahun, dan tidak berpanjangan hingga setengah abad seperti yang kita lakukan. Oleh sebab itu, dalam sebuah mesyuarat Jawatankuasa Bahasa, di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada tahun ini, saya meminta supaya aktiviti ini tidak diteruskan, dan tumpuan diberi kepada usaha mengisi bahasa Melayu dengan ilmu dan informasi.

Tahap ketiga, adalah mengisi bahasa Melayu itu dengan ilmu dan informasi. Inilah matalamat merancangkan bahasa yang sebenar. Dalam tahun 1960-an membawa ke 1990-an, Dewan Bahasa dan Pustaka menjalankan fungsi ini dengan berkesan. Banyak buku ilmu diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui karya asli dan juga terjemahan. Universiti juga memainkan peranan yang aktif.

Apabila aktiviti menterjemah dan mengimport ilmu dan informasi ke dalam bahasa Melayu membebankan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka Kementerian Pendidikan pada masa itu menerima usul Dewan Bahasa dan Pustakan dan Persatuan Penterjemah Malaysia supaya Biro Terjemahan negara ditubuhkan. Hasilnya, terbentuklah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), bukan Biro. Pada ITNM itu terletak harapan aktiviti mengimport ilmu dan informasi ke dalam bahasa Melayu dapat digandakan. Persatuan Penterjemah Malaysia, sentiasa memberi sokongan dan dokongan ke arah itu dengan melatih penterjemah yang diperlukan.

Tahap keempat adalah menilai keberkesana ketiga-tiga tahap tadi, dan membuat pembaikan seperlunya. Ada beberapa perkara yang dapat diperhatikan dapat diperbaiki bagi mempertingkatkan lagi proses pembinaan ilmu, informasi dan teknologi dalam bahasa Melayu. Ejaan, istilah, nahu tidak semestinya kekal seperti yang dirancangkan dalam tahan kedua. Bahasa adalah unsur yang berubah. Bahasa tidak boleh statik. Ini akan dibicarakan pada kesempatan lain.

Inilah usaha yang perlu diteruskan, membina ilmu, informasi dan teknologi dalam bahasa Melayu. Itulah martabat bahasa kita, bahasa yang dapat memandaikan bangsa.

‘Saya produk bahasa Melayu dari kampung…’

2. Posted by: Abdullah | 02/02/2009

Utusan Malaysia 2 Februari 2009

KENAPA? Itulah persoalan yang timbul apabila saya melihat isu PPSMI ini muncul. Kita semua maklum bahawa ia telah menjadi isu hangat sejak diperkenalkan lagi. Kini terdapat wadah khas untuk tujuan pemansuhan dikenali sebagai Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP).

Saya merupakan produk dasar bahasa kebangsaan dan berasal dari luar bandar. Sekarang saya menjawat jawatan sebagai pegawai eksekutif hasil daripada ijazah yang diperolehi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tiga tahun yang lalu.

Zaman persekolahan merupakan zaman yang dikelilingi wadah bahasa ibunda tanpa diselangi bahasa asing kecuali matapelajaran Bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris ini tidak dapat dikuasai dengan baik walaupun keputusan cemerlang sentiasa saya perolehi ketika di bangku sekolah. Tetapi selepas menuntut di universiti, saya diberi ruang dan peluang untuk mempertingkatkan kemahiranbahasa Inggeris saya, ini kerana bahasa Inggeris digunakan secara menyeluruh di UIAM.

Selepas tamat pengajian, saya telah menghadiri pelbagai sesi temuduga dan apa yang saya boleh kongsikan di sini tidak ada satu pun temuduga yang saya hadiri menggunakan bahasa Melayu melainkan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Saya bertuah kerana saya berjaya memperkukuhkan kemahiran berbahasa ini di universiti.

Tetapi berapa ramaikah anak bangsa kita yang mempunyai ruang dan peluang seperti saya? Jika kemahiran berbahasa Inggeris melalui PPSMI ingin dimansuhkan, di manakah kedudukan anak bangsa kita selepas ini? Pengalaman saya menunjukkan, anak saudara saya yang berumur 13 tahun sekarang berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik berbanding saya pada usia yang sama hanya disebabkan peluang dan ruang menggunakan bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Gerakan yang ingin memansuhkan PPSMI ini lebih baik diusahakan untuk menjadi gerakan untuk menubuhkan satu sistem persekolahan di Malaysia. Ini kerana jika kita lihat, pelajar yang menuntut di sekolah aliran Cina/Tamil secara asasnya memiliki kemahiran dalam Mandarin/Tamil, Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Tetapi bagi anak bangsa kita yang menuntut di sekolah aliran kebangsaan hanya memiliki dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bukankah elok sekiranya kita wujudkan satu sistem persekolahan dan pastikan semua anak bangsa Malaysia menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa. Ini tidak, ruang untuk memperkukuhkan anak bangsa melalui PPSMI dinafikan atas agenda tertentu.

Saya tidak nampak kewajaran untuk kita memansuhkan PPSMI sedangkan bangsa Melayu masih terkebelakang dengan sistem sebelum ini.

Keputusan peperiksaan awam juga menunjukkan berlaku peningkatan dalam penguasaan Bahasa Inggeris selepas pelaksanaan PPSMI. Mungkin sedikit mengambil masa untuk melihat keunggulan PPSMI secara menyeluruh kerana kebanyakan guru bagi Sains dan Matematik sekarang adalah produk Dasar Bahasa Kebangsaan.

Saya pohon kepada semua warga Malaysia khususnya GMP, lihatlah dunia di sekitar kita. Saya sokong untuk diperkukuhkan bahasa kebangsaan, tetapi kita juga perlu pertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa.

MOHD. KHAIRI MD JAAFAR

Kulim, Kedah

Za'ba

 500

 

 

 

 

 

 

 

 

Za'ba adalah nama ringkas Zainal 'Abidin bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 dan meninggal pada 23 Oktober 1973, adalah seorang cendekiawan Melayu yang dapat dikatakan mendahului zamannya. Beliau banyak menulis artikel membincangkan tentang pemikiran, budaya, ekonomi dan politik orang Melayu. Namun kebanyakan artikel ini tidak pernah sampai ke pengetahuan umum. Cuma yang ketara adalah buku-bukunya mengenai bahasa Melayu, oleh sebab itu ramai orang yang menganggap beliau adalah seorang ahli bahasa Melayu. Ini memang benar, tetapi beliau adalah sebenarnya seorang cendekiawan Melayu yang mengenguasai pelbagai bidang, dan sumbangan beliau adalah terhadap pemikiran yang ahu membangunkan bahngsa Melayu seluruhnya; bukan bahasnya sahaja.

Read more: Za'ba