Login Form
Profile
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim.
Inilah PESAN AYAHANDA kepada anakanda Anom, Aini, Ailin dan Ayu.
Ayahanda tidak dapat menasihati anakanda sepenuhnya. Cepat benar anakanda dewasa dan terpisah daripada ayahanda. Semoga anakanda semua menjadi anak-anak soleh, dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bonda apabila kami sudah berada dalam kubur.
Aayahanda takut pada hukuman Allah subhanahu wa ta'ala. Oleh itu ayahanda sampaikan ajaran al-Quran dalam Surah Luqman: ayat 14 - 19.
14. Nabi Luqman as berkata kepada anakandanya, "Wahai anakanda, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah suatu kezaliman besar pada dirimu," dan
15. Firman Allah "Aku perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ayahanda dan bonda mereka. Bonda kamu mengandungkan kamu, beban kandungannya semakin hari semakin bertambah berat, dan kemudian menyusui kamu selama dua tahun. Bersyukurlah kamu kepada Aku dan kepada kedua ayah dan bonda kamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali."
16. Nabi Luqman as berkata, "Wahai anakanda, apabila ada sesuatu perbuatan baik anakanda seberat biji sawi sekalipun, dan walaupun ia berada di dalam batu, atau di atas langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah membalas kebaikan anakanda itu. Ini adalah kerana Allah itu Maha Halus lagi Maha Mengetahui.
17. "Wahai anakanda, dirikanlah solat, dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik, dan cegahlah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabarlah anakanda terhadap apa kesusahan yang menimpa anakanda. Semuanya itu adalah perkara-perkara yang dirancangkan oleh Allah."
18. "Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Allah tidak menyukai orang-orang sombong dan angkuh." Dan.
19. "Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."
Anom, Ayu, Aini & Ailin (2009)
Galeri
Ya Hannan, ya Mannan
Ya Hannan! Ya Mannan!Ya Allah, Engkaulah yang maha pengampun! Dan ya Allah, Engkaulah yang maha pemurah dengan anugerah Engkau. Semoga suara hamba menjadi salah satu suara yang Engkau dengar dan yang Engkau ampuni ya Allah!
Hari Keluarga 2012
Hari Keluarga 5 Februari 2012, Jawi
Sedih juga rasanya tidak dapat bersama keluarga di Jawi, Seberang Perai, pada hari Ahad, 5 Februari 2012. Tiba-tiba sahaja, demam menyerang, dan hamba terpaksa berihat selama dua hari.
Pameran Rehal
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya mengadakan Pameran Rehal selama sebulan, 12 Okober hingg 13 November 2009.
Segala jenis rehal dipamerkan dari seluruh daerah Nusantara, dan pameran ini memberi banyak maklumat mengenai amalan beragama Islam orang-orang Melayu.
Quran diletakkan juga di atas bantal.
Oleh sebab rehal ini adalah alat yang digunakan bagi menatang al-Quran yang dibaca, maka ia selalunya digantikan oleh bantal. Malah di kebanyakan tempat di alam Melayu beragama Islam, amalan ini masih dilakukan sekarang.
Oleh itu, kita tidak hairan mengapa bantal tidak boleh 'dipijak.' Kita akan ditegur oleh orang-orang tua apabila berbuat demikian.
Apabila memohon pada Allah
Datukanda Tuan Guru Haji Hassan pernah menasihati ayahanda, "Selepas kita menunaikan solat hajat. ikutilah dengan membaca bismillahir rahamanir rahim sebanyak 700 kali, sebelum menyatakan hajat kita ..."
Aoabila ayahanda bertanya kenapa 700 kali, beliau menjawab, "Setelah kita menyebut nama Allah sehingga 700 kali, tentulah Dia mendengar kita ..."
Datukanda Tuan Guru Haji Hassan
Selamat Hari Lahir Anakanda Aini
Pada hari lahirmu ini, 27 Ogos, Ayahanda teringat pada peristiwa-peristiwa sekitar kelahiranmu di Hospital Pulau Pinang. Anakanda dilahirkan di Wad Bersalin berhampiran sekolah Residensi tempat anakanda bersekolah.
Hidup kita tidaklah semewah yang kita fikirkan. Gaji asas seorang pensyarah berkelulusan Ph.D. pada masa itu adalah RM940 sebulan, disertai dengan tambahan sedikit elaun. Jauh lebih kecil daripada pencen Ayahanda sekarang.
Semasa kecilmu, peristiwa yang sangat menyedarkan Ayahanda pada kesulitan hidup adalah, harga susu meningkat hampir setiap bulan. Tin besar yang berharga RM7.00 meningkat menjadi RM9.00 dan RM14.00 dalam masa yang sangat singkat. Hidup tidaklah susah, tetapi tidaklah mewah.
Apabila Ayahanada menyatakan kesulitan ini kepada Almarhum Tan Sri Hamzah Sendut, Naib Canselor USM pada masa itu, beliau tidak menjanjikan apa-apa. Tetapi pada bulan berikutnya, gaji ayahanda dinaikkan sepuluh tingkat. Cukup untuk memberi bantuan kepada Datuk, Opah, Tok Wan dan Tok Semanggol. Semenjak itu Ayahanda memberi tumpuan kepada profesion akademik. Hingga sekarang, apabila Ayahanda mengadakan doa tahlil, Ayahanda akan dengan diam-diam menujukan doa itu untuk seorang pemimpin yang pada Ayahanda sangat prehatin pada masalah anak buahnya. Bukan pada Ayahanda sahaja, tetapi kepada ramai staf di bawah pentadbirannya.
Pada hari lahirmu ini Ayahanda berdoa agar Anakanda akan terus menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak-anak. Didikan mereka perlu lengkap. Pada masa manusia melihat pendidikan sekular sebagai sesuatu yang sangat diperlukan bagi "mencari kerja," aspek spiritual perlu diberi perhatian juga. Agama.
Ya Allah, berkatilah dan bahagiakanlah kehidupan Anakanda. Sesungguhnya kami mendidik mereka semampunya, dan kami mendoakan yang terbaik daripada-Mu.
Lima tahun lalu, Aini, Azman, Amirah dan Rizal di Janda Baik, sebelum tiba Aiman.
Lailatul qadar
Sewaktu kecil, semasa di sekolah rendah, Ayahanda suka juga mengikut Datukanda pergi mengajar di surau dan masjid. Itu berlaku pada zaman sebelum merdeka.
Jikalau pada waktu cuti sekolah, beliau membawa juga ayahanda mengunjungi kampung yang jauh-jauh di TelukAnson dan Tapah, Bidor, Sungkai, Slim Village, Kelawar dan Tanjung Malim.
Kuliah beliau tidaklah seakademik ustza zaman sekarang, tetapi pengikutnya lazimnya memenuhi surau atau masjid.
Ada sebuah soalan orang kampung yang saya ingat sampai sekarang. Entah di kampung mana!
Orang kampung bertanya, "Bagaimana kita mahu memastikan kita menikmati keberkatan malam lailatul qadar, Tuan Guru?"
Jawab beliau, "Mudah sahaja. Kita beribadatlah pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan!"
"Tetapi," kata orang kampung itu lagi, "alangkah baiknya kita tahu dengan pasti, malam yang mana."
Sambung beliau, "Apalah susahnya, kita beribadat sahaja pada setiap malam. Tentu kita tidak tercicir daripada malam lailatul qadar itu. Bahkan, bertambah pasti lagi apabila pada setiap malam pada bulan Ramadhan itu, kita beribadat. Sebenarnya, malam lailatul qadar itu tidak semestinya pada sepuluh malam terakhir! Bila-bila sahaja Allah mahu. Oleh sebab itu, beribadatlah pada setiap malam!!!"
Tidaklah hebat, tetapi Ayahanda tetap ingat.
1431 Hijrah: Pendidikan Mentransformasi Masyarakat
Lima puluh tiga tahun dahulu, Almarhum Tun Razak menubuhkan sekolah berasrama penuh untuk anak-anak Melayu yang bukan daripada keturunan bangsawan. Ayahda adalah salah seorang daripada yang terpilih dan dihantar ke Ipoh, ke sebuah sekolah yang akhirnya dipanggil Sekolah Tuanku Abdul Rahman.
Cerita ini adalah sebuah cerita penghijrahan sebuah masyarakat, sekurang-kirangnya sebahagian daripada masyarakat, daripada kejahilan dan ke miskinan kepada masyarakat berilmu dan moden. Beginilah ceritanya:
Ada masanya ayahda melihat sebuah transformasi yang sangat dahsyat sehinggakan ada kalahnya tidak terbayangkan bahawa kita sebelum ini adalah sangat lain rupanya.
Lihat gambar foto di bawah. Inilah wajah-wajah anak-anak Melayu kampung circa 1950-an.
Hari ini adalah hari kedua awal Muharram tahun Hijrah 1431. Pada pendapatan saya inilah masa yang terbaik untuk kita melihat ke belakang sebelum merancang untuk tahun-tahun mendatang. Mungkin tidak seberapa tahun lagi untuk saya. Malah mungkin kurang daripada itu!
Apabila DYMM Yang Dipertuan Agung Pertama datang merasmikan sekolah kita pada 14 May 1958(?), dan mulai hari itu sekolah kita dipanggil Sekolah Tuanku Abdul Rahman.
Ungkapan terakhir klip filem berita Malayan Filem Unit pada masa itu adalah frasa ... "the young tigers of Tiger Lane."
Saya adalah antara pelajar pertama di STAR, SPM 1961. Saya kira kita semua sudah bersara, bersara daripada profesion masing-masing, melainkan mereka yang bekerja sendiri. Sebagai keluaran pertama, kita adalah produk pasca merdeka. Kitalah anak-anak kampung dari kawasan luar bandar yang dibawa khusus ke sekolah berasrama penuh bagi menerima pendidikan yang sebelum itu tidak wujud untuk anak-anak Melayu seperti kita. Kitalah yang mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan Penyata Razak 1956.
Now, some 51 years later, we were young tigers no longer. Nor old tigers are we. We have become useful thinking citizens. We lead by the knowledge we gained as our school motto prescribed Ilmu Panduan Hidup. This is about our life, thoughts, aspirations, tribulations, and still striving for the ideals we want to achieve.
These are the fine tigers that we have become. We have left our kampungs. Sadly, our kampung values! Our parents! We become a new generation of city Malays. Better?
Walaupun saya berterima kasih atas apa yang saya belajar di STAR, namun pada hati kecil saya ada soalan yang sering timbul. Semasa menerima tawaran, dan sebelum sekolah kita menjadi Sekolah Tuanku Abdul Rahman, sekolah kita dikenali sebagai the Malay Secondary School. Pada sekolah itu terletak impian semua guru Melayu, yang berkongres pada tahun 1952, 1955 dan 1956 bagi menuntut diwujudkan pendidikan menengah dan universiti dalam bahasa Melayu.
Itu satu perjuangan. Maruah bangsa itu pada bahasanya.
Namun, perjuangan itu tidak dilaksanakan. Sekiranya bahasa Melayu itu dilaksanakan dari saat itu.
Suatu penderhakaan kepada amanat guru Melayu yang dipuja dan dipuji!