Login Form

Profile

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.

Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu. 

Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.

Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.

14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan

15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."

16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah." 

18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.

19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."


Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)

Galeri

Menzahirkan 26,000 Judul Buku Setahun

Pada 30 April 2011, di Bilik Labuan PWTC, diadakan sebuah dialog "Bicara Menzahirkan 26,000 Judul Buku Setahun". Bicara tersebut dipimpin oleh juruacara terkenal Tuan Sayed Munawar.

Ahli panelnya adalah. (1) Tuan Dr A’azmi Bin Shahri, Pengarah, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, (2) Tuan Amiruddin Md Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, dan (3) Tuan Ishak Hamzah, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Malaysian Book Publishers Association - MABOPA).

Dr A’azmi Bin Shahri, Pengarah, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, selaku Setiausaha MBKM memulakan perbicaraan mengenai topik ini. Beliau menyenaraikan beberapa isu; iaitu Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada 9 November 1988 tidak banyak menampakkan kesan dalam mencapai dua matlamat utamanya iaitu meningkatkan profesionalisme dalam industri buku serta mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca dan bermaklumat. Beliau juga mengemukakan persoalan Perlukah dibuat Aktanya bagi meningkatkan kuasa MBKM?

Tuan Amiruddin Md Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, dan Pengerusi Biro Hak Cipta Pena, mewakili penulis menimbulkan banyak perkara mengenai hak cipta, dan royalti. Beliau mengatakan, "Bagi menyelesaikan masalah hak cipta penulis, para persatuan penulis di negara ini perlu bersatu mewujudkan Unit Runding Hak Cipta. Kesedaran berhubung hak cipta penulis di negara ini masih berada di tahap yang rendah. Ramai penulis yang tidak sedar lagi kepentingan hal ini," kata beliau kepada yang hadir.

"Menyentuh perkembangan lain, Tuan Amiruddin berkata, persatuan penulis jangan hanya memikirkan usaha menyusun acara aktiviti sahaja, malah ia perlu disusuli dengan kegiatan membincangkan isu hak cipta untuk kembali membangunkan kesedaran para penulis hari ini. "Ini adalah kerana, mutakhir ini ramai penerbit mengambil kesempatan ke atas penulis. Oleh sebab itu para persatuan penulis perlu bertindak sebagai perunding antara penulis dengan syarikat penerbit bagi memastikan hak-hak mereka tidak terabai," kata beliau lagi.

Tuan Haji Ishak Hamzah, Timbalan Presiden MABOPA, berkata, soal industri buku tidak timbul sebab perbukuan kini bukanlah suatu industri lagi. Ia hanya berbentuk perusahaan! Bisnes buku. Ia perlu menjadi 'self-sustaining', berdiri bergerak tanpa sumbangan, barulah ia menjadi industri. Bagi menghasilkan 26,000 judul setahun itu tidaklah mustahil. Kita boleh menzahirkan 26,000 judul buku Bahasa Melayu setahun.

Saya ada empat cadangan: (a) Kerajaan perlulah menambah peruntukan PNM, KEMAS, dan Kemterian Pelajaran Malaysia. Ini membolehkan buku untuk perpustakaan pendidikan sama ada di sekolah, Kemas, atau perpustakaan awam menjadi lebih rancak. (b) Kempen Membaca: gerakan membaca perdana, hendaklah dipromosikan. Sebagai contoh, negara Iran mengadakan kempen membaca. Ia sangat berjaya, dan bukti orang membaca itu kelihatan di merata tempat. (c) Wujudkan Anugerah kepada penulis buku dan penerbitan buku. Adakan ganjaran untuk karya yang bermutu. Hadiah yang lumaiyan akan dapat mendorong penerbitan buku dengan lebih banyak lagi. (d) Perkasakan pesta buku.

Bagi menghasilkan 26,000 judul, kita juga boleh mengambil jalan pintas, pilih 200 penerbit tempatan yang berkemampuan. Kita minta setiap atu daripada mereka menambah 50 judul setahun. Penerbita seperti Karangkraf, PTS, dapat menzahirkan 500 judul lagi untuk setiap satu. Dalam 10 tahun kita akan ada tambahan 500 judul lagi. Wujudkan Dana Buku Satu Malaysia. Dapat saja kita mewujudkan bisnes yang bernilai berbilion.

Kita tingkatkan kualiti editor, grafik artist, kawal cetak rompak, kedai buku, dan kemudian para pentadbir ini janganlah iri hati!

Tuan Lau King Hui, bekas Presiden MABOBA berkata, "Dalam keghairahan menghasilkan 26,000 judul ini, kita tidak mahu juga penulis "copy and paste", penerbit yang tidak amanah. Pada masa ini nilai bisnes perbukuan ini belum begitu besar. Belum sampai tahap indusri, oleh sebab itu kita jangan menjadi sebahagian daripada industri percetakan pula.

Bagaimana kerajaan dapat membantu penerbit merealisasikan 26,000 judul setahun. 80 peratus daripada penerbit yang menjadi ahli MABOPA adalah kecil. Dana mereka tidak sustainable. Oleh sebab itu mereka mesti menjalankannya seperti membuat bisnes.

Kita perlu ada roadmap, bina keperluan bagi membina dan mewujudkan minat membaca. Apa yang dilakukan oleh KPM seperti projek NILAM, memang sudah menunjukkan hasil.

Dato' Hishamuddin Yaakub, Karangkraf dan Presiden MABOPA berkata, "Saya tidak setuju cadangan mewujudkan dana ini. Pernah di RTM diwujudkan dana, akhirnya semuanya dikuasai oleh satu syarikat saja, ada yang kontrol. Apabila dibuka saja pintu, macam-macamlah yang jadi kroni pula datang."

"Saya pernah mencuba mendapatkan dana di RTM tersebut, walaupun saya bukanlah daripada industri filem pada orang lain. Saya diberi tahu, semua mesti melalui sebuah syarikat yang mengontrol semuanya. Apa pun kita tidak dapat. Jikalau kita buat pelancaran buku pun, nanti akan datang 200 semut UMNO.

Kita tidak perlu dana, Penerbit yang baik boleh menghasilkan penulis yang kaya. Penulis Karangkraf sudah ada yang menjadi jadi jutawan, sudah lama menjadi jutawan.

Tuan Fauzul Naim Ishak, PTS, mengatakan, ini berkait dengan persepsi. Apabila menteri mengatakan warga Malaysia hanya membaca "dua halaman setahun. Eloklah kita bermentor pada Dato Hishamuddin dan Tuan Lau tentang selok-belok penerbitan. Penerbitan buku boleh menjadi industri. Kita perlu melatih sumber tenaga kerja yang berkualiti.

Tuan Hj Ramli, Kontrak buku lazimnya jatuh ke tangan vvip yang sama saja untuk 2009, 2010, dan dikenakan pula kuota buku, pada 2011 hanya ada 26 judul. Peruntukan membeli buku pusat sumber sekolah perlulah ditambah.

Kajian penerbit menunjukkan membaca dalam bentuk elektronik sudah meningkat ke 36%. E-book sudah menjadi perkara biasa yang menggugat pendapatan kontraktor buku.

Adakan juga kempen membaca juga bagi meningkatkan minat membeli buku.

Tuan Haji Hassan Hamzah, Presiden Kontraktor Buku Melayu menyatakan dalam pengagihan peruntukan perniagaan kepada kontraktor, walaupun bajet ada berjuta, tetapi bukan kita yang dapat, orang luar negara yang dapat. Umpamanya buku PPSMI, ada penerbit India yang mendapat kontrak berjuta-juta. Kita ini seperti: Ayam dalam kepuk mati kelaparan. Enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Kacang lupakan kulit. Bagai mencurah air di daun keladi. Mereka masih mahu kontrak walaupun sudah mendapat berjuta, bukan warga Malaysia yang dapat.

Seluruh diskusi bertumpu pada kontraktor buku. Malah pada 28 April 2011, dalam pertemuan dengan YB Dato Saifuddin Abdullah, semua isu yang dibangkitkan adalah mengenai rintihan kontraktor buku. Hanya pernyataan Puan Ainon Mohd. menyebut tentang undang-undang mengimport buku yang tidak dipinda semenjak sebelum merdeka, dan ia merugikan Malaysia.

Oleh sebab belum ada sesiapa menyentuh tentang bagaimana menzahirkan 26,000 judul buku setahun, saya memberanikan diri memberi cadangan.

Di Negara Taiwan, perbukuan adalah sebuah industri besar. Warga Taiwan adalah sebesar Malaysia, sekitar 26 juta orang juga. Orang Taiwan sangat kuat membaca buku, mereka berbelanja hampir RM400 setahun per orang bagi membeli buku setahun. Taiwan membina industri perbukuan bernilai USD3 bilion setahun. Oleh sebab itu kita dapat belajar daripada Taiwan.

Mengenai isu menzahirkan 26,000 judul setahun ini, pertama kita perlu mengetahui "asas yang digunakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menentukan kita mesti menerbitkan 26,000 judul buku setahun mulai pada tahun hadapan. Adakah ini berdasarkan formula UNESCO, yang lebih kurang dapat disimpulkan sebagai 1,000 judul per sejuta warga. Ini bermakna memang kita perlu menerbitkan 26,000 judul buku setahun sebab populasi kita memang berjumlah lebih sedikit daripada 26 juta manusia. Inilah juga yang kami di PTS perjuangkan.

Perbukuan adalah sebuah industri, industri intelektual, sebuah industri konten ilmu. Dan konten itu sangat penting kita beri keutamaan. Konten yang dibaca oleh warga Malaysia itulah yang mencorakkan mindanya, kreativitinya, perjuangannya, gaya hidupnya, nilainya, sikapnya ... segala-galanya. Dan, sememangnya ada korelasi yang rapat antara bilangan buku (akademik) khususnya dengan tahap pembangunan ekonomi sebuah negara.

Oleh sebab itu kita mesti melihat isu 26,000 judul ini dengan serius. Ia tidak dapat dihasilkan sembarangan sahaja. Perbukuan ini adalah sebuah industri. Industri konten ilmu yang perlu disajikan kepada masyarakat. Ia sangat serius dan perlu ditangani dengan tanggung jawab.

Secara kasar, dapatlah kita ajukan supaya pertama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia hendaklah diangkat menjadi sebuah Lembaga dengan bajet dan kuasa-kuasanya. Dengan demikian ia barulah dapat membuat perancangan yang rapi bagi menzahirkan 26,000 judul buku setahun. Antara perkara yang perlu dirancangkannya adalah:

1. Segeralah disediakan proposal bagi mewujudkan Akta Buku Negara. Apabila diluluskan oleh Parlimen, dapatlah ia berfungsi segera.

2. Yang dimaksudkan dengan 26,000 judul itu adalah dalam bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan kita. Sekiranya diperlukan buku diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Cina atau Tamil, setiap tajuk itu tidak mengurangkan jumlah dalam bahasa Kebangsaan.

3. Wujudkan taksonomi (atau kategori) ilmu secara umum dan tentukan tahap ilmunya. Pertama, sediakan pengkategorian ilmu menurut bidang ilmunya. Manakah kategori ilmu yang masih perlu ditangani segera? Saya berfikir, sains dan teknologi perlu diberi keutamaan. Kita mahu buku yang menyediakan minda warga Malaysia dengan ilmu. Kedua, tahap mana penyediaan ilmu tersebut. Kebayakan ilmu sains sosial dan kemanusiaan itu sudah wujud, dan memang perlu diperlengkap pula. Tetapi penting juga kita beri perhatian pada penyediaan ilmu pada tahap lebih tinggi. Sudah ada banyak buku yang bertajuk, suatu pengenalan itu dan ini. Kita mahu perbincangan yang lebih mendalam dan meluas. Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) mesti memegang tugas penting dalam hal ini.

4. Memang buku kreatif dan agama kelihatan banyak di pasaran, tetapi adakah kategorinya sudah tuntas. Bagaimana dengan cerita kanak-kanak, cerita advencer untuk kanak-kanak lelaki, buku saifai, dll.

5. Kita jangan melupakan terjemahan sebagai kaedah memperbanyak judul buku ini.

6. Buku yang diterbitkan mesti sampai kepada warga Malaysia. Dalam hal ini kita perlu memikirkan tentang penerbitan elektronik dan perpustakaan digital. Buku mesti sampai ke mana-mana: bandar, luar bandar, dan antarabangsa.

7. Sebarang tindakan lain yang membantu industri perbukuan, seperti harga kertas yang rendah untuk pencetak, cukai perniagaan yang tidak terlalu tinggi, sistem pemasaran, dll.

Apabila ini dapat kita beri perhatian, barulah 26,000 judul itu membawa makna kepada kita, demi memandaikan bangsa!

Buku dan Keresahan Pemimpin

dpd semanggol.com

Selepas majlis penutupan rasmi PBAKL 2011, saya duduk-duduk dan berbicara dengan peserta yang masih belum pulang. Kami berbicara mengenai isu buku secara umumnya.

Datin Paduka Shahaneem Hanoum, Presiden majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia, menyatakan perkara yang menjadi keresahan beliau.

Pada pemerhatian Datin ini, walaupun anak-anak kita sudah mula membaca, dan membaca dengan banyak, masih ada sesuatu yang perlu kita berikan perhatian segera. Beliau mengatakan kebanyakan buku yang banyak dibaca oleh pelajar ini adalah buku cerita. Dalam pada itu pula kita sukar mendapati pelajar yang dapat mengasah daya berfikir kritis setelah membaca bahan-bahan yang ditunjuk. Mereka cuma memberi respons ringkas mengenai apa yang dibacanya.

Saya merasa ada sesuatu yang dapat kita lakukan bagi memperbaiki perkara ini. Teringat juga saya pada bahan bacaan dalam kursus karya agung yang saya minta dibaca oleh pelajar. Apabila tiba masa mereka membuat ulasan, mereka hanya memberi maklumat yang sama saja, cuma lebih lebih pendek.

The Malay Language: State of the Art, Issues and Aspirations

daripada semanggol.com

INTERNATIONAL SEMINAR: MALAY, MAORI AND PACIFIC LANGUAGE, ART AND CULTURE

Victoria University of Wellington, 1 November 2007

The Malay Language: State of the Art, Issues and Aspirations

 

Malay has acquired and displayed the intrinsic and extrinsic features of a developed language, worthy of an international language. It is currently the national language of four Asean countries, and spoken by a sizable number of speakers in South Thailand, Khmer Republic, and South Philippines. The paper will continue to discuss the role of Malay within the country: issues about language standardization, education – especially that of wide communication, and a language to transmit the “race’s collective memory.’ A greater focus will be paid on the efforts to make Malay a language of not only a regional communication, but also a language of international importance.

Mempertahankan Nama Bahasa Melayu

 

JUSTIFIKASI MENOLAK PENGGUNAAN ISTILAH BAHASA MALAYSIA BAGI MENGGANTIKAN ISTILAH BAHASA MELAYU (untuk Jawatankuasa Memertabatkan Bahasa Melayu)

Disediakan oleh:

Profesor Emeritus Abdullah Hassan (UPSI) dan Rusli Abdul Ghani (DBP)


ISUNYA

Berikutan daripada Surat Pekeliling Kerajaan Malaysia dan juga pemakluman pihak pentadbiran Malaysia supaya menggunakan istilah Bahasa Malaysia bagi menggantikan istilah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, timbullah bantahan daripada pihak-pihak yang bimbang tentang kesan buruknya. Bantahan ini termasuk daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (Minit Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Melayu ke 52, tarikh?) Namun, tidaklah diketahui tarikh bantahan Dewan Bahasa dan Pustaka itu disampaikan kepada pihak berwajib.

Ada tiga sebab utama, dan beberapa sebab sampingan.

SEBAB-SEBAB UTAMA

1. Tidak Menghormati Perlembagaan Persekutuan

Adapun bahasa Melayu itu dengan jelasnya dikanunkan namanya dan peranannya dalam Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) seperti dalam petikan berikut:

“...Perkara 152(1) Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah (ditulis) dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen…”

Ini adalah nama yang sah bagi Bahasa Kebangsaan negara Malaysia. Sebagai suatu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia hanya dapat diubah melalui persetujuan Parlimen.

Perkara perubahan istilah nama bahasa Melayu ini kepada Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa  Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Wakil Jabatan Peguam Negara dalam Jawatankuasa tersebut memberi penjelasan, bahawa nama Bahasa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak boleh diubah oleh sesiapapun, (hatta Perdana Menteri.) Ia hanya boleh diubah melalui persetujuan Parlimen. Dan sehingga kini keputusan sedemikian tidak pernah diambil oleh Parlimen.

Sebarang tindakan oleh mana-mana pegawai Kerajaan bagi mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dengan tidak melalui Parlimen adalah tidak sah, malah dapat dikatakan sebagai tindakan yang bertentangan dengan peraturan Parlimen.

Oleh yang demikian, isunya bukanlah sama ada istilah Bahasa Melayu itu boleh digantikan dengan istilah Bahasa Melaysia, tetapi adalah kerana istilah bahasa Malaysia itu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Dan perkara yang tidak wujud itu tidaklah boleh diwujudkan melalui tindakan pentadbiran sahaja.

2. Hasrat Dalam Surat Pekeliling Am 1, 2006

Kandungan Surat Pekeliling A 1, 2006 jelas menyatakan sikap Kerajaan mempertahankan penggunaan istilah Bahasa Melayu. Keratan daripada Surat Pekeliling Am Bilangan 1, 2006

SURAT PEKELILING AM BILANGAN 1 TAHUN 2006, KERAJAAN MALAYSIA, JABATAN PERDANA MENTERI, MALAYSIA

Ruj. Kami PM (S) 10034, Jld.9 22

Tarikh: Disember 2005

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua J abatan Persekutuan

Semua Ketua Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan

SURAT PEKELILING AM BILANGAN 1 TAHUN 2006

LANGKAH-LANGKAH MEMPERKASAKAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM 

TUJUAN

Surat Pekeliling Am ini bertujuan memaklumkan akan langkah-langkah untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik, betul dan santun, serta memperluas penggunannya secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, sesuai dengan perkembangdn dan kemajuan negara yang pesat pada masa ini.

LATAR BELAKANG

2. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalarn semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Wacana lisan rasmi termasuklah mesyuarat, taklimat, ucapan, cerarnah, syarahan, perbincangan pentadbiran dan yang seumpama dengannya. Wacana tulisan rasmi pula meliputi surat-menyurat pentadbiran, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis pemiagaan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi.

..............................................

(TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN)

Ketua Setiausaha Negara

3. Asas Identiti Bangsa Dan Kaum

Salah satu daripada ciri yang dianggap asas dalam identiti sesuatu kaum atau bangsa, adalah bahasanya, di samping bangsanya, agamanya, wilayahnya, dan bentuk jasadnya.

Apabila kita menghilangkan satu daripada ciri asas ini (dengan menukar namanya), kita menyentuh sesuatu yang paling sensitif dalam identiti atau jati diri Melayu. Ini adalah suatu tindakan yang tidak bijak.

Isu ini jelas tidak bijak apabila, nama bahasa lain masih kekal. Orang Cina kekal dengan bahasa Cinanya, orang India (Tamil) dengan bahasa Tamilnya (walaupun tidak semua menuturkan bahasa Tamil.) Tetapi orang Melayu sudah hilang suatu ciri identitinya. Ini tentulah tidak adapat diterima oleh orang Melayu.

Malah, tindakan ini sudah ditafsirkan oleh orang Melayu sebagai menghilangkan jati dirinya sebagai peribumi atau penduduk asal daerah Melayu ini, dan dalam tindakan yang sama kita mengekalkan dan menebalkan ciri-ciri jati diri kaum Cina dan India. Adalah sangat diragukan, walaupun pada persepsi, yang bangsa Malaysia itu akan lahir daripada dasar begini. Akibatnya, Cina menjadi lebih Cina, India menjadi lebih India, dan Melayu menjadi lebur.

Tidak akan ada mana-mana bangsa yang mahu identitinya dicalar.

FAKTOR-FAKTOR SOKONGAN

Ada beberapa faktor lain yang juga menyokong bantahan penggunaan Bahasa Malaysia menggantikan Bahasa Melayu.

4. Dari Sudut Sejarah Bahasa

Bahasa Melayu adalah ahli kepada keluarga bahasa Austronesia yang sangat luas taburan wilayahnya: dari Pulau Easter di timur hingga ke Pulau Madagaskar di barat; dari Taiwan di utara hingga ke New Zealand di selatan. Ini adalah wilayah bahasa daripada keluarga rumpun Melayu-Polinesia, yang sekarang dipanggil Austronesia. Keluarga bahasa Melayu-Polinesia ini mengisi seluruh Lautan Pasifik dan Lautan India. Sebelum wujudnya negara “Malaysia”, bahasa Melayu sudah lama wujud bersama-sama penutur jatinya dan tersebar di seluruh pelosok Nusantara. Bahasa Melayu mempunyai tradisi tulisan yang lama dan berisi literatur yang setanding, bahkan lebih agung daripada beberapa bangsa dan bahasa Eropah. (Prof. Hein Steinheuer, Profesor Pengajian Melayu dan Indonesia dari Universiti Leiden mengatakan sastera klasik Melayu mempunyai ribuan manuskrip dalam tulisan jawi, manakala bahasa Belanda tidak mempunyai sebanyak itu.)

Tatkala epik Beowulf dikarang dalam bahasa Inggeris tua pada abad ke-8, teks Melayu paling tua (682 TM) sudah terukir dengan skrip Pallava pada batu yang ditemui di Palembang, Sumatera. Tatkala Chaucer mengarang The Canterbury Tales, dalam bahasa Inggeris abad pertengahan, pada penghujung abad ke-14, batu bersurat Terengganu (1302 TM) sudah terakam dengan tulisan Jawi yang berasaskan skrip Arab. Sezaman dengan ini juga, sudah dikarang Hikayat Bayan Budiman (1371 TM) dan Hikayat Raja Pasai (1390 TM). Tidak mungkin teks-teks ini, dan teks hikayat serta teks agama yang banyak dihasilkan dalam abad ke-13 dan ke-19 itu dikenali sebagai teks Bahasa Malaysia.

Keputusan mengubah nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini akan menghilangkan sejarah kesarjanaan Melayu dalam dalam sebuah peradaban besar dan panjang.

Nota: Sudah ada seorang pensyarah sastera di universiti tempatan yang melahirkan ungkapan “sastera Bahasa Malaysia zaman empayar Melaka” ... Beliau diketawakan.

5. Daripada Sudut Geopolitik

Bahasa Melayu adalah bahasa yang menjadi asas Bahasa Kebangsaan untuk Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Dengan demikian, bahasa Melayu merentasi sempadan geopolitik dan bersifat supranasional dengan neka bahasa yang sedikit berbeza, tetapi bukan pada asasnya, di masing-masing negara.

Selain daripada itu, lebih daripada sejuta penutur bahasa Melayu mendiami wilayah Thai Selatan, Selatan Flipina, dan Kemboja.

Di samping itu ada kelompok-kelompok Melayu diaspora di Sri Lanka, Afrika Selatan, Australia Barat, Makkah, dll. yang semuanya merujuk kepada bahasa yang menjadi sebahagian daripada ciri penting dalam identiti atau jati diri mereka itu adalah bahasa Melayu, bukannya bahasa Malaysia.

6. Mengelakkan Kekeliruan Dalam Bidang Kesarjanaan

Bahasa Melayu dikaji, diteliti, diajar dan dipelajari di universiti-universiti di England, Belanda, Jerman, Perancis, Rusia, Ukraine, Amerika Utara, China, Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan lain-lain. Bahasa Melayu lebih bersifat global berbanding dengan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia hanya berlaku di Malaysia dengan fungsi utamanya sebagai unsur pemersatu. Bahasa Melayu berada di serata dunia dengan peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi dan bahasa perhubungan antarabangsa, setidak-tidaknya di peringkat serantau.

Upaya kesarjanaan baik di dalam negeri mahupun di institusi luar negara, dari dahulu sehingga sekarang, tertumpu pada korpus Bahasa Melayu dan pengajian Melayu, bukannya Bahasa Malaysia dan sama sekali bukan “Pengajian Malaysia.”

KESIMPULAN

Bantahan keras terhadap tindakan menggantikan Bahasa Melayu dengan istilah Bahasa Malaysia ini memang tidak dapat dikuantifikasikan. Namun ia perlu sangat diendahkan.

Sebenarnya ada banyak bantahan dalam kalangan pegawai Melayu dalam Kerajaan sendiri, tetapi oleh sebab 'takut' dikenakan tindakan maka bantahan mereka itu tidak kedengaran. Ada ramai juga ahli parti Kerajaan yang tidak setuju, namun mereka tidak bersuara atas kepentingan peribadi.

Namun, tidak akan ada mana-mana bangsa yang mahu identitinya dicalar. Oleh yang demikian, dalam usaha “memartabatkan” sesuatu bahasa, iaitu ingin meletakkan bahasa itu sebagai bahasa pengucapan peradaban, kita sebenarnya menyambung sebuah tradisi agung yang hidup dan berkembang beribu tahun lamanya. Tradisi ini tidak boleh diputuskan.

Kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, bukannya Bahasa Malaysia yang tidak ada tradisi seagung itu.

Ucaptama YB Azmin Ali

daripada semanggol.com

Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu
Anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar
Hotel Singgahsana,Petaling Jaya
 
12 Februari 2011,9.30 pagi

Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar kerana menganjurkan seminar ini. Seminar ini amat bermakna bagi umat Islam dan Umat Melayu khasnya. Umat Melayu-Indonesia adalah umat Islam yang terbesar di dunia. Dari perspektif tersebut Alam Melayu-Indonesia adalah pusat kepada dunia Islam, bukan di pinggir dunia Islam seperti yang dianggap oleh pengkaji-pengkaji. Bahkan saudara kita se umat Islam - Arab, Parsi, Turki, India dan Pakistan, sendiri melihat rantau ini sebagai pinggir dunia Islam. Paling parah lagi apabila umat Melayu-Indonesia sendiri merasakan mereka duduk di pinggir. Akibatnya mereka dilanda psikologi pinggiran.

Sudah sampai masanya umat Islam Melayu-Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli untuk mendepani cabaran umat, rantau dan dunia. Untuk itu kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman mahupun ideologi. Kekuatan dan tenaga yang akan membawa kita keluar dari kesempitan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah kesejagatan dan universalisme Islam itu sendiri.

Bahkan kedudukan Alam Melayu dewasa ini menuntut keberanian dan kecekalan. Dunia hari ini memperkatakan kebangkitan China dan India. Peterson Institute of International Economics menegaskan ketika Presiden Hu Jintao bertemu dengan Presiden Barack Obama di Washington awal tahun ini dari segi purchasing power parity China sudah menjadi ekonomi no 1 dunia. Maka dunia Islam yang diwakili oleh Alam Melayu-Indonesia berada di tengah-tengah ekonomi no 1 di dunia dengan satu lagi kuasa baru dunia iaitu India. Maka tanggungjawab berdepan dengan kuasa-kuasa baru ini adalah tanggungjawab umat Melayu.

Selama satu kurun pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat. Sejak dari abad ke-19 umat Islam ditakluk dan dijajah oleh kuasa-kusa imperialis Barat. Setelah dunia Islam memperolehi kemerdekaan persoalan Islam dengan Barat masih berterusan kerana negara-negara di kedua belah Lautan Atlantik mendominasi dunia dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan. Justeru itu wacana dan penulisan pemikir-pemikir dan juga pimpinan politik dan sosial dunia Islam tertumpu dengan isu “Islam and the West”.

Pemikir-pemikir seperti Taha Husayn dan Sutan Takdir Alisyahbana melihat kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan Barat berpunca dari kebudayaan yang mereka bina dari Renaissance, Enlightenment, rasionalisme dan ilmu-ilmu yang berteraskan sains dan falsafah. Taha Husayn begitu memperkecilkan Asia dan menyatakan Mesir adalah sebahagian dari Barat dan masa depan Mesir adalah bersama dengan Barat. Sutan Takdir Alisyahbana pula melihat alam Melayu-Indonesia berada di zaman jahiliah sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat.

Sekiranya mereka, khususnya Sutan Takdir,  hidup hari ini mereka pasti akan menggesa kita membuat persedian ilmu dan strategi untuk melakukan engagement dengan China dan India. Dan umat Melayu-Indonesia berada dalam lokasi yang begitu strategik dan bertanggungjawab untuk merumus strategi seluruh dunia Islam untuk berdepan dengan realiti baru ini.

Tema seminar hari ini mengingatkan kita kepada siri ceramah penyair dan filasuf agong Islam - Muhammad Iqbal dalam tahun 1932 yang bertajuk The Reconstruction of Religious Thought in Islam, pembangunan semula pemikiran Islam. Projek pembangunan semula pemikiran Islam sejak ianya digagaskan oleh Iqbal tahun 1930an masih terus berjalan.  Umat Islam rantau ini perlu merealisasikan agenda tersebut demi berhadapan realiti global yang terkini. Bab terakhir Gelombang Kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim telah melakarkan haluan atau orientasi segar yang perlu diambil oleh umat Islam Asia Tenggara. Umat rantau ini, secara tidak kita sedari telahpun mengikut aliran Madrasah al-Ra’yu, iaitu aliran yang lebih cenderung menggunakan ijtihad untuk mengetahui maksud dan tujuan disebalik sesuatu perintah syarak dan cuba melaksanakan tujuan tersebut tanpa terlalu terikat dengan pengertian harfiyyah sesuatu nas. Melalui pendekatan ini, saya yakin kita mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk mendepani setiap cabaran semasa dan cabaran yang bakal muncul. Bukan sahaja kita berjaya menghadapi cabaran tersebut tetapi kita juga boleh muncul sebagai kekuatan baru yang positif untuk keamanan dan kemakmuran dunia.

Dalam keluaran Jan-Feb 2010 Foreign Affairs terdapat satu rencana yang bertajuk The New Population Bomb. Penulis tersebut membuat unjuran dalam beberapa dekad lagi jumlah penduduk kelas menengah di negara-negara membangun akan melebihi keseluruhan peduduk di Eropah dan Amerika. Ini bermakna berdasarkan faktor demografi setelah hampir 400 ratus tahun tamadun Barat mendominasi dunia dalam beberapa dekad lagi masyarakat-masyarakat negara membangun secara kolektif akan menjadi lebih kaya dari Barat. Negara-negara ini adalah terletak di Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika di mana sebahagian besar mereka adalah umat Islam.

Jelas kita sedang berdepan dengan The New Asian Century. Maka wacana yang perlu disegarkan seharusnya “Islam and the New Asian Century” sebagai wacana dominan untuk menggantikan wacana “Islam and the West”. Maka persediaan kita sudah pasti dengan pengkajian dan pemahaman mendalam terhadap tamadun-tamadun China, India, dan tamadun-tamadun yang lahir dari sintesis antara dua tamadun tersebut. Kita sebenarnya seolah-olah kembali ke zaman sebelum kedatangan Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat Portugis, Belanda dan Inggeris, Asia Tenggara adalah tempat pertembungan tamadun China dan India. Setelah 500 tahun, kita harus kembali untuk menyambung dialog tamadun tersebut.

Tema besar dialog tamadun dalam kebangkitan benua Asia ini amat relevan pada masyarakat Malaysia. Malaysia mempunyai wakil-wakil tamadun Islam, China dan India. Sekiranya kita berjaya menggembling kekuatan dan tenaga ketamadunan ini untuk membentuk satu tamadun yang demokratik, adil, makmur dan aman, kita akan memberikan sumbangan yang amat besar kepada kemanusiaan.

Unjuran The New Population Bomb seharusnya memberikan umat Islam keyakinan. Tetapi gagasan bagi umat Melayu-Indonesia muncul sebagai kekuatan baru yang membentuk tamadun memerlukan minda yang luas. Kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit. Umat Islam perlu keluar dari minda ketakutan. Filasuf Bertrand Russell pernah berkata: “Fear is the main source of superstition, and one of the main sources of cruelty. To conquer fear is the beginning of wisdom”. Kerana takut kepada musuh-musuh politik beliau Stalin melancarkan the Great Terror yang menyebabkan kematian berjumlah 30 juta. Kerana takutkan orang Yahudi Hitler melaksanakan Holocaust yang membunuh 6 juta orang Yahudi. Kerana takut digulingkan oleh orang nombor duanya Liu Shao Qi maka Mao Zedong melancarkan The Great Proletarian Cultural Revolution yang menyebabkan 20 juta rakyat China yang tidak berdosa mati. Begitu juga dengan Pol Pot kerana takutkan kehidupan bandar merosakkan moral manusia beliau melakukan pemindahan secara paksa ke luar bandar yang paling besar dalam sejarah. Akibatnya hampir dua juta manusia mati.

Ketakutan akan menyebabkan kita membuat dasar-dasar celaru, zalim dan merugikan. Kerana takutkan mahasiswa maka dibuatkan AUKU. Kerana takutkan pensyarah menyebarkan pemikiran-pemikiran yang kritis dengan pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen perubahan. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul “Takut 66, Takut 98”

 

 

Mahasiswa takut pada dosen
Dosen takut pada dekan
Dekan takut pada rektor
Rektor takut pada menteri
Menteri takut pada presiden
Presiden takut pada mahasiswa

Keresahan golongan mahasiswa ini mirip cerita pendek karangan Anton Chekhov yang berjudul The Student. Cerita pendek ini menerangkan bagaimana gelisah dan rawan anak muda kerana hidup dalam sistem yang mengongkong dan zalim.

Apabila generasi ini pasif maka masyarakat tersebut tidak akan dinamis, tidak mampu berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang datang. Apabila pensyarah-pensyarah dikekang mereka juga tidak dapat memberikan sumbangan yang sewajarnya. Ini bermakna talent atau bakat golongan strategik ini tidak dapat menzahir potensi mereka yang sepenuhnya.

Mengapakah pemerintah otoritarian sungguh takut kepada golongan mahasiswa dan pensyarah yang jumlahnya amat kecil. Mereka takutkan pemikiran golongan intelektual ini. Seperti yang diungkapkan sekali lagi oleh filasuf Bertrand Russell: “Men fear thought as they fear nothing else on earth .. thought is subversive … and merciless to privilege.”

Tatkala kita mengungkapkan serta mengkritik dasar kerajaan yang mengongkong para intelektual dan mahasiswa, jangan pula kita alpa dengan pengkhianatan kaum intelektual, atau seperti yang dinukil Julien Benda, The Betrayal of Intellectual (Les Trahison des Clercs). Kaum intelektual seharusnya menjadi salah satu paksi utama mencetus gelombang pendemokrasian, bukannya takut berhadapan dengan pemerintah.

Islam mencipta tamadun yang gemilang dizaman yang lalu kerana umat di zaman itu bersikap terbuka terhadap semua ilmu dari tamadun-tamadun besar dunia sebelum kedatangan Islam. Seperti yang diulas oleh Professor Seyyed Hossein Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Islam mengambil semua ilmu dan disepadukan dengan perspektif Tawhid. Tamadun Islam mulai suram apabila umat Islam tidak lagi meraikan pemikiran. Untuk meminjam ungkapan Alan Bloom, berlaku “the closing of the Muslim mind” melalui penutupan pintu ijtihad.

Usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu perlu bermula dengan merancakkan wacana ilmu dan pemikiran. Masyarakat dahagakan wacana yang positif untuk memecahkan pemikiran perkauman yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan sosial dan ekonomi umat. Kita harus diingatkan kembali kepada pandangan ahli sejarah terkenal Arnold Toynbee yang menegaskan tamadun manusia digugat oleh faham perkauman dan warna kulit. Dan beliau menegaskan kekuatan Islam adalah kerana ketiadaan aspek perkauman. Sepanjang tamadun Islam jamak budaya dan kepelbagaian adalah satu sifat asasi. Tamadun Islam sentiasa meraikan jamak budaya, kepelbagaian, dan kosmopolitanisme sebagai salah satu fitrah.

Dalam konteks Malaysia, antara peranan penting intelektual Muslim adalah untuk membangun pemikiran politik berteraskan demokrasi. Kita sudah sampai ditahap wacana di mana kita tidak lagi mempersoalkan demokrasi kerana kononnya ia datang dari Barat. Sewajarnya tidak muncul kekeliruan bahawa Demokrasi itu merupakan suatu yang bertentangan dengan Islam. Sungguhpun kitab fiqh, tawarikh mahupun kenegaraan tidak menyebut Demokrasi sebagai satu sistem yang baik dan wajib diamalkan oleh umat Islam, namun dari sudut ruh-nya, Islam tidak lah menolak sesuatu yang baik itu diamalkan oleh umatnya.

Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradawi, seorang tokoh ulama’ yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muasirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradawi, “Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?”

Persoalannya adalah adakah kita mahukan keadilan atau kezaliman. Adakah kita mahukan kebebasan atau kongkongan. Adakah kita mahukan hak rakyat dihormati atau dinodai. Ketika melancarkan gerakan reformasi di Permatang Pauh Anwar Ibrahim memetik Reinhold Niebuhr: "Man's capacity for justice makes democracy possible; but man's inclination to injustice makes democracy necessary." (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban).

Lebih dari seratus tahun yang lalu sekumpulan pemuda Muslim yang kemudiannya dikenali sebagai The Young Ottoman muncul di Turki, pusat kepada empayar Islam yang terakhir iaitu empayar Uthmaniah. Mereka menuntut reformasi pemerintahan. Mereka mahu menamatkan pemerintahan kuku besi, dan mahukan pemerintahan dilakukan berlandaskan perlembagaan dan negara hukum. Reformasi yang bernama Tanzimat itu adalah titik besar dalam perjuangan demokrasi umat Islam di zaman moden. Tetapi Mustafa Kamal kemudian yang dikenali sebagai Attaturk menjadikan sekularisme lebih penting dari demokrasi. Maka beliau meletakkan tentera sebagai perisai kepada sekularisme.

Dalam perjuangan umat Islam menuju demokrasi, sejarah tidak akan melupakan peranan gerakan Islam untuk merealisasikan demokrasi. Setelah berdekad-dekad Turki berada dibawah pemerintahan otoritarian sekular, demokrasi kembali bernafas di negara itu oleh gerakan Islam melalui Parti Pembangunan dan Keadilan, AK Party (ADALET VE KALKINMA PARTiSi). Dalam sejarah Indonesia, majlis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI) yang dipimpin oleh Muhammad Natsir menjadi tunggak kepada demokrasi perlembagaan (Constitutional Democracy) manakala yang menghancurkan demokrasi tersebut adalah golongan nasionalis sekular yang dipimpin oleh Sukarno ketika rakyat Indonesia bangun semula untuk menggulingkan kediktatoran Suharto, parti-parti Islam menjadi pemangkin kepada demokrasi hijau yang terbesar didunia.

Baru baru ini kita menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia dan Mesir bangkit menuntut kebebasan dan demokrasi. Pemimpin seperti Zainal Abedine Ali dan Hosni Mubarak memerintah dengan kuku besi berdekad-dekad lamanya. Antara sasaran utama tekanan regim Ben Ali dan Mubarak adalah gerakan Islam. Sejak beberapa dekad yang lalu gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan yang paling konsisten menentang regim kuku besi di dunia Arab dan Afrika Utara.

Gerakan Islam adalah bahagian integral dari perjuangan demokrasi. Saya yakin gerakan Islam akan memainkan peranan penting dalam transisi dunia Arab menuju demokrasi serta mencetuskan gelombang baru pendemokrasian di benua Asia.

Di sini kita menyaksikan sikap tidak tuntas Amerika terhadap demokrasi. Tatkala masyarakat demokrasi dunia mengangkat inklusiviti sebagai unsur utama demokrasi, Amerika menolak demokrasi sekiranya ia dipimpin oleh Ikhwanul Muslimin.

Perjuangan umat Islam untuk membangun demokrasi adalah didorong oleh semangat  untuk memartabatkan kemuliaan insan.

(Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya)

Karamah insaniah ini adalah satu konsep yang memukau salah seorang pemikir Renaissance terkenal iaitu Pico Della Mirandola. Beliau adalah seorang pengasas humanisme Barat, aliran pemikiran yang kemudiannya mencetus idea hak asasi manusia yang seterusnya  menjadi bahagian dari pemikiran demokrasi.

Dalam prinsip tradisi ilmu Islam, kita bicara persoalan cita cita murni Islam iaitu Maqasid Syariah ( higher objectives of Syariah ). Kegagalan memahami prinsip Maqasid Syariah akan menyebabkan Islam akan hanya dilihat dalam ruang lingkup yang sempit.

Dalam Maqasid Syariah, Islam memberi jaminan kebebasan memilih agama ( freedom of conscience ), pertahankan kebebasan bersuara ( freedom of expression ) dan menanggani masalah dengan bijaksana (berhikmah).

Menurut Umar Abdul Aziz, hikmah membawa maksud kemampuan untuk menyatakan masalah dan keupayaan untuk merongkai dan menanggani masalah berkenaan. Ini adalah kunci hikmah.

Saya yakin melalui demokrasi maqasid dapat direalisasikan. Berpandukan kepada maqasid ini, seruan jihad misalnya, bolehlah ditumpukan untuk membangun satu sistem yang berusaha menjamin Keadilan, menggalakkan pembangunan yang seimbang dan antara yang mustahak, iaitu suatu upaya membasmi kemiskinan.

Sejajar juga dengan konsep maqasid ini, adalah menjadi keutamaan buat kita memastikan keharmonian, maslahat dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

Justeru itu para intelektual Islam di Malaysia perlu memperluaskan wacana maqasid bagi menggarap pendekatan Islam yang sensitif dan berusaha memahami waqi’ dan juga zaman. Inilah mustahaknya Maqasid, peri pentingnya maqasid dijelaskan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibiy bahawa ia adalah arwah al-a`mal(arwahul a’mal) Ertinya, bersyariat tanpa maqasid adalah beragama tanpa ruh.

Justeru, kita tidak boleh terperangkap dengan konsep serta amalan demokrasi yang juz’i. Apabila kita mewacanakan demokrasi ia pasti melibatkan persoalan kebebasan media, kedaulatan undang-undang, tatakelola yang baik demi memastikan rasuah disirna, hak bersuara dan pilihanraya yang bebas. Adalah suatu mitos sekiranya Demokrasi hanya bermaksud pilihanraya setiap lima tahun sekali. Apalagi apabila pilihanraya tersebut dinodai dengan penipuan dan dicemari oleh pengundi-pengundi hantu.

Demokrasi sering disebut sebagai kerajaan rakyat, untuk rakyat; the government by the people for the people. Namun demokrasi tanpa tata kelola – democracy without governance, tidak akan menguntungkan rakyat terbanyak. Tanpa tatakelola rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa akan berleluasa.

Sudah kita ungkapkan demokrasi mesti merangkumi antaranya amalan tatakelola yang baik, negara hukum, sistem pilihanraya yang bebas dan telus, media yang tidak dikongkong pemerintah serta amalan pertanggungjawaban.

Laporan GFI (Global Financial Integrity) menyebut wang haram(gelap) yang mengalir keluar dari Malaysia berjumlah USD291 billion (bersamaan RM888 billion) dari tahun 2000 sehingga 2008. Amalan demokrasi yang bersertakan tatakelola yang baik pastinya menghalang perkara ini dari berlaku. Kerana sebuah masyarakat demokratik dan negara hukum menjunjung prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pertanggungjawaban.

Hanya pada 8hb Febuari yang lalu saya membangkitkan isu hutang isi rumah rakyat Malaysia yang kian parah. Menurut Bank Negara Malaysia, pada akhir November 2010 hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Ini menimbulkan dua persoalan besar, pertamanya, pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana rakyat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. Kedua, jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian.

Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama. Nisbah 74% “hutang isi rumah dari KDNK” adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% dari KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah setiap tahun. Kelemahan pemerintah serta rekayasa mereka untuk melindungi maklumat sebegini dari penelitian umum hanyalah memburukkan keadaan. Pastinya reaksi yang akan kita dapat hanya lah dalam bentuk penafian semata-mata tanpa sebarang usaha menyelesaikan masalah.

Justeru, kerajaan Selangor memulakan inisiatif dengan memperkenalkan Enakmen misalnya FOI (freedom of information); Enakmen Kebebasan Maklumat 2010 dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan(SELCAT).

Pembangunan semula pemikiran Islam Melayu pada abad ini tidaklah boleh menafikan peranan kaum hawa baik di bidang ekonomi mahupun pendidikan. Laporan khas September 2009, Harvard Business Review menyebut kekuatan ekonomi kaum hawa seluruh dunia adalah lebih besar dari gabungan pasaran negara India dan China. Jurnal tersebut menganggarkan pada tahun pada tahun 2014, pendapatan kaum hawa seluruh dunia berjumlah USD 14 trillion, sedangkan gabungan Keluaran Dalam Negeri Kasar(GDP) China dan India hanya berjumlah USD 10.4 trillion pada tahun yang sama.

Kekuatan ekonomi sebegini pastinya tidaklah hadir sekelip mata. Ianya bertunjangkan kemampuan kaum hawa untuk bersaing di sektor awam mahupun swasta. Ini bermakna pendidikan merupakan sebab utama kekuatan ekonomi serta pendapatan kaum hawa. Berbekalkan pendidikan, kaum hawa kini mengorak langkah dan malah menguasai beberapa bidang tertentu. Pastinya kita sudah mendengar nama seperti Indra Noonyi yang kini merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Syarikat Pepsi dan Arianna Huffington, pengasas Huffington Post, laman web berita yang mencabar pemikiran media lama seluruh dunia.

Wanita Muslim juga tidak ketinggalan mengorak langkah berani dan memimpin institusi yang dahulunya sinonim dengan kaum adam. Saya menyebut beberapa nama seumpama Dr Zeti Akhtar Aziz, kini Gabenor Bank Negara Malaysia dan Shirin Ebadi yang dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2003.

Rantau ini sebenarnya tidaklah asing dengan pemikiran kaum hawa yang mahu maju dan mempersoal sempadan yang dikenakan ke atas mereka. Pada tahun 1911, terbitlah sebuah karya yang berjudul Habis Gelap Terbitlah Terang, satu kumpulan surat yang ditulis oleh seorang wanita bernama Raden Adjeng Kartini.

Akhir sekali, ulamak dan pemikir terkenal  Islam dewasa ini Sheikh Taha Jabir al-Alwani mempunya pandangan yang menarik tentang peranan Alam Melayu dewasa ini. Bangsa-bangsa lain telah memainkan peranan dalam sejarah dalam mencipta tamadun Islam. Bangsa Arab, Turki dan Parsi telah mendapat peluang masing-masing. Hanya Alam Melayu belum mempunyai waktunya dalam sejarah untuk mencipta tamadun yang gemilang.

Tetapi setelah berdampingan rapat dengan Kuala Lumpur hampir dua dekad yang lalu beliau berkeyakinan giliran Alam Melayu untuk memainkan peranan kepimpinan untuk dunia Islam sudah tiba. Kebangkitan Asia membuka ruang yang besar bagi Alam Melayu. Kita perlu menggembeling tenaga masyarakat ilmuan untuk membebaskan masyarakat kita dari pelbagai kezaliman. Golongan intelektual kita tidak boleh bersikap masa bodoh atau pasif terhadap penderitaan umat. Edmund Burke berkata “ All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing.”

Dalam sistem yang bobrok, kejahatan pasti menang lantaran orang yang baik terlalu laih dan longlai serta enggan mencabar “The Forces of Evil.” Maka perasuah akan bermaharajalela. Pembebasan umat dari kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah landasan bagi umat Melayu untuk membangun sumbangan ketamadunan. Inilah masanya kita mencipta sejarah.